Friday, June 7, 2013

DAP MAHU KUASAI POLITIK MALAYSIA - DR MAHATHIR

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa parti DAP bukan hanya mahu menguasai ekonomi negara semata-mata tetapi juga politik Malaysia.
Dipetik daripada blog CheDet, Dr Mahathir berkata, ia dapat dilihat berdasarkan kepada kebangkitan kaum itu menerusi siri himpunan anjuran pembangkang selepas PRU13 lalu.

Menurut Dr Mahathir lagi, PR yang terdiri daripada gabungan Pas, PKR dan DAP menyaksikan Pas antara parti yang paling banyak tewas, manakala DAP merupakan pemenang paling besar dengan kejayaan memusnahkan kerjasama di antara pelbagai kaum seperti ditunjukkan dalam gabungan BN.

“Pakatan ini jelas memberi keuntungan paling besar kepada cauvinis Cina dalam DAP, manakala Pas, Melayu paling ramai dalam parti Pakatan mendapat keuntungan paling sedikit, dengan memenangi hanya 21 kerusi berbanding 38 kerusi DAP dan 30 dari PKR.

“Sedangkan, jumlah kerusi yang ditandingi Pas paling banyak, ini menunjukkan bahawa DAP berusaha untuk membolehkan golongan Cina yang “sudah pun menguasai ekonomi” untuk turut menguasai politik Malaysia," katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir juga meramalkan bahawa perkembangan itu akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih serius manakala orang Melayu akan terus disisih daripada segi ekonomi dan politik.

“Di dalam dan di luar negara, pemuda Cina memakai baju hitam dan bertopeng membentuk sebahagian besar daripada peserta demonstrasi.

“Walaupun ia dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti PKR, sebahagian besarnya dihadiri kaum Cina terutama golongan muda. Biasanya, orang Melayu yang menjadi majoriti peserta demonstrasi.  Protes itu seolah-olah dilakukan oleh kaum Cina,” ujarnya.

Menurutnya, jumlah orang Melayu yang sedikit di perhimpunan ini juga boleh dikaitkan dengan “keterasingan” pemimpin Pas dengan demonstrasi tersebut, yang didakwanya sebagai usaha menumbangkan kerajaan dengan cara “Arab Spring”. -Sinar Harian
SIKAP DAP PUNCA PERPECAHAN KAUM – TUN M

KUALA LUMPUR 6 Jun - Perpecahan kaum yang semakin serius kini adalah disebabkan sikap DAP yang menolak 'semangat perkongsian' antara kaum khususnya melibatkan Melayu, Cina dan India, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri, hal itu kerana DAP mahukan orang Cina yang telah mendominasi ekonomi, menunjukkan penguasaan seterusnya iaitu dalam bidang politik di negara ini.

Malah jelasnya, perkara itu dikuatkan lagi menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila DAP memainkan sentimen perkauman untuk menarik sokongan pengundi Cina daripada Barisan Nasional (BN) dengan menggambarkan MCA sebagai 'pak turut' UMNO.

"Walaupun DAP mendakwa sebuah parti pelbagai kaum, secara faktanya ia adalah parti orang Cina dengan anggota dan pemimpin utamanya adalah orang Cina. Apabila mereka mengadakan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) baru-baru ini, selain Karpal Singh, semua anggota yang dipilih adalah orang Cina.

"Kebencian terhadap orang Melayu telah dimulakan melalui slogan Malaysian Malaysia dengan gambaran bahawa orang bukan Melayu telah didiskriminasi atau dianggap rakyat kelas kedua," katanya seperti dipetik dalam blognya, http://chedet.cc hari ini.

Dr. Mahathir memberitahu, penyokong meritokrasi dan puak ekstremis Cina dalam DAP turut mendakwa kerajaan BN telah melakukan diskriminasi dengan mengutamakan orang Melayu dalam banyak perkara.

"Untuk itu setiap kali polisi kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dipertahankan, orang yang mempertahankannya sama ada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dilabel sebagai rasis," ujarnya.

Jelas beliau, jika lebih banyak bukti diperlukan mengenai peranan puak rasis Cina dalam pilihan raya umum lalu, demonstrasi menuduh BN menipu ketika pilihan raya walaupun dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Parti Keadilan Rakyat (PKR), kebanyakannya dihadiri oleh orang Cina terutama golongan muda kaum itu.

"Sama ada di dalam mahupun di luar negara, golongan muda Cina memakai baju hitam. Kurangnya rasa hormat terhadap bendera Malaysia ditunjukkan belia Cina di Taiwan dengan menterbalikkan bendera.

"Protes-protes ini kelihatan bersifat urusan orang Cina manakala Pas dilihat seakan tidak menyokong," tegasnya.

Katanya, pakatan pembangkang bukanlah satu bentuk gabungan sebenar tetapi hanyalah 'pakatan pilihan raya' untuk menentang BN.


"Pakatan itu jelas memberi untung kepada cauvinis Cina dalam DAP sementara Pas, parti yang mempunyai paling ramai Melayu dalam pakatan pembangkang mendapat untung yang kecil," tambahnya. –Utusan Online
TUDUH UMNO PERKAUMAN, NAMUN APA SUMBANGAN DAP KEPADA PERPADUAN RAKYAT?

KUALA LUMPUR  - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berterusan menuduh UMNO sebagai parti perkauman dilihat melucukan kerana DAP sendiri terbukti mengamalkan gaya politik cauvinis melampau sehingga meresahkan orang Melayu di negara ini.
 
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, Guan Eng perlu bertanya kepada diri sendiri berhubung sumbangan partinya dalam menjamin keharmonian rakyat pelbagai kaum seperti yang berjaya dilakukan Barisan Nasional (BN) sejak lima dekad lalu.

"DAP dakwa mereka memperjuangkan politik berbilang kaum tetapi itu cakap-cakap kosong dan retorik semata-mata, kalau kita tengok parti ini, bukan parti untuk kaum selain Cina. Tanyalah ahli-ahli parti yang telah keluar dari DAP, orang Cina pun kata parti itu sangat perkauman.

"Meskipun UMNO mewakili masyarakat Melayu, Cina diwakili MCA manakala India MIC, penyatuan menerusi BN berkesan sebagai satu ramuan yang dapat menyatukan hati seluruh rakyat Malaysia, tidak seperti DAP dan pembangkang lain," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng melalui artikel yang disiarkan di laman webnya yang menyebut keengganan UMNO menjadi parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum menunjukkan parti tersebut berterusan mahu memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.

Mengulas lanjut, Tunku Aziz menegaskan, Guan Eng tidak perlu runsing terhadap UMNO atau BN sama ada ingin menjadi parti tunggal atau sebaliknya, tetapi perlu menumpukan kepada masalah dalaman DAP yang kian memuncak.

Beliau berkata, Setiausaha Agung DAP itu seharusnya memberi perhatian kepada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dan bantahan ahli parti cauvinis itu terhadap kepimpinannya.

"Guan Eng tidak mempunyai kelayakan mengeluarkan sebarang pendapat berhubung parti lain kerana masalah dalaman DAP pun dia tidak mampu menyelesaikan, jadi kenapa dia tuding jari," katanya.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, memang menjadi tabiat bagi Ahli Parlimen Bagan itu untuk memulakan sesuatu isu dan bertindak 'lepas tangan' apabila perkara tersebut mendatangkan kontroversi terhadap karier politiknya.

Sambil merujuk kepada isu penggunaan kalimah Allah katanya, Guan Eng tiba-tiba 'lesap' daripada perhatian umum setelah isu tersebut menjadi polemik yang serius dalam kalangan umat Islam.

"Dalam hal parti tunggal ini, saya menghormati pendirian UMNO yang sentiasa terbuka untuk menganjurkan perbincangan berbanding DAP apabila sentiasa dipimpin Guan Eng dalam segala urusan membuat keputusan," tegasnya.–Utusan Online