Showing posts with label rumah. Show all posts
Showing posts with label rumah. Show all posts

Sunday, December 8, 2013

PULAU PINANG TETAPKAN SYARAT JUAL SEMULA RUMAH

GEORGE TOWN: Rumah di Pulau Pinang yang dibeli pada harga RM400,000 dan ke bawah tidak lama lagi akan dilarang untuk dijual semula dalam tempoh masa yang tertentu tanpa persetujuan kerajaan.

Diumumkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang akan mengenakan peraturan perumahan yang ketat mulai 1 Februari tahun depan bagi mengekang spekulasi hartanah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, rumah mampu milik yang dibeli pada harga di bawah RM400,000 di Pulau Pinang dan RM250,000 di tanah besar itu tidak boleh dijual selama lima tahun, manakala unit perumahan kos rendah dan sederhana rendah yang berharga sehingga RM72,500 di seluruh negeri tidak boleh dijual selama 10 tahun.

Beliau berkata, pemilik unit-unit ini yang mahu menjual mereka dalam tempoh berkenaan perlu membuat rayuan kepada kerajaan negeri dahulu dan unit-unit hanya boleh dijual kepada mereka yang berkelayakan iaitu "pembeli yang disenaraikan" yang berdaftar dengan jabatan perumahan negeri.

Lim dalam satu kenyataan media pada Ahad bahawa, peraturan itu melibatkan pembelian rumah sebelum ini dan akan datang.


Sumber: mStar Online

Wednesday, July 24, 2013

TPP: HARGA RUMAH AKAN NAIK

Harga rumah yang telah dianggap terlalu tinggi pada masa ini akan melonjak naik jika perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan Malaysia dengan 11 negara lain ditandatangani.

Wakil Persatuan Usahawan Arkitek Melayu Malaysia (Arkim) Mohamad Mokhtar Abdullah berkata, persaingan yang semakin meningkat antara firma luar negara dan tempatan akan meningkatkan harga lot tanah di mana projek perumahan akan dibina, menyebabkan kenaikan dalam harga rumah.

“Pasaran hartanah bukan macam jual baju. Kalau baju, lagi banyak kilang dibuka lagi murah.

“Tapi dalam hartanah, akan berlaku persaingan (dengan syarikat luar) untuk dapatkan tanah, permintaan akan semakin meningkat tetapi jumlah tanah tetap sama, jadi harga akan naik,” katanya dalam sidang media berhubung impak TPP kepada industri pembinaan di Kuala Lumpur, semalam.

Sidang media oleh Gabungan Persatuan NGO-NGO Kluster Pembinaan Melayu yang bernaung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu itu turut dihadiri Presiden Persatuan Pengilang, Pembekal, Kontraktor, Industri Elektrikal, Elektronik, Mekanikal dan ICT Melayu dan Bumiputera Malaysia (Perkem) Mohsen Hasbollah serta Presiden Persatuan Kontraktor Penyelenggaraan dan Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PKPP) Jamaliah Abdul Hamid.

Mohamad Mokhtar juga berkata, peluang untuk berniaga di negara anggota TPP lain dianggap tidak wujud kerana pelbagai syarat dan terma ketat yang dikenakan dan tiada data yang boleh menyokong jangkaan kerajaan bahawa syarikat pembinaan akan dapat menembusi pasaran luar walaupun TPP memberi akses pasaran yang lebih besar.

“Bukan  mereka tak benarkan kita berniaga di sana tapi firma Malaysia ini kebanyakannya kecil dan sederhana (PKS), jadi kalau diikut dari segi modal dan keupayaan, awal-awal lagi dah ditolak,” katanya.

Mengikut perangkaan SME Corporation Malaysia, sebanyak 97.3 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS.

Sementara itu, Mohsen berkata, keupayaan syarikat kontraktor Melayu dan bukan Melayu di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dan menganggap pembukaan pasaran seperti dirundingkan dalam TPP ibarat gergasi melawan manusia.

“Bila buka pasaran, macam gergasi (syarikat asing) melawan manusia (syarikat tempatan). Adakah kita bersedia?

“Bukan sahaja kami sektor swasta perlu bersedia tapi adakah kerajaan sendiri bersedia? Bagaimana dengan kesan aliran keluar mata wang jika projek di negara ini diberi kepada syarikat luar?,” soalnya.

Beliau turut meminta kerajaan ikut langkah negara lain seperti Jepun yang memberi keutamaan kepada syarikat tempatan mereka sehingga membolehkan nilai mata wang mereka kekal kukuh. –Sinar Harian

Friday, July 12, 2013

PROGRAM RUMAH TRANSIT DIPERKENAL

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan program 'rumah transit' untuk pasangan muda baharu berkahwin dan berpendapatan bulanan bawah RM3,000 dalam usaha mengurangkan beban mereka.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ,program dijangka dilaksana tahun depan.

Kerajaan akan memperuntukkan 10 peratus daripada rumah kos rendahnya untuk disewa pasangan ini selama dua tahun dan tumpuan program adalah di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, katanya.

"Pada pandangan kerajaan, dalam tempoh dua tahun mereka mampu berdiri sendiri untuk mencari jalan membeli rumah pertama kerana mereka tidak boleh tinggal di rumah transit selama lamanya," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman berkata rumah transit itu akan disewa pada kadar RM124 sebulan, sama seperti kadar yang dikenakan kepada penyewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).
 
Ketika ditemui pemberita kemudian, Abdul Rahman berkata kementerian itu menyasarkan untuk melancarkan projek rumah transit itu di Kuala Lumpur tahun depan.

Sebagai permulaan katanya kerajaan bercadang mengkhususkan 10 peratus daripada setiap projek PPR sedia ada dan yang bakal dibina untuk dijadikan rumah transit itu.

"Kalau boleh saya mahu seluruh blok bangunan itu dijadikan rumah transit. Kita mungkin menjadikan rumah PPR sebagai rumah transit," katanya menambah dalam jangka panjang kerajaan berharap dapat menyediakan 5,000 unit rumah transit di seluruh negara.

Katanya beliau juga merancang untuk berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mengambil alih Flat San Peng di Pudu untuk dijadikan projek rumah transit bagi pasangan muda.

Abdul Rahman berkata selain berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, kriteria lain yang melayakkan pasangan muda memohon rumah transit ialah berusia di bawah 30 tahun. – Bernama/Sinar Harian

Thursday, July 11, 2013

HARGA RUMAH MELAMPAU: HARGA RUMAH MUNGKIN RM1 JUTA

Harga rumah mungkin RM1 juta
Tiada keretaku bawa kau jalan-jalan,
Rumahku pun tiada adapun bapa punya,
Apa lagi belanja mau bayar berian,
Kahwin sama kamu...


Harga rumah melambung tinggi

Mungkin situasi yang disampaikan di dalam bait lirik lagu 'Anak Kampung' nyanyian Jimmy Palikat itu turut dialami sendiri oleh kebanyakan rakyat di negara ini terutamanya generasi muda dan golongan  kelas pertengahan yang menghadapi kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri disebabkan harga rumah yang melambung tinggi.

Memiliki kediaman sendiri sememangnya menjadi impian setiap insan apatah lagi sudah mempunyai keluarga sendiri. Namun, hakikatnya harga rumah terutamanya di negeri Selangor dianggap menakutkan dan ‘tidak masuk akal’ jika dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia.

Malangnya, tidak kira apa jenis sekalipun sama ada flat, teres, apartmen dan kondominium melambung tinggi bukan hanya di kawasan bandar yang pesat membangun bahkan di pinggir-pinggir bandar di Selangor seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.

Tidak kira samada rumah tersebut adalah rumah baru atau penjualan rumah ‘second hand’ atau rumah sekunder,  harga keperluan asas tersebut semakin naik kira-kira 20-30 peratus setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Melihat pasaran sekarang, rata-rata harga rumah yang dijual melalui projek perumahan baru dengan reka bentuk “high –end” dengan keluasan 24 x 70 kaki persegi dijual pada harga RM400,000 ke atas, harga yang ditawarkan tidak banyak beza antara satu pemaju dengan pemaju yang lain.

Di kawasan pinggir bandar, Klang contohnya rumah teres dua tingkat baru yang kebanyakan pemaju lebih gemar menjual rumah dengan reka bentuk moden terkini boleh mencecah RM600,000 ke atas.

Jika ada rumah teres dua tingkat sekunder pun kini harganya dalam lingkungan RM300,000 ke atas, itu pun mengambil kira faktor lokasi, keadaan rumah dan keadaan persekitaran.

Pilihan untuk keselesaan golongan pertengahan terletak pada jenis rumah teres setingkat, bagaimanapun tidak banyak pemaju yang membina rumah jenis tersebut. Mungkin pada pandangan mereka adalah lebih berbaloi pada tanah yang sama dibina rumah teres dua tingkat pada harga pasaran sekarang.

Persoalannya, tawaran harga rumah yang semakin  melambung tinggi dari hari ke hari sekarang ini adakah ia memenuhi keperluan majoriti rakyat di negeri Selangor ini iaitu golongan pertengahan?.

Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga rakyat yang berpendapatan sederhana iaitu purata jumlah isi rumah RM6,000 sebulan.

Rumah jenis apartmen atau kondominium juga tidak kurang hebatnya dan boleh dikatakan agak serupa sahaja harga melambung tinggi walhal ianya tidak melibatkan tanah yang banyak.

Golongan pertengahan terutama golongan muda yang baru berumah tangga menyasarkan memiliki rumah yang berharga dalam lingkungan RM200,000 ke bawah. Namun, masih adakah rumah dengan harga pasaran RM200,000 kini terutamanya di pinggir bandar di Selangor?.

Dengan keadaan peningkatan harga rumah yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat ditambah pula nilai wang semakin mencengkam, adakah layak rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah dengan harga pasaran sekarang yang ditambah dengan komitmen lain seperti bayaran bulanan kenderaan dan lain-lain?.

Cecah harga RM1 juta

Sebuah media tempatan sebelum ini melaporkan  rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 seunit menjelang tahun 2020 berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn Bhd (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaru rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.

Media tersebut turut melaporkan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.

Katanya, untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.

Jika perkara itu benar, Selangor sebagai yang berada dalam lingkungan Lembah Klang pastinya menerima kesan kenaikan mendadak harga rumah.

Dilema pembeli

Dalam isu ini, nampaknya golongan yang semakin tersepit dan terhimpit adalah golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan. Ini kerana, bagi golongan berpendapatan rendah, mereka dibela dengan penyediaan rumah mampu milik kerajaan negeri dan PPR/PPA.

Dilemanya kini ditanggung oleh golongan pertengahan, golongan  berpendapatan RM6,000 ke bawah jika harga rumah semakin naik mendadak saban hari.

Kerajaan Pusat turut merancang strategi holistik untuk menangani isu harga rumah tinggi dengan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Persoalannya, apakah punca peningkatan harga rumah yang semakin mendadak di Selangor sehingga ia membebankan sekali gus menguburkan impian majoriti rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah.

Apakah langkah yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani isu ini agar harga rumah yang ditawarkan selari dengan pendapatan majoriti rakyat?. Adakah skim rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri mencapai matlamat?.

Strategi holistik

Jika kenaikan harga rumah disebabkan kos pembinaan seperti pasir yang meningkat, apakah langkah kerajaan negeri untuk membantu. Adakah rumah mampu milik yang disediakan Kerajaan Negeri mampu menampung kira-kira 5.2 juta penduduk Selangor yang mana kira-kira 1. 56 juta penduduk adalah miskin dan 1.36 juta penduduk adalah miskin bandar sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Paras Garis Kemiskinan Selangor terdahulu.

Apakah strategi holistik pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk mengawal kenaikan harga rumah?. Wajarkah menjadikan harga barangan binaan sebagai harga kawalan? Bagaimana pula dengan kawalan harga tanah oleh pihak kerajaan negeri agar ia tidak dimanipulasi menyebabkan kenaikan tidak masuk akal rumah yang dibina?. 

Semua ini perlu diselesaikan oleh pemimpin yang dipilih rakyat agar majoriti rakyat di negeri ini khasnya dapat menikmati kehidupan selesa, bukannya menumpang di negeri sendiri.

 – Wartawan Sinar Harian