UNDANG-UNDANG INTERNET, SKMM DIGESA KAJI PENGGUNAAN
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah mengkaji aspek penggunaan internet di
negara ini secara holistik, termasuk keperluan dan kesesuaian mewujudkan
undang-undang tertentu untuk mengawalnya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perkara itu akan diteliti secara
rasional, tidak terburu-buru tanpa membabitkan tempoh masa, dan bukan
berdasarkan pertimbangan atau perspektif politik.
Katanya, kerajaan tidak boleh terlalu
sensitif dengan segelintir kandungan online berbaur politik yang melakukan
penyalahgunaan atas tujuan tertentu, sebaliknya perlu melihat kegunaan internet
secara menyeluruh, termasuk untuk kepentingan perniagaan, mempromosi negara dan
perkongsian maklumat serta pendapat dalam pelbagai bidang.
Kawal internet
Bagaimanapun pada masa sama, beliau berkata,
kajian SKMM juga akan mengambil kira langkah negara lain seperti Australia dan
United Kingdom yang walaupun mengamalkan dasar liberal, tetap melaksanakan
inisiatif kawalan terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada pornografi
serta mengelak ancaman pengganas.
“Kita akan pantau perkara ini. Ada
sesetengah perkara itu tidak perlu kita buat undang-undang seperti di
Singapura. Undang-undang yang ada sudah memadai... boleh gunakan akta sedia
ada, tidak semestinya kita kena buat satu peraturan perlesenan untuk tujuan
itu,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat
Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.
Pantau sebelum contohi Singapura
Mengulas kenyataan Presiden Jaringan
Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, yang menggesa kerajaan mencontohi
langkah Singapura mewajibkan lesen terhadap semua laman web berita di negara
ini, Ahmad Shabery berkata, kerajaan perlu terlebih dulu memantau keberkesanan
tindakan Singapura itu, memerhati pelbagai aspek yang masih kabur berhubung
pelaksanaan berkenaan, selain mengenal pasti sama ada ia dianggap suatu kaedah
untuk menyekat kebebasan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan,
paling penting dalam konteks ini ialah rakyat Malaysia mempunyai kawalan
kendiri, lebih bertanggungjawab dan bijak dalam memanfaatkan kemudahan
internet, termasuk tidak menyalahgunakannya untuk mencetuskan sentimen
perkauman, menabur fitnah, meracuni fikiran masyarakat sehingga merosakkan
ketenteraman awam, atau terperdaya dengan pembohongan. –Berita Harian
No comments:
Post a Comment