Monday, July 1, 2013

~

BN KENA MULAKAN KERJA HADAPI PRU14
 
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pemimpin BN segera memulakan gerak kerja untuk memastikan pencapaian lebih cemerlang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.

"Tempoh lima tahun bukan satu tempoh yang panjang untuk menentukan pencapaian yang lebih besar (dan) kita telah mulakan kerja kita untuk PRU14 sekarang ini, bukan esok.

"Ada orang kata kita baru habis pilihan raya, (jadi) kita penat, saya pun penat...tapi selepas satu tempoh di mana berehat sudah habis, maka tugas dan tanggungkawab kita sudah ada tersedia di hadapan kita," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, berkata demikian pada majlis kesyukuran dan penghargaan jentera BN Wilayah Persekutuan di Padang Kejiranan Ayer Panas, Setapak, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.  

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa segala yang dijanjikan dalam Aku Janji BN pada PRU13, 5 Mei lepas, akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kita akan terus bekerja (bermula) sekarang untuk menentukan mereka (rakyat) percaya dan yakin kepada kita dan sampai waktu nak mengundi, mereka akan pilih BN," katanya.

Beliau juga mahu anggota Parlimen BN yang telah terpilih pada PRU13, terutama dari Wilayah Persekutuan, menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan beliau yakin mereka mampu melakukannya.

"Di kawasan yang kita belum menang lagi, kita tidak harus berputus asa kerana tanggungjawab kita di hadapan adalah amat besar sekali," katanya.

Pada PRU13, BN kekal di kerusi Parlimen Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa, serta merampas kerusi Parlimen Titiwangsa daripada Pas.  

Muhyiddin menarik perhatian parti-parti komponen BN dan juga bahagian tertentu perlu menyelesaikan segala masalah dalaman dengan segera selain perlu memperkukuhkan kerjasama dengan misi untuk menawan semula kawasan-kawasanyang dirampas pembangkang.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan 89 anggota Parlimen pembangkang, yang pada asalnya mewar-warkan akan memboikot majlis angkat sumpah anggota Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini, hanyalah "permainan wayang" pakatan pembangkang.

"...mereka secara hakikinya menerima keputusan pilihan raya (kerana) ahli-ahli Parlimen mereka datang ke Parlimen dan semuanya mengangkat sumpah di hadapan Speaker (Dewan Rakyat).

"Keputusan pilihan raya ini sesuatu yang mereka tak boleh nafikan dan mereka harus terima (bahawa) mereka dibuang rakyat dalam proses pilihan raya yang telus dan betul," tegasnya. – Bernama/Sinar Harian

~

PRK KUALA BESUT MUNGKIN TANDING 3 PENJURU
PRK Dun Kuala Besut 
DUNGUN – Bekas Ketua Perhubungan Negeri PKR Terengganu, Mohd Padeli Jusoh sedia bertanding atas tiket Bebas sekiranya Pas sebagai rakan dalam PR tidak memberi laluan kepada PKR untuk meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Besut yang kini kosong.

Beliau dalam satu kenyataannya kepada Sinar Harian berkata, kerusi Dun Kuala Besut yang kini kosong berikutan kematian wakil rakyatnya sepatutnya menjadi milik PKR untuk menggantikan tiga kerusi Dun, masing-masing Kota Putera, Bukit Besi dan Seberang Takir yang difahamkan diambil Pas pada PRU13.

Beliau berkata, kali ini Pas seharusnya memberi laluan kepada PKR untuk meletakkan calonnya berikutan dalam PRU13 baru-baru ini PKR telah memberi laluan kepada Pas biarpun tiga kerusi Dun berkenaan telah diperuntukkan kepada PKR.

"Jadi tiada sebab kenapa Pas tidak boleh beri laluan kepada kita untuk hanya satu Dun sahaja,” katanya.

Mohd Padeli berkata, sudah sampai masanya Pas membuat keputusan sebagai satu pasukan dalam PR, dan bukannya membuat keputusan sendiri seperti yang berlaku pada PRU13 di Terengganu baru-baru ini.

Katanya, sebagai rakan dalam PR, Pas seharusnya bersikap lebih setiakawan dan sanggup berkorban demi kejayaan rakan lain dalam PR.

“Walaupun PKR Terengganu merupakan organisasi yang kecil dalam PR berbanding Pas, namun impak dan peranannya cukup relevan dalam menjayakan agenda PR di negeri Terengganu.

"Jika pandangan ini tidak diterima atau dipandang sepi oleh pemimpin PR, mungkin saya akan bertanding di situ sebagai calon Bebas,” kata Padeli lagi yang merupakan ahli PKR cabang Dungun.– Sinar Harian
ANAK MELAYU JANGAN SIAKAN PELUANG BELAJAR

KUALA SELANGOR - Anak Melayu tidak seharusnya mempersia-siakan peluang untuk meningkatkan kemahiran selepas gagal dalam pelajaran kerana bidang kemahiran mampu mengubah hidup mereka menjadi insan lebih berjaya pada masa depan.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan, institusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) cukup dekat di hati kerana banyak membantunya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sehingga mampu digelar peguam sebelum melibatkan diri dalam politik.

Menurutnya, pelbagai institusi pendidikan dibina khas untuk orang Melayu, seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ternyata mampu melahirkan tenaga mahir yang cukup membanggakan negara termasuk Wan Nazri Wan Aria dengan rekaan menara jam di Mekah.

“Ternyata, produk Mara banyak memberi peluang membantu anak Melayu, termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej Kemahiran Profesional Mara dan GiatMara yang membantu mengubah seseorang itu menjadi pekerja mahir dalam bidang dikhususkan.

“Meskipun GiatMara menjadi institusi paling bawah, namun itu bukan menjadi alasan kepada pelatih untuk tidak membuktikan kemampuan diri dalam bidang yang diceburi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi GiatMara Zon Utara Negeri Selangor di Dewan Dato’ Seri Haji Abu Hassan, Kompleks Umno Kuala Selangor, semalam.

Noh berkata, rakyat sewajarnya tidak perlu mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan namun sedih apabila ada segelintir anak Melayu sendiri mempersoalkan perkara itu secara umum.




“Sebab itu, kita perlu lihat dengan lebih mendalam sejarah negara yang mana ketika sebelum merdeka, kehidupan orang Melayu sangat mundur sehinggakan British mewujudkan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (LPKP) atau Rural and Industrial Development Authority (Rida).




“Kini Rida lebih dikenali Mara berfungsi mengubah taraf hidup orang Melayu untuk setaraf dengan bangsa lain, namun keistimewaan itu turut dipertikaikan anak Melayu sendiri sehingga ada tuduhan keistimewaan itu bersifat perkauman.

“Inilah suara yang tidak menghormati Perlembagaan dan cuba mencabar hak orang Melayu sehingga mahu UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera. Kenapa perlu kacau UiTM sedangkan banyak lagi institusi pengajian tinggi awam atau swasta lain?

“Jangan menggugat kemudahan pendidikan orang Melayu yang ada di negara ini kerana kita tidak menghalang mana-mana institusi lain untuk pengambilan pelajar bukan bumiputera,” katanya yang turut menyampaikan sijil kepada ahli Kelab Teknologi Bumiputera (KTB). -Sinar Harian



ISU DAKWAT KEKAL: SPRM SIASAT SPR 

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan badan tersebut sedang menyiasat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan sama ada terdapatnya unsur-unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah dalam pembelian dakwat kekal.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, satu pasukan penyiasat sudah pun dibentuk bagi membuat siasatan terperinci ke atas setiap laporan dan aduan yang diterima.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa SPRM menyiasat isu ini sama ada terdapatnya penyelewengan dalam pembelian dan spesifikasi (dakwat kekal),” katanya.

Difahamkan pasukan ini sudah dibentuk sejak minggu lalu berikutan rungutan orang ramai berkenaan penggunaan dakwat kekal padaPRU13, 5 Mei lalu, yang didakwa tidak kekal. -Sinar Haria
PRK KUALA BESUT: UMNO YAKIN SOKONGAN TAK BERUBAH

BESUT - Umno Bahagian Besut yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Biro Penerangan Umno Bahagian itu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata, ini kerana pengundi melihat kerajaan BN menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) melalui projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan terutama untuk golongan nelayan di kawasan itu.

Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lepas akibat kanser paru-paru.

Wan Zakaria berkata, sepanjang tempoh Allahyarham Dr A Rahman menjadi wakil rakyat di kawasan itu, banyak projek pembangunan yang telah dilaksanakan dan masih banyak lagi sedang dibangun dan dalam perancangan.

"Pengundi di Dun Kuala Besut, menaruh harapan besar BN kekal di kawasan itu kerana masih banyak projek pembangunan untuk golongan nelayan termasuk di Pulau Perhentian akan dilaksanakan kerajaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Wan Zakaria, antara rancangan besar yang sedang dibangunkan di Pulau Perhentian termasuk pembangunan penempatan penduduk melalui pembinaan tiga blok rumah pangsa, masjid dan projek pelancongan.

Wan Zakaria yang pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal berkata, pertandingan merebut kerusi Dun Kuala Besut dijangka menarik kerana ia pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 Mei lalu dan berdasarkan pengalamannya beliau yakin peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu adalah cerah. – Bernama/Sinar Harian
PRK KUALA BESUT KRITIKAL, SANGAT PENTING – AZMIN ALI

KUALA LUMPUR - PRK Kuala Besut disifatkan pertandingan yang kritikal serta sangat penting kepada Umno-BN dan PR kerana ia mampu menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri, ujar Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu katanya, pertarungan merebut kerusi itu dijangka sengit khususnya parti pemerintah yang akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada dirampas parti lawan.

Apatah lagi, ia melibatkan risiko kehilangan kuasa pentadbiran di negeri itu.

"Bagi Umno, ianya perlu untuk mempertahankan kerajaan negeri, bagi PR ianya amat perlu untuk kita membentuk sebuah kerajaan negeri yang baru selepas PRK itu.

"Sekiranya PR dapat menawan semula kerusi berkenaan kerana kerusi itu pernah dimenangi oleh PKR pada 1999.

"... ianya tidak mustahil untuk PR sekali lagi mewakili kerusi itu pada PRK akan datang," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui dalam program 'Wacana Ucapan Dasar, Laksana Satu Nyawa' bersama Timbalan Presiden PKR, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kekosongan kerusi Dun Kuala Besut, Terengganu susulan kematian penyandangnya, Dr A.Rahman Mokhtar dari BN.

Azmin juga tidak menolak kemungkinan PKR akan meletakkan calonnya di kerusi tersebut yang merupakan PRK kali pertama akan diadakan selepas pilihan raya 5 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu hanya akan diketahui selepas satu mesyuarat bersama Majlis Pimpinan PR diadakan dalam masa terdekat.

"Saya yakin kali ini ianya akan menonjolkan satu wakil yang mewakili PR daripada parti yang akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan PR.

"Sebarang keputusan yang bakal diambil adalah tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan akan dibuat dalam Majlis Pimpinan PR," katanya lagi.

Selain itu, Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menggunakan sebaik mungkin platform PRK itu untuk menunjukkan kesungguhan beliau dalam melakukan transformasi pilihan raya di negara ini.– Sinar Harian

KD: Tidak salah berusaha dan bersemangat tinggi untuk berjuang demi kemenangan parti, namun jangan terlalu yakin akan menang... kerana dikhuatiri tidak boleh hakikat untuk menghadapi kekalahan.