Monday, November 5, 2012

NURUL IZZAH LETAK AKIDAH LEBIH RENDAH DARIPADA POLITIK

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu termasuklah dalam kalangan orang Melayu jelas membuktikan beliau menjadikan agama sebagai modal politik untuk menarik sokongan bukan Islam.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan Nurul Izzah itu juga membuktikan beliau meletakkan kepercayaan terhadap agama Islam daripada sudut akidah lebih rendah berbanding kepentingan politiknya.

Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, perkara tersebut sangat serius kerana boleh merosakkan agama Islam dan menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyiasat perkara itu memandangkan kenyataan tersebut dilakukan di Selangor.

"Budak ini (Nurul Izzah) masih mentah, mungkin beliau terpengaruh dengan bapanya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendokong fahaman pluralisme. Jadi, saya mintalah ahli-ahli Pas yang mendakwa mereka sebagai parti yang memperjuangkan Islam, tarbiyah budak ini.

"Islam memang tidak memaksa seseorang itu memeluk agama tersebut, tetapi tidak bermakna Islam memberi kebebasan kepada mana-mana penganutnya keluar masuk agama sesuka hati. Hari ini Islam, esok keluar dan masuk agama Buddha, lusa masuk Islam balik, tidak boleh.

"Isu ini sama dengan isu murtad, kalau tidak faham bab hukum agama, jangan cakap, nanti tersilap seperti yang telah berlaku. Manusia yang belum memeluk Islam, bebas untuk memilih agama, tetapi bagi yang telah memeluk Islam, hukumnya bunuh jika memilih keluar Islam kerana mempersendakan Allah SWT," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nurul Izzah dalam forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Beliau seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata : "Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...Mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula mempersoalkan pendirian pakatan pembangkang, khususnya Pas berhubung kenyataan Nurul Izzah itu.

Ini kerana, katanya, kenyataan Nurul Izzah itu sama dengan salah satu tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang sangat ditentang oleh Pas sebelum ini.

"Nurul Izzah bukan sebarangan, beliau adalah anak kepada Penasihat dan Presiden PKR, beliau merupakan naib presiden parti dan diangkat sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, kenyataan yang dibuat oleh Nurul Izzah boleh dianggap mewakili pendirian parti serta pakatan pembangkang.

"Saya nak tanya pendirian Pas kerana kenyataan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan terpakai kepada orang Melayu sama dengan salah satu tuntutan IFC. Saya tidak tahu kalau hari ini Pas menyokong IFC serta kenyataan Nurul Izzah itu, mereka perlu jelaskan kepada akar umbi," jelasnya. –UtusanOnline
HADI BERTANDING DI PEKAN, GIMIK POLITIK PAS
 
KUALA TERENGGANU 4 Nov. - Hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di Parlimen Pekan pada pilihan raya umum akan datang hanya gimik politik parti itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kalau benar Abdul Hadi ingin bertanding di Pekan, dia tidak perlu menunggu arahan parti kerana dia merupakan Presiden Pas.

"Kalau betul-betul nak bertanding, tak perlu tunggu arahan. Dia boleh kata dia nak bertanding di Pekan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri Terengganu di sini malam tadi. - BERNAMA/Utusan Online
MELAYU PERLU BEBAS PILIH AGAMA?

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Beliau seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata : ''Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam : Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya, semalam. -UtusanOnline
LONGGAR LAKSANA FATWA PUNCA AL-ARQAM CUBA DIHIDUP SEMULA

SHAH ALAM – Kegagalan penguatkuasaan terhadap fatwa pengharaman ajaran al-Arqam sejak 1994 menyebabkan kumpulan itu berpeluang meneruskan kegiatannya.

Pengurus Besar Institut Kefahaman Minda (INMIND), Mohd Yusof Din berkata, tindakan agensi penguatkuasaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengelurakan lesen perniagaan, permit iklan serta penerbitan buku dan membuka sekolah, amat dikesali.

Menurut beliau, walaupun  fatwa dikelurakan sejak lama, agensi lain seakan-akan terus memberi kelonggaran dengan membenarkan ahli kumpulan itu terus mengembangkan perniagaan, sistem pendidikan san sosial.

“Jika tiada integrasi agensi ini dalam menguatkuasakan pengharaman itu, pasti cerita mengenai al-Arqam akan sentiasa berulang setiap lima atau 10 tahun sekali,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 20 orang termasuk pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Rawang baru-baru ini atas dakwaan cuba menghidupkan semula al-Arqam.

Yusof berkata, ahli Al-Arqam mempunyai kemahiran dan pemikiran yang terancang, lengkap dengan pelan tindakan bagi mengambil kesempatan kelemahan penguatkuasaan serta undang-undang untuk meneruskan agenda mereka. Malah, sejarah menunjukkan mereka sanggup ‘mengorbankan’ serban dan jubah sebelum akhirnya membentuk sebuah entiti perniagaan yang dikenali sebagai Rufaqa. Kini mereka muncul lagi dengan nama baru. -BHarian
MELAYU SERTAI DAP: HADI ‘BUNUH’ MELAYU, ISLAM


Tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang merestui penyertaan orang Melayu dalam DAP, akan ‘membunuh’ bangsa Melayu dan Islam pada masa depan.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, muslihat politik pimpinan tertinggi parti yang memperjuangkan Islam itu dibuat demi meraih kepentingan parti untuk menawan Putrajaya, sekali gus melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Bagi memastikan hasrat itu tercapai, Hadi sanggup melihat bangsa Melayu dan Islam hancur emskipun menyedari hakikat utama matlamat utama rakan pakatannya itu apabila memerintah kelak adalah untuk mengubah negara menjadi Malaysian Malaysia. -BHarian
AES: BN GUNA PENDEKATAN LEBIH BERHEMAH

Dari kiri, Ramly, Zambry dan Wan Khair-il  pada sidang media semalam.KUALA KANGSAR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengambil pendekatan lebih berhemah dalam menyelesaikan isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang kini hangat diperkatakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan berkenaan dilihat jauh lebih rasional berbanding pendekatan pihak pembangkang yang mahu terus memainkan isu itu bagi meraih sokongan rakyat.

Menurutnya, pembangkang akan meninggalkan isu AES begitu sahaja sekiranya gagal menarik perhatian atau sokongan rakyat kepada mereka.

“Kita faham. Pembangkang adalah pembangkang. Mereka akan guna apa sahaja isu termasuk isu AES  untuk menarik perhatian rakyat, kononnya mereka hero dan pembela rakyat.

"Mereka akan biarkan isu ini begitu sahaja sekiranya tidak dapat sokongan rakyat. Contohnya isu Vale sebelum ini. Selepas saya pecahkan 'pekung' ketua mereka, mereka terus berdiam," katanya pada sidang media di Masjid Sultan Yusof, Kampung Jeliang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat pembangkang mengadakan sidang media berhubung isu AES di Ipoh dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan AES memerlukan kajian mendalam bagi memastikan kejayaannya dan ia perlu melihat kewajaran lokasi kamera AES ditempatkan agar memberi impak yang baik.

“Kita akui, ada kawasan yang tidak begitu sesuai diletakkan kamera AES. Tetapi, ada segelintir pihak bersetuju dengan AES kerana dapat mendidik masyarakat.

“Bagaimanapun, kita perlu kaji lebih lanjut mengenainya. Sebagai contoh, adakah pelaksanaan AES ini hanya membawa keuntungan kepada pihak tertentu? Seolah-olah jadi ‘profit oriented’. Ini yang dipertikaikan," katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju AES diberi fokus sekiranya ia benar-benar boleh membantu mengurangkan kemalangan. -SinarHarian

NIOSH MINTA AES DITANGGUH

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) mencadangkan penangguhan sementara pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), sehingga isu yang dibangkitkan pelbagai pihak ditangani dengan berkesan.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan perlu meneliti AES secara menyeluruh sebelum sistem itu dilaksanakan, termasuk mendapatkan maklum balas masyarakat khususnya pengguna.
Tak perlu terburu-buru

Walaupun AES dianggap sistem yang baik untuk mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya raya seperti di beberapa negara Eropah, beliau berkata ia tidak wajar dilaksanakan terburu-buru tanpa mendapat maklum balas dan kajian menyeluruh.

Katanya, pemasangan AES di sebanyak 14 lokasi mengundang rasa tidak puas hati pengguna kerana didakwa dipasang di lokasi tidak sesuai serta bukan lokasi berisiko.

Di samping itu, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula had laju dengan mendapat pandangan pelbagai pihak, termasuk pengeluar kenderaan, pengguna, pakar dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

“Saya kecewa kerana walaupun AES adalah sistem yang baik tetapi disebabkan banyak kontroversi, ia seolah-olah bertujuan menyusahkan dan bukan membantu orang ramai.
Perbetul persepsi

“Pihak berkuasa perlu memperbetulkan persepsi masyarakat terlebih dulu dengan memberikan pendidikan menerusi kempen kesedaran.

“Semua lapisan masyarakat perlu dibabitkan untuk memberi maklum balas, di samping kesedaran dan keyakinan bahawa AES boleh dilaksanakan dengan kerjasama orang ramai supaya kemalangan dapat dikurangkan,” katanya.

Lam Thye berkata, NIOSH menganggap kes kemalangan jalan raya di negara ini sebagai serius kerana saban tahun angka kematian membabitkan golongan pekerja meningkat.

Katanya, mengikut perangkaan, kemalangan membabitkan pekerja yang berulang alik ke tempat kerja meningkat daripada 17,170 pada 2001 kepada 24,809 kes pada 2011. -BHarian