Monday, December 9, 2013

BANJIR: MB TERENGGANU GUNA KUASA 'VETO' TAHAN LORI GARDENIA

SHAH ALAM - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur - Kemamam semalam bertindak nekad menggunakan kuasa 'veto' mengarahkan dua pemandu lori Gardenia mengagihkan roti yang dibawa mereka kepada rakyat yang sedang kelaparan.

Pemandu lori tersebut yang turut terkandas ekoran banjir di kawasan Chendor, pada mulanya tidak membenarkan lori mereka dibuka bagi tujuan itu.

Ahmad yang kasihan melihat rakyat dalam kelaparan termasuk anak-anak kecil kerana tidak dapat meneruskan perjalanan berkeras meminta pemandu lori itu agar mengagihkan roti-roti tersebut.

MB guna kuasa 'veto' tahan lori GardeniaSetelah kedua-dua pemandu lori itu enggan berbuat demikian, Ahmad kemudiannya meminta mereka untuk menghubunginya pengurus mereka di Kuala Lumpur supaya beliau boleh membeli kesemua roti itu.

Setelah kata sepakat dicapai dengan pengurus Gardenia di Kuala Lumpur, Ahmad kemudiannya membuka lori itu untuk mengagih-agihkan roti tersebut.

Tindakan Ahmad itu dikongsikan mangsa banjir yang turut berada di situ dan mendapat pujian ramai di media sosial.

Sumber: Sinar Harian

KD: Ada yang melihat tindakan ini sebagai wajar, namun tak kurang juga yang tidak setuju dengan tindakan MB ini.. Apa pun pendapat orang ramai, KD rasa wajar dikaji situasi sebenar tempat kejadian sebelum membuat sebarang andaian..
MAT SABU TERLIBAT SYIAH: PAS NAK TENGOK BUKTI DAHULU

Harun Taib SHAH ALAM - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti yang menyatakan pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Beliau berkata jika benar seperti yang dikatakan menteri tersebut, Pas akan mengambil bertindak termasuk meminta pemimpin terlibat mengangkat sumpah.

"Zahid kemukakanlah dulu bukti, kalau Zahid ada.

"Saya tak mahu Mat Sabu sumpah dahulu, kita nak tengok bukti dulu.

"Saya pun nak tengok (bukti), lepas itu baru kita boleh ambil tindakan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan nama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kembali dikaitkan dengan ajaran Syiah.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno pada ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno.

Susulan itu, Mohamad atau Mat Sabu telah menyatakan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid sekaligus mengakui beliau adalah pengikut dan pengamal ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam pada itu, Harun juga berkata, dalam perlembagaan Pas ahlinya adalah mesti daripada pengikut Sunni.

"Saya tak tahu, saya tak terima apa-apa laporan mengenai Syiah dalam parti.

"Lagipun perlembagaan kita telah tetapkan ahli Pas mesti mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," jelasnya.

Sumber: Sinar Harian
SYIAH: 'ISU MAT SABU, PAS TAK TERLIBAT'

SHAH ALAM - Pas hari ini menegaskan dakwaan terhadap Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu adalah serangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti.

Datuk Mustafa AliSetiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah serangan terbuka dan bersifat peribadi.

Menurutnya, Mohamad atau Mat Sabu wajar mengambil tindakan terhadap kementerian tersebut.

"Itu adalah serangan peribadi, Mat Sabu perlu buat sesuatu.

"Kita tak akan masuk campur. Wajar Mat Sabu bertindak dan ambil tindakan terhadap menteri itu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam pada itu, Mustafa juga berkata, Pas di peringkat pusat tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai ajaran Syiah yang diamalkan oleh pemimpin parti termasuk Mat Sabu.

"Kita di peringkat Pusat memang tak pernah terima apa-apa laporan," katanya.

Dalam perkembangan sama, apabila ditanya adakah selepas mendengar dakwaan terbuka Ahmad Zahid, Pas akan membuat siasatan terhadap pemimpin nombor dua parti itu, Mustafa berkata :

"Kita tak akan buat demikian, sebab tak ada laporan, itu kita serahkan kepada Mat Sabu," katanya lagi.


Sumber: Sinar Harian
AKTA KAWALAN HARGA CEGAH PENIAGA SELEWENG GST

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April 2015.

Berdasarkan pemantauan ke atas negara-negara yang sudah pun melaksanakan sistem pencukaian itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata harga barangan (secara keseluruhan) akan naik sekitar 1.8 hingga dua peratus pada tahun pertama pelaksanaan.

"Kebiasaannya harga barangan ini akan naik kerana mereka (peniaga) tidak memansuhkan cukai 10 peratus daripada sistem asal, tapi terus memasukkan enam peratus daripada sistem GST kepada harga barangan tersebut.

"Jadi kita akan menggunakan akta yang sedia ada bagi memastikan tiada penyelewengan harga berlaku di negara ini apabila GST dilaksanakan kelak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Semasa membentang Bajet 2014 pada Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula April 2015.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Datuk S Nallakarupan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan bagi memastikan rakyat memahami pelaksanaan GST, Ahmad berkata selain kempen berterusan, kerajaan akan mengeluarkan Garis Panduan Pengguna, tiga bulan sebelum pelaksanaan sistem itu.

Beliau berkata senarai itu akan dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna serta memastikan mereka tidak ditindas sewenang-wenangnya oleh golongan peniaga kelak.

"Kempen-kempen ini akan kita teruskan supaya kita dapat menjelaskan kepada rakyat bahawa GST ialah satu cukai yang lebih telus, adil, kepada pengguna dan juga mendapatkan hasil kepada negara.

"Cukai (menjadi) lebih baik dan ia juga mendatangkan beberapa faedah, termasuk mengurangkan kos perniagaan...bila kurang kos itu, maka harga barangan dapat diturunkan," katanya.

Selain itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa pelaksanaan GST dapat membantu mengurangkan kesan dari 'black economy' iaitu kerugian yang negara tanggung akibat tindakan beberapa pihak melarikan diri daripada membayar cukai.

Menurutnya pelaksanaan GST juga dapat mengurangkan ketirisan yang sedang berlaku dalam negara secara sistematik.

"Di negara kita, termasuk negara-negara yang sedang membangun, berlaku situasi yang disebut 'black economy atau shadow economy,' di mana berlaku ketirisan yang melibatkan puluhan bilion ringgit kerana tidak patuh cukai.

"Tetapi apabila laksanakan GST, amat sukar untuk lari, terutama kepada peniaga. Ia akan mengurangkan karenah birokrasi, menjamin ketelusan dan menjadikan harga barangan lebih berpatutan," katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

BANJIR: DAKWAAN BANTUAN LEWAT TIBA TIDAK BENAR

KUALA LUMPUR - Dakwaan bantuan makanan lewat tiba di pusat pemindahan mangsa banjir di Kuantan adalah tidak benar, kata Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pahang, Mejar Nazri Miskan.
  
Beliau berkata sejak hari pertama kejadian banjir berlaku di daerah itu, helikopter telah tiba untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir selepas dipindahkan ke pusat pemindahan.
  
Bagaimanapun, katanya selepas mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan, keadaan agak kelam-kabut kerana jumlah mangsa yang terlibat melebihi jangkaan awal.
  
"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa menyusun semula pengagihan makanan dan bahan-bahan mentah kepada mangsa kerana terdapat beberapa pusat pemindahan baharu dibuka.
  
"Kemungkinan semasa membuat agihan, berlaku sedikit kelewatan tetapi tidak sampai dua hingga tiga hari kerana bantuan diberikan pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi Bernama Radio 24 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya kerajaan lewat memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan.
   
Nazri berkata pada hari kedua bekalan makanan telah dihantar oleh pihak JKM ke pusat pemindahan dan keadaan terkawal.
  
Katanya JKM juga kini sedang berusaha untuk memberi bantuan makanan dan bahan-bahan mentah kepada mangsa banjir terutama di Kuantan.
  
"Semua agensi jabatan penyelamat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), JPAM, bomba, tentera dan kerajaan negeri mengkoordinasi pengagihan bantuan kepada semua pusat pemindahan.
  
"Antara logistik yang digunakan ialah lori tiga hingga lima tan untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan," katanya.
  
Katanya orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan mengunjungi mana-mana pusat pemindahan banjir. – Bernama

Sumber: Sinar Harian