Monday, December 9, 2013

BANJIR: DAKWAAN BANTUAN LEWAT TIBA TIDAK BENAR

KUALA LUMPUR - Dakwaan bantuan makanan lewat tiba di pusat pemindahan mangsa banjir di Kuantan adalah tidak benar, kata Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pahang, Mejar Nazri Miskan.
  
Beliau berkata sejak hari pertama kejadian banjir berlaku di daerah itu, helikopter telah tiba untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir selepas dipindahkan ke pusat pemindahan.
  
Bagaimanapun, katanya selepas mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan, keadaan agak kelam-kabut kerana jumlah mangsa yang terlibat melebihi jangkaan awal.
  
"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa menyusun semula pengagihan makanan dan bahan-bahan mentah kepada mangsa kerana terdapat beberapa pusat pemindahan baharu dibuka.
  
"Kemungkinan semasa membuat agihan, berlaku sedikit kelewatan tetapi tidak sampai dua hingga tiga hari kerana bantuan diberikan pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi Bernama Radio 24 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya kerajaan lewat memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan.
   
Nazri berkata pada hari kedua bekalan makanan telah dihantar oleh pihak JKM ke pusat pemindahan dan keadaan terkawal.
  
Katanya JKM juga kini sedang berusaha untuk memberi bantuan makanan dan bahan-bahan mentah kepada mangsa banjir terutama di Kuantan.
  
"Semua agensi jabatan penyelamat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), JPAM, bomba, tentera dan kerajaan negeri mengkoordinasi pengagihan bantuan kepada semua pusat pemindahan.
  
"Antara logistik yang digunakan ialah lori tiga hingga lima tan untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan," katanya.
  
Katanya orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan mengunjungi mana-mana pusat pemindahan banjir. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment