Tuesday, June 26, 2012

RAFIZI LETAK JAWATAN BUKAN KEJUTAN, AKAN LEBIH MANTAPKAN PARTI - ZURAIDA

PETALING JAYA: Pengumuman peletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor oleh Rafizi Ramli, pada Khamis merupakan salah satu strategi untuk memantapkan jentera parti.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, pengumuman yang dibuat Rafizi juga bukan satu kejutan dalam PKR kerana kebanyakan pimpinan tertinggi parti telah mengetahui hasrat Rafizi untuk melepaskan jawatan yang disandang sejak 2009.

"Sebenarnya beliau sudah lama 'bersuara' sebab mahu beri tumpuan dalam parti sepenuh masa. Saya dan pimpinan tertinggi tak terkejut.

"Tiada kaitan dengan dakwaan pergolakan dalam parti, malah tindakan beliau itu sebenarnya akan lebih memantapkan parti dan jenteranya," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Menurut Zuraida, Rafizi yang memegang jawatan pengarah strategi PKR perlu meluangkan lebih banyak masa kerana beliau dijangka akan bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Malah, Ahli Parlimen Ampang itu juga menegaskan sudah tiba masanya untuk Rafizi 'turun padang' bagi membina dan memantapkan imej beliau sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). –Mstar Online

PERTAHAN AJARAN ISLAM - NAJIB

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kerajaan berikrar akan mempertahan kesucian agama Islam dan memastikan budaya songsang seperti amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak mendapat tempat di negara ini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, sebarang pemikiran menyeleweng seperti fahaman liberalisme dan pluralisme yang kini diperjuang pihak tertentu juga akan ditentang.

Katanya, dalam usaha kerajaan mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi, tiada sebarang kompromi berhubung soal akidah, ibadah, muamalat dan akhlak. -Utusan Online
NOVEMBER BULAN KELUARGA KEBANGSAAN 1MALAYSIA

Perdana Menteri mengumumkan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia.

Mana-mana syarikat swasta yang menganjurkan Hari Keluarga kepada pekerja mereka akan diberi rebat atau potongan 100 peratus untuk semua perbelanjaan berkenaan.

"Mulai 2012 bulan November akan diisytihar Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia untuk beri keutamaan kepada perspektif keluarga dalam pembangunan sosio ekonomi negara."

Bercakap di Parlimen, pengumuman itu selaras dengan gerakan 1Malaysia Family First di bawah strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dilancarkan pada 17 Jun lalu menerusi pelaksanaan Dasar Keluarga negara.