Tuesday, April 23, 2013

PRU13: PAKATAN BAKAL BERCERAI BILA-BILA MASA - PM

KUCHING - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pakatan palsu pembangkang boleh disifatkan seperti 'perkahwinan politik' secara kontrak atau perkahwinan mutaah yang boleh bercerai pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang secara diam-diam turut memaki hamun Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendapati dirinya terjerat dengan strategi pembangkang untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah yang dikatakan bakal menjadi 'kubur' kerjaya politiknya.

"Perkahwinan politik dalam kalangan parti-parti komponen BN (Barisan Nasional) pula merupakan perkahwinan jangka panjang. Talak kita adalah talak raj'i (boleh rujuk) manakala talak mereka pula adalah talak bain, iaitu talak yang tidak boleh rujuk lagi.

"Sebab itu mereka bertelagah dan bertanding sesama sendiri di kerusi sama. PAS lawan PKR, PKR lawan DAP. Itu maknanya mereka telah mula merungkai perkahwinan mutaah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri pertemuan dengan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kawasan Kuching di Kem Penrissen, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan serta Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan dalam pada itu sempat menyindir beberapa ahli BN yang bertanding sebagai calon Bebas dengan menyifatkan mereka sebagai seseorang yang kecewa dan merajuk.

"Yang satu tu frust menantu tak jadi calon, yang seorang lagi nak bertanding di Parlimen, kita bagi jadi calon DUN (Dewan Undangan Negeri).. tak nak lalu merajuk," katanya.

Dalam perkembangan lain Zahid memberitahu kedudukan Datuk Dr. Tiki Lafe sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan diputuskan selepas laporan lengkap mengenainya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Kata beliau, pelantikan Tiki sebagai Pengerusi MLKN adalah mengikut Akta Latihan Khidmat Negara yang terletak di bawah bidang kuasa Tuanku Abdul Halim.

Katanya, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan laporan mengenai perkara tersebut sebaik sahaja mendapat perkenan baginda.

"Keputusan mengenai beliau (Tiki) akan dibuat selepas saya menghadap Tuanku dan perkara ini tidak semestinya sebelum atau selepas pilihan raya, sebaliknya pada bila-bila masa sahaja Tuanku berkenan," katanya.

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menyaksikan Tiki yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Mas Gading bertanding sebagai calon Bebas menentang calon Barisan Nasional, DAP dan Parti Reformasi Negeri (STAR) dalam pertembungan empat penjuru di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahidi memberitahu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berpotensi mencatat pendapatan keseluruhan (PBT) mencecah RM1 bilion pada tahun ini, sekali gus diyakini mampu menawarkan dividen sehingga 18 peratus.

No comments:

Post a Comment