Monday, April 29, 2013

PRESIDEN PAS PERLU DALAMI SEJARAH TRAGEDI 13 MEI

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta jangan mengaburi mata rakyat dengan memutar belit fakta sejarah, terutamanya mengenai tragedi 13 Mei 1969.

Tindakan itu bukan hanya boleh memecah belahkan perpaduan rakyat, tetapi juga boleh meruntuhkan institusi Perlembagaan negara yang merupakan nadi kepada kesejahteraan Malaysia hari ini.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, semua fakta sejarah yang menjadi rujukan generasi kini adalah benar dan tidak ada alasan untuk menafikan atau menolak semua peristiwa yang berlaku dalam negara ini sejak dulu hingga kini.

Sebagai pemimpin, saya rasa Abdul Hadi perlu tahu banyak tentang sejarah negara ini dan bukannya memutar belit fakta demi mendapatkan sokongan.

Tragedi itu berlaku kerana sikap keterlaluan sesetengah penyokong parti pembangkang yang mengeluarkan slogan-slogan berbaur perkauman ketika meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum 1969," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa tragedi berdarah pada 13 Mei 1969 didalangi oleh UMNO bagi mengekalkan kuasanya.

Ramlah berkata, dakwaan pemimpin Pas itu secara tidak langsung menggambarkan pengetahuannya yang cetek dalam bidang sejarah.

Sebelum mengeluarkan dakwaan sedemikian, saya nasihatkan Abdul Hadi perlu membuat banyak rujukan agar tidak menampakkan betapa terdesaknya beliau untuk mendapatkan sokongan.

Beliau sepatutnya mengangkat martabat orang Melayu dan Islam, bukannya memburukkan kaum sendiri demi mengejar kuasa," ujarnya.

Katanya, tiada negara yang inginkan kekacauan dan pertumpahan darah, sebaliknya sentiasa berusaha mengekalkan keamanan yang ada untuk kesejahteraan rakyat. –UTUSAN ONLINE
PENASIHAT PKR BERDALIH TENTANG HUDUD

SARATOK - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan pendekatan 'menjawab soalan' sambil menyoal dan kemudiannya memperlekehkan wartawan yang mengajukan soalan tidak digemarinya.

Menjadi mangsa beliau kali ini ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times yang bertanyakan mengenai pendirian PKR dalam isu hudud Pas.

Pada mulanya, Anwar yang baharu selesai berceramah di pekan Kabong semalam menjawab soalan itu dengan memberitahu mana-mana parti pembangkang boleh mengemukakan cadangan dan perkara itu akan dibincang secara bersama.

Namun, apabila disoal kenapa masih tiada kesepakatan selepas lima tahun bersama, Anwar terus mempersalahkan media yang tidak melaporkannya.

Beliau kemudiannya bertanya wartawan berkenaan daripada mana dan apabila diberitahu, Anwar berkata: "Oh... patutlah, ada kenyataan yang jelas tentang hudud, bukan kenyataan UMNO, Straits Times (ini) UMNO," katanya dan terus menamatkan sesi soal jawab.

Sementara itu, di dalam ceramahnya, Anwar turut menjaja janji walaupun negeri yang dikuasai pembangkang sudah terbukti gagal menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12.

Anwar berulang kali memberitahu, harga minyak di negara ini akan diturunkan pada 7 Mei selepas pembangkang menawan Putrajaya dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dihapuskan serta-merta. –UTUSAN ONLINE

DAKWA PSM ANTI-AGAMA, ABDUL HADI 'BUTA SEJARAH’ - JEYAKUMAR

KUALA LUMPUR - Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang buta sejarah kerana gagal membezakan antara fahaman komunis dan sosialis.

Ahli Majlis Tertinggi PSM, Dr. M. Jeyakumar berkata, kenyataan Abdul Hadi yang seolah-olah menggambarkan sosialis menggunakan kekerasan serta cuba menyesatkan rakyat jauh menyimpang daripada ajaran sebenar fahaman itu.

Memang ada sedikit persamaan dalam matlamat antara komunis dan sosialis, tetapi itu dari segi pengagihan kekayaan sama rata dan untuk membantu golongan miskin.”

Tetapi sosialis tidak menggunakan kekerasan, tidak mempromosikan mana-mana agama dan tidak menghalang kebebasan beragama. Jadi, untuk mengatakan kita anti-agama itu langsung tidak betul," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang, Terengganu 22 April lalu, bahawa parti itu cuma bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetapi tidak dengan parti lain yang menjulang gambar Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin. –UTUSAN ONLINE

DAP UGUT TANGKAP DR. MAHATHIR

KLUANG - Pengerusi DAP, Karpal Singh mengugut untuk menangkap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menghadapkannya ke mahkamah kerana mengeluarkan kata-kata hasutan dengan menuduh Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai perkauman.

"Bila kami (pakatan pembangkang) memerintah nanti, kami akan tangkap Mahathir dan hadapkannya ke mahkamah kerana menuduh Kit Siang sebagai rasis (perkauman).

"DAP parti berbilang kaum, mereka kata kami parti orang Cina, saya nak jelaskan saya bukan orang Cina dan boleh jadi Pengerusi DAP," katanya dalam ceramahnya di sini, malam tadi.

Beliau turut mengugut untuk memecat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang didakwanya sebagai tidak berkaliber.

Selain itu, Karpal turut menuduh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak mengikut undang-undang semasa menerima Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Pada 2008, kami menang lima negeri tetapi Sultan Perak (Sultan Azlan Shah) bertindak tidak mengikut undang-undang. Saya ditangkap dan didakwa tetapi saya tidak takut, saya akan lawan dan boleh menang," katanya.

Sementara itu, Karpal berkata, walaupun terhutang budi kepada Pas yang membenarkan parti itu menggunakan lambang parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), DAP tidak akan sesekali membenarkan hukum hudud dilaksanakan.

Karpal dengan angkuh menegaskan walaupun mereka bersama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) namun tidak bermakna DAP menerima konsep negara Islam iaitu hudud.

"Kami (DAP) hargai kerelaan Pas dan PKR meminjamkan simbol mereka kepada DAP ketika isu pemilihan CEC (Jawatankuasa Kerja Pusat) dulu, tetapi tidak bermakna kami menerima dasar Islam kerana Pas dan PKR hanya meminjamkan lambang mereka.

"Kami menerima apa saja yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi Malaysia pun kami terima," katanya. -UTUSAN ONLINE