Monday, November 5, 2012

AES: BN GUNA PENDEKATAN LEBIH BERHEMAH

Dari kiri, Ramly, Zambry dan Wan Khair-il  pada sidang media semalam.KUALA KANGSAR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengambil pendekatan lebih berhemah dalam menyelesaikan isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang kini hangat diperkatakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan berkenaan dilihat jauh lebih rasional berbanding pendekatan pihak pembangkang yang mahu terus memainkan isu itu bagi meraih sokongan rakyat.

Menurutnya, pembangkang akan meninggalkan isu AES begitu sahaja sekiranya gagal menarik perhatian atau sokongan rakyat kepada mereka.

“Kita faham. Pembangkang adalah pembangkang. Mereka akan guna apa sahaja isu termasuk isu AES  untuk menarik perhatian rakyat, kononnya mereka hero dan pembela rakyat.

"Mereka akan biarkan isu ini begitu sahaja sekiranya tidak dapat sokongan rakyat. Contohnya isu Vale sebelum ini. Selepas saya pecahkan 'pekung' ketua mereka, mereka terus berdiam," katanya pada sidang media di Masjid Sultan Yusof, Kampung Jeliang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat pembangkang mengadakan sidang media berhubung isu AES di Ipoh dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan AES memerlukan kajian mendalam bagi memastikan kejayaannya dan ia perlu melihat kewajaran lokasi kamera AES ditempatkan agar memberi impak yang baik.

“Kita akui, ada kawasan yang tidak begitu sesuai diletakkan kamera AES. Tetapi, ada segelintir pihak bersetuju dengan AES kerana dapat mendidik masyarakat.

“Bagaimanapun, kita perlu kaji lebih lanjut mengenainya. Sebagai contoh, adakah pelaksanaan AES ini hanya membawa keuntungan kepada pihak tertentu? Seolah-olah jadi ‘profit oriented’. Ini yang dipertikaikan," katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju AES diberi fokus sekiranya ia benar-benar boleh membantu mengurangkan kemalangan. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment