Thursday, July 11, 2013

HARGA RUMAH MELAMPAU: HARGA RUMAH MUNGKIN RM1 JUTA

Harga rumah mungkin RM1 juta
Tiada keretaku bawa kau jalan-jalan,
Rumahku pun tiada adapun bapa punya,
Apa lagi belanja mau bayar berian,
Kahwin sama kamu...


Harga rumah melambung tinggi

Mungkin situasi yang disampaikan di dalam bait lirik lagu 'Anak Kampung' nyanyian Jimmy Palikat itu turut dialami sendiri oleh kebanyakan rakyat di negara ini terutamanya generasi muda dan golongan  kelas pertengahan yang menghadapi kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri disebabkan harga rumah yang melambung tinggi.

Memiliki kediaman sendiri sememangnya menjadi impian setiap insan apatah lagi sudah mempunyai keluarga sendiri. Namun, hakikatnya harga rumah terutamanya di negeri Selangor dianggap menakutkan dan ‘tidak masuk akal’ jika dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia.

Malangnya, tidak kira apa jenis sekalipun sama ada flat, teres, apartmen dan kondominium melambung tinggi bukan hanya di kawasan bandar yang pesat membangun bahkan di pinggir-pinggir bandar di Selangor seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.

Tidak kira samada rumah tersebut adalah rumah baru atau penjualan rumah ‘second hand’ atau rumah sekunder,  harga keperluan asas tersebut semakin naik kira-kira 20-30 peratus setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Melihat pasaran sekarang, rata-rata harga rumah yang dijual melalui projek perumahan baru dengan reka bentuk “high –end” dengan keluasan 24 x 70 kaki persegi dijual pada harga RM400,000 ke atas, harga yang ditawarkan tidak banyak beza antara satu pemaju dengan pemaju yang lain.

Di kawasan pinggir bandar, Klang contohnya rumah teres dua tingkat baru yang kebanyakan pemaju lebih gemar menjual rumah dengan reka bentuk moden terkini boleh mencecah RM600,000 ke atas.

Jika ada rumah teres dua tingkat sekunder pun kini harganya dalam lingkungan RM300,000 ke atas, itu pun mengambil kira faktor lokasi, keadaan rumah dan keadaan persekitaran.

Pilihan untuk keselesaan golongan pertengahan terletak pada jenis rumah teres setingkat, bagaimanapun tidak banyak pemaju yang membina rumah jenis tersebut. Mungkin pada pandangan mereka adalah lebih berbaloi pada tanah yang sama dibina rumah teres dua tingkat pada harga pasaran sekarang.

Persoalannya, tawaran harga rumah yang semakin  melambung tinggi dari hari ke hari sekarang ini adakah ia memenuhi keperluan majoriti rakyat di negeri Selangor ini iaitu golongan pertengahan?.

Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga rakyat yang berpendapatan sederhana iaitu purata jumlah isi rumah RM6,000 sebulan.

Rumah jenis apartmen atau kondominium juga tidak kurang hebatnya dan boleh dikatakan agak serupa sahaja harga melambung tinggi walhal ianya tidak melibatkan tanah yang banyak.

Golongan pertengahan terutama golongan muda yang baru berumah tangga menyasarkan memiliki rumah yang berharga dalam lingkungan RM200,000 ke bawah. Namun, masih adakah rumah dengan harga pasaran RM200,000 kini terutamanya di pinggir bandar di Selangor?.

Dengan keadaan peningkatan harga rumah yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat ditambah pula nilai wang semakin mencengkam, adakah layak rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah dengan harga pasaran sekarang yang ditambah dengan komitmen lain seperti bayaran bulanan kenderaan dan lain-lain?.

Cecah harga RM1 juta

Sebuah media tempatan sebelum ini melaporkan  rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 seunit menjelang tahun 2020 berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn Bhd (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaru rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.

Media tersebut turut melaporkan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.

Katanya, untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.

Jika perkara itu benar, Selangor sebagai yang berada dalam lingkungan Lembah Klang pastinya menerima kesan kenaikan mendadak harga rumah.

Dilema pembeli

Dalam isu ini, nampaknya golongan yang semakin tersepit dan terhimpit adalah golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan. Ini kerana, bagi golongan berpendapatan rendah, mereka dibela dengan penyediaan rumah mampu milik kerajaan negeri dan PPR/PPA.

Dilemanya kini ditanggung oleh golongan pertengahan, golongan  berpendapatan RM6,000 ke bawah jika harga rumah semakin naik mendadak saban hari.

Kerajaan Pusat turut merancang strategi holistik untuk menangani isu harga rumah tinggi dengan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Persoalannya, apakah punca peningkatan harga rumah yang semakin mendadak di Selangor sehingga ia membebankan sekali gus menguburkan impian majoriti rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah.

Apakah langkah yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani isu ini agar harga rumah yang ditawarkan selari dengan pendapatan majoriti rakyat?. Adakah skim rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri mencapai matlamat?.

Strategi holistik

Jika kenaikan harga rumah disebabkan kos pembinaan seperti pasir yang meningkat, apakah langkah kerajaan negeri untuk membantu. Adakah rumah mampu milik yang disediakan Kerajaan Negeri mampu menampung kira-kira 5.2 juta penduduk Selangor yang mana kira-kira 1. 56 juta penduduk adalah miskin dan 1.36 juta penduduk adalah miskin bandar sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Paras Garis Kemiskinan Selangor terdahulu.

Apakah strategi holistik pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk mengawal kenaikan harga rumah?. Wajarkah menjadikan harga barangan binaan sebagai harga kawalan? Bagaimana pula dengan kawalan harga tanah oleh pihak kerajaan negeri agar ia tidak dimanipulasi menyebabkan kenaikan tidak masuk akal rumah yang dibina?. 

Semua ini perlu diselesaikan oleh pemimpin yang dipilih rakyat agar majoriti rakyat di negeri ini khasnya dapat menikmati kehidupan selesa, bukannya menumpang di negeri sendiri.

 – Wartawan Sinar Harian

PRK KUALA BESUT: VETERAN UMNO MAHU PENGUNDI WARGA EMAS UNDI BN

PRK Dun Kuala BesutMELAKA - Kelab Veteran Umno kini fokus untuk memastikan 2,385 pengundi warga emas berusia lebih 60 tahun mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dun Kuala Besut.
  
Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata Veteran Umno juga akan pilihan raya yang melibatkan 17,683 pengundi berdaftar itu.
  
"Ini selaras dengan kempen 'Keluargaku Pengundi BN' yang dijalankan Veteran Umno. Veteran Umno di Besut akan turun padang habis-habisan bagi memastikan kemenangan calon BN.
  
"Sebanyak 10,000 pelekat 'Keluargaku Pengundi BN' akan diedarkan kepada anggota Veteran Umno bagi menarik perhatian pengundi Dun Kuala Besut," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Dun Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN pada 26 Jun lepas.
  
Penamaan calon akan diadakan esok manakala pengundian awal 20 Julai dan pengundian biasa pada 24 Julai.

BN menamakan anak tempatan seorang jurutera awam, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, manakala PAS menamakan kontraktor Endot@Azlan Yusof, 48, sebagai calon parti masing-masing.
  
Mustapha berkata Veteran Umno juga akan mengadakan program yang bersesuaian dengan bulan Ramadan seperti majlis tahlil, bacaan Yasin, tazkirah Ramadan dan majlis berbuka puasa secara berkelompok menjelang pilihan raya kecil ini.
  
"Lawatan rumah ke rumah bagi mengeratkan silaturahim di samping menjawab isu-isu semasa, gotong-royong membersih surau dan masjid serta tanah perkuburan akan dijalankan veteran di Dun itu," katanya.
  
Beliau berkata tenaga penceramah luar bagi pilihan raya kecil ini hendaklah terdiri daripada penceramah agama bukannya penceramah politik semata-mata dan sistem bapa angkat dari luar hendaklah dilaksanakan dengan berkesan bagi menarik pengundi memilih calon BN.
  
"Isu tempatan antaranya isu nelayan di kawasan itu perlu diselesaikan pihak yang terlibat seperti Jabatan Perikanan. Isu lain seperti kenaikan harga barang perlu dibendung bagi memastikan ia tidak dijadikan modal politik pembangkang," katanya.
  
Mustapha berkata semua pihak perlu menjaga tataetika berkempen khususnya pada bulan Ramadan yang mulia ini. – Bernama/Sinar Harian
PRK KUALA BESUT: PERSAINGAN 2 ANAK TEMPATAN MENJAGA RAKYAT

PRK Dun Kuala BesutKUALA BESUT - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut menjadi lebih istimewa kerana pertembungan calon yang melibatkan dua anak tempatan yang berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Kuala Besut.
  
Barisan Nasional (BN) memilih Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, iaitu jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, yang sebelum itu pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu dengan menjawat jawatan jurutera daerah.
 
Pengalaman itu menjadikan anak kepada veteran Umno Besut itu sudah biasa berhadapan dengan masalah masyarakat khasnya penduduk kampung dan pengundi di Kuala Besut.

Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Tengku Zaihan sebagai muka baharu yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno.

Tengku Zaihan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) dikatakan mempunyai ciri pemimpin berwibawa dan banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan Kuala Besut ketika berkhidmat sebagai jurutera JPS daerah itu.
  
Menyifatkan dirinya sebagai orang biasa di sebalik pangkal namanya yang bermula dengan Tengku, anggota Umno Cawangan Seri Seratus itu ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon menyatakan tekad untuk meneruskan tugas yang ditinggalkan bekas wakil rakyat, selain membalas budi pimpinan parti kerana memilihnya.
  
"Pemilihan ini merupakan satu amanah, satu tanggungjawab, satu keyakinan yang diberi pucuk pimpinan untuk membolehkan saya mencurahkan khidmat kepada penduduk kampung sendiri," katanya.
   
Pas pula mempertaruhkan ahli perniagaan Azlan Yusuf, 48, yang juga bendahari parti itu di Besut, sebagai calonnya yang lebih dikenali dengan panggilan Che Long dalam kalangan masyarakat setempat.
  
Anak tempatan Kuala Besut yang menetap di Kampung Baru di sini itu merupakan calon muka baharu taruhan Pas selepas parti itu gagal menumbangkan BN menerusi calon wanita pada pilihan raya umum lepas.

Pemilihan Azlan, yang banyak menghabiskan masa menguruskan perniagaannya di beberapa kawasan di daerah Besut dan di Kelantan dilihat satu percubaan berani Pas dalam pendekatannya kerana sebelum ini parti itu diuar-uarkan akan meletakkan calon yang berlatarbelakangkan agama.
  
Walaupun berbeza parti, dua calon itu dilihat meletakkan hala tuju sama dalam pendekatan berkempen iaitu secara sederhana dan berhemah menerusi program keagamaan di surau dan masjid dalam mendekati pengundi.
 
Program seperti berbuka puasa bersama penduduk dan tazkirah dilihat menjadi pilihan utama kedua-dua parti untuk disesuaikan dengan bulan Ramadan.
  
Pilihan raya kecil Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari BN pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan Jumaat ini sebagai hari penamaan calon.

Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463 ialah pengundi Melayu, Cina 125 manakala selebihnya pengundi lain-lain bangsa.
  
Pada pilihan raya yang cukup signifikan itu, BN menetapkan Slogan 'Kuala Besut bertambah Biru' untuk kempen manakala Pas tampil dengan moto '16-16', merujuk kepada kedudukan kerusi Dun Terengganu andai Pas berjaya merampas Dun Kuala Besut pada pilihan raya kecil berkenaan.
  
Selepas pilihan raya umum Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir BN yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada Pas dan satu wakil PKR.
  
Kuala Besut mempunyai kira-kira 22,986 penduduk pada keluasan 41 kilometer persegi, kebanyakan terdiri daripada golongan nelayan. - Bernama/Sinar Harian
PRK KUALA BESUT: PENDUDUK MAHU KEMPEN SEDERHANA

PRK Dun Kuala BesutKUALA BESUT - Penduduk Kuala Besut berharap kempen parti politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut diadakan secara sederhana terutamanya bagi memelihara kemuliaan bulan Ramadan.
  
Menurut penduduk tempatan yang ditemui Bernama, tanpa kempen 'keterlaluan' pun pengundi tetap akan membuat pilihan dengan kecenderungan memihak kepada calon yang bijak berkempen secara berhemah seperti menjaga percakapan dan bahasa yang digunakan.
  
Peniaga kedai runcit di pekan Kuala Besut, Wee Shin Ai @ Wee Ew Hwa, 60, berkata rakyat kini bijak menilai dan lebih menghormati calon 'matang' yang tidak menyerang peribadi lawan, sebaliknya memaklumkan agenda pembaharuan jika terpilih menjadi wakil rakyat.
  
"Tidak perlu cakap banyak, cuma ambil tahu apa yang rakyat mahu. Di sini tidak ada bank komersil, menyebabkan kami terpaksa pergi ke Jerteh untuk urusan bank setiap bulan terutamanya bagi mereka yang menjalankan perniagaan," katanya.
  
Wee berkata kekurangan bank komersil perlu diatasi memandangkan Kuala Besut merupakan laluan masuk ke destinasi pelancongan terkenal Pulau Perhentian, menyebabkan pelancong termasuk dari luar negara mengalami kesukaran mengeluarkan wang tunai.

Kempen bersederhana juga dipersetujui pemandu pelancong Azwee Pin, 37, yang berharap bandar kecil itu tidak dibanjiri terlalu ramai orang luar bermula hari penamaan calon pada Jumaat ini sehingga hari mengundi kerana ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.
  
Tambahan pula menurut anak jati Kampung Gertak Seratus di sini, jumlah kehadiran pelancong asing tinggi bulan ini terutamanya dari negara Eropah yang bercuti sempena musim panas.
  
"Jalan di sini kecil. Jika ramai datang untuk tolong kempen, kami akan ada masalah membawa pelancong yang datang dari Kota Baharu (Kelantan) untuk menaiki bot ke Pulau Perhentian kerana perjalanan yang selalu mengambil masa sejam boleh bertambah," katanya.
  
PRK DUN Kuala Besut diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar, 64, akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lalu. SPR menetapkan hari penamaan calon Jumaat ini manakala 24 Julai sebagai hari pengundian.
  
Barisan Nasional (BN) mengumumkan anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan BN bagi PRK Dun Kuala Besut dengan Pas menamakan Endot@Azlan Yusof, seorang kontraktor sebagai calon parti itu.

Bagi pengundi muda Tuan Nur Shafikah Alia Tuan Nor, 22, dari Kampung Nail di sini, beliau berharap penyokong parti terutamanya dari luar tidak akan berkempen secara keterlaluan sehingga tidak mencerminkan budaya orang pantai timur.
  
Katanya calon juga perlu bijak mengawal penyokong mereka dan kebolehan berbuat demikian dapat menjadi 'mata penentu' untuk rakyat tempatan mengundi mereka pada 24 Julai nanti.
  
Sementara itu, pekerja am Jeti Kuala Besut, Suhaibah Muda, 45, berkata beliau berharap PRK pertama sejak PRU13 itu dijalankan secara bersederhana termasuk dari segi kewangan dan tidak menggunakan surau atau masjid sebagai medium berkempen.
  
"Tak perlu buat (kempen) besar-besaran, sampai pasang banyak bendera di setiap penjuru jalan. Ini bulan molek (baik) lebih baik berjimat dan duit itu digunakan untuk bantu orang susah terutama apabila hendak raya nanti," katanya.
  
Beliau yang berasal dari Kampung Alor Teratai di sini, juga berharap calon tidak hanya mesra rakyat dalam tempoh berkempen, sebaliknya terus meletakkan permasalahan penduduk sebagai agenda utama selepas menang.
  
"Kita duduk di kampung, tapi masih mahu pembangunan untuk golongan muda. Sebab itu perlu wakil yang senang untuk jumpa. Kempen kecil pun, jika pandai ambil hati, pasti orang Kuala Besut akan pangkah," katanya. – Bernama/Sinar Harian
HARGA RUMAH MELAMPAU: KERAJAAN JANGAN CAKAP SAHAJA, KATA CUEPACS
 Harga rumah mungkin RM1 juta
SHAH ALAM - Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman mendesak kerajaan agar menyediakan rumah mampu milik dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman Menurutnya, rakyat terutama golongan penjawat awam yang berpendapatan sederhana dan rendah sudah muak dengan janji-janji yang ditaburkan kerajaan.

“Kita mahukan tindakan segera daripada kerajaan dan agensi berkaitan bukan hanya sekadar melakukan pecah tanah dan perasmian namun rumah berkenaan tidak dibangunkan.

“Cuepacs mahu kerajaan sediakan perumahan mampu milik ini selewat-lewatnya 31 Disember 2015,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai dilema pembeli terutamanya penjawat awam untuk memiliki rumah mampu milik.

Omar berkata, sebagai suara kepada penjawat awam, Cuepacs tidak mampu menyediakan perumahan tetapi hanya sekadar menyampaikan hasrat kakitangan kerajaan ini.

“Saya sasarkan setiap penjawat awam mampu memiliki kediaman sendiri pada usia 35 ke 40 tahun.

“Kerana sekiranya usia mereka lanjut dan ini akan membebankan mereka untuk membayar kos pinjaman perumahan apabila bersara kelak, kerajaan perlu pertimbangkan aspek ini juga,” katanya.

Kata beliau, sebelum ini pihaknya ada mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berhubung kekangan kerajaan untuk melaksanakan segera rumah mampu milik kepada rakyat.

“Kekangan yang diberikan ialah lokasi, masalah tanah, penempatan dan sebagainya namun kerajaan perlu fikirkan nasib rakyat.

“Rumah adalah aset kepada mereka, takkanlah sehingga tua dan bersara mereka hanya menyewa. Tindakan lemah kerajaan ini membuatkan mereka tawar hati dan kecewa,” katanya.

Perkembangan sama, Omar berkata dengan hanya bersandarkan jawapan ‘dalam perancangan’ dan ‘sedang diusahakan’ bukanlah keputusan yang dinantikan rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan rekod berpuluh ribu penjawat awam telah memohon untuk miliki Rumah Mampu Milik namun kepastian belum dapat dibayangkan hanya menunggu.

“Kita dah arahkan setiap Kerajaan Negeri untuk bina perumahan kos sederhana untuk penjawat awam.

“Situasi terkini sewa rumah paling rendah sahaja sudah mencecah RM 800 ke RM 900 sedangkan keadaan boleh diumpamakan seperti ‘reban ayam’,” katanya.

Oleh yang demikian, Cuepas mendesak perkara ini diambil tindakan segera bukan hanya bercakap sahaja. Nasib rakyat dan penjawat awam tidak wajar diperjudikan. –Sinar Harian
PRK KUALA BESUT: PAS DIBAYANGI DR A RAHMAN

PRK Dun Kuala BesutBESUT – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengakui, sukar mencari pengganti seperti penyandang kerusi Dun Kuala Besut sebelum ini, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar.

Memuji keperibadian A Rahman dengan menganggap sukar ditandingi, beliau mgambarkan keadaan itu pengaruhi Pas meletakkan calon mempunyai ciri-ciri mudah didekati sebagaimana dimiliki A Rahman.

Sehubungan itu, dengan keputusan meletakkan calon Pas, Endot@Azlan Yusof, 48, beliau yakin calon diketengahkan parti itu tepat kerana mempunyai sikap mesra yang diingini rakyat.

“Hendak cari pengganti arwah Dr A Rahman agak sukar tetapi bagi kita, kita telah teliti dan cari calon yang insya ALLAH memenuhi ciri-ciri tersebut untuk kita kemukakan kepada rakyat di Kuala Besut agar mereka senang dengan calon ‘mudoh kiro, senang baso’ ini. Senang bila-bila masa boleh pergi ke rumah dia. Inilah ciri-ciri yang hendak kita kemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Ceramah Perisytiharan Calon Pas di Kampung Nail, Kuala Besut, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelam berharap Endot mampu mengulangi semula kejayaan Pas dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 2009.

Beliau berkata, perkara sama berlaku di kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila Allahyarham Datuk Razali Ismail ketika itu dilihat sukar dicari ganti di kalangan pemimpin BN, tetapi berjaya diisi oleh beliau yang merupakan calon Pas pada PRK itu.

Dalam masa sama, beliau berharap bulan Ramadan tidak melemahkan semangat jentera parti turun melakukan gerak kerja secara lebih proaktif untuk memenangkan calon Pas. -Sinar Harian
PRK KUALA BESUT: CALON BN MAHU SAMBUNG TUGAS ALLAHYARHAM A.RAHMAN
PRK Dun Kuala Besut
BESUT - Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut berazam berkhidmat penuh dedikasi dan meneruskan khidmat bakti Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar sekiranya diberikan mandat oleh penduduk Kuala Besut.

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman"Walaupun nama saya bermula dengan Tengku, saya pun orang biasa juga...saya sudah biasa bersama penduduk di Kuala Besut," kata Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon BN, di sini hari ini.

Selepas lebih lima tahun berkhidmat di Kuala Besut sebagai jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Besut dan kemudiannya 10 tahun di JPS Putrajaya, katanya beliau sudah biasa berhadapan dengan masyarakat khasnya penduduk kampung di Kuala Besut.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memilih beliau sebagai calon BN, beliau menyifatkan pilihan raya kecil itu sebagai "pilihan raya kecil yang besar".

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera dan penyokong BN kerana memberi sokongan kepada saya (dipilih menjadi calon) demi rakyat Kuala Besut," katanya.

Tengku Zaihan, 37, anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut dan anggota Umno Cawangan Seri Seratus diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK Kuala Besut di hadapan kira-kira 5,000 anggota jentera BN bagi pilihan raya kecil itu di Dataran Kuala Besut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh mengundi untuk PRK Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi dan 12 Julai sebagai tarikh penamaan calon.

Kekosongan Dun Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Tengku Zaihan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata beliau akan berusaha membela nasib rakyat sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Dun itu nanti.

Anak veteran Umno Kuala Besut itu dikatakan mempunyai ciri pemimpin berwibawa dan telah banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan Kuala Besut ketika berkhidmat sebagai jurutera JPS Daerah Besut. – Bernama/Sinar Harian
ISU DAKWAT KEKAL: JANGAN PERLEKEH SISTEM SPR

calitKUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan telah berusaha untuk memperbaiki masalah berhubung dakwat kekal dengan mengambil pendekatan mencelup jari ke dalam botol pada Pilihan Raya Kecill (PRK) Kuala Besut.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR akan mencuba pelbagai kaedah untuk memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, rakyat juga perlu berubah sikap yang suka memperlekehkan sistem SPR, walaupun telah berusaha memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa terutamanya dalam isu dakwat kekal.

"Cara celup jari telah dilakukan di kebanyakan negara, jadi SPR turut mencuba pelbagai kaedah untuk menambah baik usaha ini.

"Keberkesanan dakwat itu di kulit bukan di kuku jika dakwat telah dicelup ia akan lebih berkesan dan seragam, bukan calit ada yang sekali ada yang dua kali.

"Negara kita ini kebanyakannya nak perlekeh dakwat ini, negara lain tak ada usaha nak hilangkan dan cuci jari mereka, tapi di negara ini, ada pihak mencuba dengan pelbagai cara untuk hilangkannya kerana tak percaya pada SPR," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, SPR mengumumkan akan menggunakan kaedah mencelup jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat bagi menggantikan kaedah mencalit pada Hari Pengundian Awal (20 Julai) dan Hari Pengundian Biasa (24 Julai) di PRK Kuala Besut.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga berkata, dakwat kekal yang akan digunakan pada PRK tersebut diperolehi daripada pembekal yang baru.

"Kita telah ambil daripada pembekal baru bagi mengelak perkara yang sama berlaku," katanya lagi.
                                                                                                                                                         
Bagaimanapun apabila diminta mengulas berapa lama dakwat tersebut akan kekal, Wan Ahmad berkata, SPR berharap dakwat kekal yang dicelup itu nanti akan bertahan lama melainkan jika tidak ada usaha untuk membersihkannya.

"Saya tak boleh nak kata berapa hari ia akan kekal, kalau tidak ada usaha hendak bersihkannya ia akan tahan," katanya.– Sinar Harian

PRK KUALA BESUT: TENGKU ZAIHAN PILIHAN TEPAT, KATA PENDUDUK

Tengku Zaihan Che Ku Abd RahmanKUALA BESUT - Rata-rata pengundi di kawasan Dun Kuala Besut melahirkan rasa gembira terhadap calon BN yang diumumkan Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Kuala Besut, semalam.

Penduduk Kampung Alor Jejawi, Abdul Hamid Abd Rahman, 48, berkata, parti membuat pemilihan tepat apabila menampilkan orang muda iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon.

Menurutnya, walaupun tidak begitu mengenali calon secara dekat tetapi dia mengenali bapa Tengku Zaihan, Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah sebagai orang berpengaruh di Kuala Besut.

“Bapa beliau adalah guru agama dan aktivis veteran Umno yang disegani ramai di kawasan Kuala Besut selain mempunyai ramai saudara mara,” katanya.

"Tengku Zaihan mempunyai peluang cerah untuk menang kerana dia mempunyai kelulusan dan semangat untuk membantu orang tempatan sangat kuat,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Mohd Noor Mat Jusoh, 62, berkata, dia gembira kerana pucuk pimpinan parti membuat pilihan bijak dengan menampil orang muda sebagai calon.

Menurutnya, Tengku Zaihan orang muda mempunyai kelulusan serta mempunyai semangat bekerja untuk membantu masyarakat di Besut semasa beliau bertugas di Besut.

“Saya memberi bantuan sepenuhnya kepada beliau bagi memastikan BN menang dengan cemerlang di Dun Kuala Besut,” katanya dari Kampung Tok Saboh, di sini.

Dalam pada itu, Mohd Azhar Yunus, 29, dari Kampung Gertak Seratus pula berharap agar Tengku Zaihan lebih rapat dan tidak mengabaikan golongan muda.

"Sekiranya menang pilihanraya kelak, beliau perlu menyelami golongan muda dan mengambil berat keperluan golongan ini," katanya.– Bernama/Sinar Harian

GST LEBIH EFISIEN DARIPADA CUKAI JUALAN - PAKAR

KUALA LUMPUR - Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih efisien dan menyebabkan kurang herotan ekonomi berbanding cukai jualan yang akan digantikan, kata seorang pakar ekonomi.

GSTKetua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) Nor Zahidi Alias berkata, struktur GST akan menyediakan insentif kukuh bagi perniagaan untuk berdaftar dengan pihak berkuasa cukai, dan seterusnya menambah baik kecekapan kutipan.

"Salah satu cara ia akan memberi manfaat kepada ekonomi ialah GST adalah neutral berkaitan dengan kuasa pasaran dan perniagaan, tidak seperti cukai jualan," katanya kepada Bernama. 

Nor Zahidi berkata, cadangan kadar tujuh peratus akan memberi kesan minimum kepada harga dalam tempoh jangka sederhana dan panjang berbanding cukai jualan sekarang antara lima peratus dan 10 peratus.

Beliau berkata terdapat kemungkinan inflasi tinggi dalam fasa-fasa awal, terutamanya sekiranya aktiviti pencatutan tidak dibendung dengan baik.

Sementara itu RHB Research berkata, pengenalan GST dijangka membawa kepada kenaikan sekali inflasi, bergantung kepada paras barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan indeks harga pengguna (IHP) yang akan terlibat.

Pelaksanaan GST dijangka menambah antara 0.8 dan dua mata peratusan kepada IHP, mengandaikan kira-kira 20 peratus dan 50 peratus barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan IHP akan tertakluk kepada empat peratus GST, kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya.

Dalam Bajet 2013, kerajaan menyatakan adalah penting untuk melaksanakan rejim cukai baharu bagi memastikan kewangannya kekal kukuh, kata firma itu.

Ketua Ekonomi Nomura International bagi Asia kecuali Jepun, Rob Subbaraman berkata cukai penggunaan akan meningkatkan hasil kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal yang seterusnya juga boleh meningkatkan lebihan akaun semasa.

"Cukai penggunaan boleh berfungsi meningkatkan lebihan akaun semasa kerana ia boleh mengurangkan penggunaan isi rumah berbanding pendapatan, yang seterusnya meningkatkan tabungan peribadi," katanya.

Nomura, dalam laporan 'Asia's Rising Risk Premium' berkata lebihan akaun semasa Malaysia semakin mengecil dalam tempoh dua tahun lepas, mencecah paras rendah dalam tempoh 10 tahun pada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam suku pertama 2013 berbanding 10 peratus daripada KDNK pada 2011.

"Pengurangan lebihan akaun semasa itu adalah disebabkan kombinasi daripada eksport lemah, permintaan domestik kukuh dan harga komoditi rendah," kata firma tersebut. – Bernama/ Sinar Harian