Tuesday, April 23, 2013

PRU13: DAP DICABAR BUKTIKAN RAMALAN PEMBANGKANG MENANG PRU

PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan terdapat laporan polis dibuat berhubung kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa polis terlibat mendedahkan maklumat mengenai ramalan kemenangan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Bahagian Pendakwaan jabatan itu, Abdul Wahab Mohamed berkata, pihaknya percaya siasatan sedang dijalankan dan masih terlalu awal untuk jabatan berkenaan mengeluarkan sebarang ulasan mengenainya.

''Memang satu laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan beliau dan kes itu masih dalam siasatan, jadi AGC tidak dapat memberi sebarang ulasan buat masa ini,'' katanya pada sidang akhbar di jabatan itu hari ini.

Abdul Wahab mengulas tindakan yang boleh diambil terhadap pemimpin kanan DAP itu berhubung dakwaannya yang mengaitkan penglibatan polis mendedahkan butir rahsia berhubung ramalan pilihan raya.

Minggu lalu, Kit Siang dalam blognya http:// blog. limkitsiang.com mendakwa, Pakatan Rakyat (PR) dijangka menang sebanyak 145 kerusi mengalahkan Barisan Nasional (BN) sebanyak 77 kerusi berdasarkan ramalan dari Bukit Aman.

Berikutan itu, polis mencabar Kit Siang mengemukakan bukti jika benar dakwaannya terdapat anggota dan pegawai polis yang bertindak mendedahkan maklumat sulit berhubung ramalan pilihan raya.

Abdul Wahab turut memaklumkan sebanyak 13 lagi individu akan didakwa di beberapa Mahkamah Majistret di seluruh negara esok atas pelbagai kesalahan yang melanggar keharmonian proses pilihan raya. -UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment