Friday, June 7, 2013

MALAYSIA TUMPU USAHA IKTIRAF WANITA - PM
Pembangunan ekonomi perlu sumbangan kaum hawa

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia kini memberi tumpuan mengiktiraf dan memperkasakan peranan kaum wanita berbanding membincangkan soal melindungi dan repsentasi golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya kejayaan dan taraf sesebuah negara itu diukur berdasarkan status dan kedudukan wanita dalam negara terbabit.

Katanya, wanita Malaysia diberi hak mengundi sejak 1957 selain persamaan gaji sejak 1969.

Peluang maju ekonomi

Malah katanya, kedudukan wanita dalam jawatan tertinggi sektor awam meningkat kepada 33 peratus berbanding 18 peratus, sebelum beliau mengambil alih pucuk pimpinan negara kira-kira empat tahun lalu.
“Sekiranya kita mahu membangunkan ekonomi yang lestari dan maju, wanita perlu memainkan peranan utama. Memajukan peluang ekonomi wanita juga bukan perkara sepatutnya dilakukan tetapi perkara bijak yang boleh dilakukan,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Global Wanita 2013 di sini, semalam.

Sidang Kemuncak Global Wanita kali pertama dianjurkan di Malaysia itu disertai 1,100 peserta daripada 72 negara membincangkan peranan dan hala tuju memperkasakan wanita dalam arena antarabangsa.

Hasil dasar transformasi

Najib berkata, di Malaysia, wanita memainkan peranan dan memegang jawatan utama, tujuh wanita menerajui jawatan utama dalam sektor awam, termasuk memegang jawatan Ketua Setiausaha kementerian, Gabenor Bank Negara dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Katanya, penambahbaikan itu sebahagian hasil dasar disasarkan menerusi Program Transformasi Ekonomi dalam memperkasakan wanita sebagai pembuat keputusan, memperkasa usahawan wanita dan inisiatif memperkasakan ibu tunggal dan wanita pedalaman.

“Kita sudah maju, namun perjalanan kita masih panjang. Malaysia pada kedudukan 42 daripada 148 negara dalam Indeks Kesaksamaan Gender di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP),” katanya.–Berita Harian

No comments:

Post a Comment