Sunday, August 26, 2012

UNDANG-UNDANG ANTILOMPAT WAJAR DISEMAK

TAMPARULI (Sabah): Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berpendapat adalah wajar undang-undang antilompat disemak semula untuk menghalang ahli politik daripada tukar parti selepas dipilih sebagai anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata kebebasan berpersatuan adalah dikawal oleh undang-undang, dan dengan meletak jawatan atau memaksa seseorang wakil rakyat untuk meletak jawatan apabila beliau melompat parti, ia akan membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

"Sudan tentu, ini membolehkan kebebasan untuk memilih dan ia sebenarnya membenarkan rakyat menyuarakan pandangan mereka selaras dengan prinsip demokrasi...ini tidak menjejaskan kebebasan untuk berpersatuan.

"Tetapi setakat ini tiada pihak mencadangkannya (untuk semakan) jadi kita tidak dapat bahaskan perkara ini. Ini adalah pendapat saya. Ia (undang-undang antilompat) sebenarnya tidak menyekat kebebasan untuk berpersatuan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Tun Hamdan, di sini, Ahad.

Pairin, yang juga Presiden PBS, diminta mengulas cadangan DAP Pulau Pinang bari-baru ini untuk mewujudkan undang-undang antilompat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata negeri itu bercadang mewujudkan undang-undang antilompat pada November, sebelum pilihan raya umum ke-13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya April tahun depan.

Pairin, bekas Ketua Menteri Sabah, berkata undang-undang antilompat bertujuan untuk menyedarkan rakyat, khususnya wakil rakyat akan peranan dan tanggungjawab sebenar mereka.

"Anda perlu berpegang kepada janji anda...kontrak sosial antara pengundi dan calon (untuk tidak lompat parti)," katanya dan menurutnya "kita akan lihat reaksi daripada pengamal undang-undang mengenai cadangan DAP Pulau Pinang untuk mewujudkan undang-undang antilompat".

Kerajaan negeri Sabah ketika di bawah pimpinan PBS pernah menguatkuasakan undang-undang seumpama itu pada 1980-an tetapi kemudiannya diisytiharkan sebagai ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia menghalang kebebasan individu untuk berpersatuan. Mstar/BERNAMA
KEJAYAAN PERBANKAN ISLAM BUKTI PEMIMPIN BERJIWA ISLAM

BACHOK: Kejayaan meletakkan kedudukan Perbankan Islam antara yang terkemuka di dunia, membuktikan pemimpin negara ini sejak dahulu hingga sekarang benar-benar berjiwa Islam.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pencapaian itu bukan dapat diperolehi dengan mudah bahkan ia memerlukan pengorbanan dan usaha yang gigih.

"Ketika ia dirangka ramai yang tidak yakin dengan keupayaan negara termasuk rakyat di negara ini sendiri dan beberapa negara luar," katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Kampung Tok Choong di sini, Ahad.

Beliau diminta mengulas kenyataan Institut Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) yang menyasarkan peranan sistem kewangan Islam di negara ini sama penting dengan sistem kewangan konvensional dalam tempoh 10 tahun lagi.

Perunding Kanan Pembangunan Latihan dan Pembangunan Profesional IBFIM, Zanariah Zahari dilaporkan berkata sasaran sama rata itu dijangka dapat dicapai melalui penghasilan tenaga pakar kewangan Islam yang lebih ramai pada masa akan datang.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, prestasi Perbankan Islam mengagumkan negara Islam lain dan mendorong mereka mempelajari kejayaan Malaysia itu.

Perkembangan dalam negara pula, ia bukan sahaja dapat menarik minat masyarakat Islam bahkan bukan Islam turut mendapat faedah daripada sistem Perbankan Islam itu.

Katanya, antara kelebihan Perbankan Islam ialah ia tidak berisiko tinggi apabila kadar faedahnya sudah ditetapkan lebih awal (tidak turun naik) serta tidak membebankan pengguna. BERNAMA/Mstar
OPS SELAMAT: JPJ REKOD 1,876 KESALAHAN BERGAMBAR PENGGUNA JALAN RAYA

TAIPING: Pasukan khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)yang ditempatkan di seluruh negara, merakamkan 1,876 kesalahan lalu lintas secara bergambar sejak Ops Selamat bermula hingga Jumaat.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata pihaknya kini dalam proses mengeluarkan sama kepada pemilik kenderaan terbabit.

"Pasukan khas ini mengenal pasti kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya dan mengambil gambar," katanya ketika ditemui pemberita ketika Ops Motosikal, di Kamunting, di sini malam Jumaat.

Beliau berkata di Perak, anggota JPJ yang menyamar dan menaiki 52 perjalanan bas ekspres merekodkan 10 kesalahan dilakukan pemandu seperti menggunakan telefon bimbit, memotong di garisan berkembar serta memandu melebihi had laju.

Selain itu, sebanyak 113 kesalahan dilakukan pemandu dicatat anggota JPJ yang menjalankan operasi di terminal bas Medan, Gopeng, Kamunting Raya, Teluk dan Manjung. "JPJ telah mengeluarkan 47 saman di samping memberi notis-notis terhadap pemandu berkenaan," katanya.

Mengenai motosikal, Ismail berkata di Perak, sebanyak 257 saman dikeluarkan terhadap penunggang dan pembonceng motosikal atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Beliau juga mendedahkan ada pemandu kenderaan berat yang ingkar larangan menggunakan jalan raya pada 17 dan 18 Ogos lepas. -BERNAMA
DASAR AIR PERCUMA TIDAK BIJAK, BUKAN BERSIFAT LESTARI - AHLI AKADEMIK
KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan negeri Selangor memberi bekalan air percuma sejak empat tahun lepas adalah langkah yang tidak bijak dan bukan bersifat lestari, kata seorang ahli akademik.

Prof Dr Suhaimi Abdul Talib berkata dasar itu menyebabkan hasil bagi kerajaan negeri terus merosot yang akan sebaliknya memberi manfaat atau berguna bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur.

"Walaupun pemberian air percuma kelihatan baik dari segi faedah jangka pendek, tetapi dari segi jangka panjang kita tidak mendidik orang ramai untuk menghargai air," katanya.

Dr Suhaimi, yang juga Penolong Naib Canselor bagi Pembangunan, Pengurusan Kemudahan dan ICT Universiti Teknologi Mara (UiTM), memberi amaran bahawa Malaysia tidak mempunyai limpahan bekalan air yang tidak terhingga.

"Kita perlu sedar bahawa sumber-sumber air semakin berkurangan berikutan peningkatan permintaan yang mendadak," katanya.

Beliau berkata negeri itu akan sampai pada satu peringkat di mana ia tidak lagi dapat menarik air mentah dari sumber luar dan sumber air yang baru akan perlu datang bergantung kepada bagaimana ia dapat menguruskan sumber dalamannya sendiri dengan cara yang terbaik.

Dr Suhaimi berkata beliau menentang dasar air percuma kerana persoalan berhubung kemampuan bukan satu isu di sini.

"Jika kita perlu membayar bil air kita sebanyak RM40 sebulan, apa sangat dengan RM40? Anak anda belanja lebih daripada RM40 ke atas (telefon bimbit) pra bayar. Jadi, ia bukan satu persoalan mengenai kemampuan. Kita sepatutnya membayar bagi bil air kita," katanya.

Dr Suhaimi berkata rakyat negeri Selangor perlu dididik supaya mengubah tanggapan mereka mengenai air dengan cara menghargai nilai sebenar air dan ini tidak boleh dilakukan selagi mereka mendapat bekalan air percuma.

"Rakyat negeri Selangor kena guna air secara berhemah supaya setiap penduduk dapat mengurangkan penggunaan sebanyak 20 peratus. Ini bermakna kapasiti di empangan-empangan kita boleh meningkat 20 peratus. Ini adalah sesuatu yang kita terlepas pandang," katanya.

Beliau berkata negara-negara maju telah menukar daripada pengurusan sumber air kepada pengurusan permintaan sambil menambah "kita perlu mengawal rakyat yang menggunakan air."

"Hanya ada satu cara bagi kita untuk memastikan penggunaan air secara lestari. Kita mesti mengubah tingkah laku kita terhadap air dan hanya melalui pengubahsuaian tingkah laku, membolehkan kita mengekang permintaan yang tidak terkawal. Sudah tentu, permintaan akan meningkat tetapi kadar peningkatan itu boleh dikawal," kata Dr Suhaimi.

Dr Suhaimi menjelaskan jika peningkatan tarif air tidak dapat dielakkan, katakan setiap beberapa tahun, ia perlu wajar dan dengan persetujuan kerajaan.

"Maksudnya begini: Dalam negara ini, apa sahaja (bayaran bagi) barangan dan khidmat yang akan dinaikkan akan memberi gambaran buruk ke atas kerajaan. Ini kerana kita biasanya mendapat apa sahaja dengan percuma atau melalui subsidi.

"Jadi bila anda cuba untuk mengambilnya balik, orang ramai akan kata ini hak kami, jadi masalahnya dengan rakyat Malaysia adalah ini..ia bukan persoalan mengenai kemampuan, kita boleh membayar tetapi ia satu persoalan mengenai kesediaan individu itu untuk membayar," katanya.

Beliau berkata air yang merupakan keperluan asas bagi setiap orang, tidak sepatutnya diberi secara percuma kerana ia memberi makna bahawa komoditi yang berharga itu tidak mempunyai nilai. - BERNAMA/mStar
KERAJAAN DIGESA TUBUH MAJLIS KESELAMATAN AIR

GEORGE TOWN: Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM) menggesa kerajaan menubuhkan Majlis Keselamatan Air untuk mengurangkan kadar kematian akibat lemas di negara ini.

Presidennya Lim Chien Ch'eng berkata, kajian LSSM mendapati purata 600 orang lemas setiap tahun sejak lima tahun lepas. 

"Apabila ditubuhkan, majlis ini boleh mengumpul statistik sewajarnya berdasarkan kumpulan usia, gender dan punca kematian, yang belum wujud ketika ini, bagi membolehkan satu dasar berkesan digubal ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Menyelamat Nyawa Kebangsaan ke-40 dan Cabaran Sukan Menyelamat Nyawa Antarabangsa 2012 di sini, Sabtu.

Lim berkata majlis yang dicadangkan penubuhannya itu boleh menasihati agensi kerajaan tempatan berhubung perkara berkaitan undang-undang dan peraturan yang diperlukan untuk menjadikan kolam renang umum, lebih selamat.

Katanya LSSM melancarkan kempen mengumpul tanda tangan orang ramai untuk dikemukakan dan diambil tindakan oleh kerajaan persekutuan menjelang akhir bulan ini.

Kempen selama sebulan itu turut mengandungi ceramah dan persidangan, katanya.-BERNAMA/ Mstar

KELAB PENYOKONG UMNO DI IPTA

REMBAU: Umno menerusi sayap Pemudanya akan menubuhkan kelab penyokong parti itu di setiap kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini bagi meraih sokongan golongan mahasiswa terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata ia adalah langkah awal yang diambil Pemuda Umno selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2012 baru-baru ini, yang kini membenarkan mahasiswa untuk telibat dan memegang jawatan dalam mana-mana persatuan dan pertubuhan termasuk parti politik.

"Jadi daripada kita menunggu mereka untuk masuk menyertai parti kita dan BN, ada baiknya kita memainkan peranan proaktif untuk turun ke kampus dan menubuhkan kelab penyokong Umno di setiap kampus," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Gadong, di sini, Ahad.

Katanya, Pemuda Umno akan masuk ke setiap kampus IPTA dalam masa terdekat untuk mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa dan merangka penubuhan kelab itu.

Katanya, selain berperanan memberi sokongan terhadap Umno dan BN, penubuhan kelab itu juga adalah sebagai landasan untuk mahasiswa mengetengahkan pandangan dan idea mereka kepada kerajaan.

"Kita dapat banyak pertanyaan dari mahasiswa yang mana mereka mahu ada platform khas untuk mereka dan untuk menyahut permintaan tersebut, kita proaktif sebab kita tidak mahu tunggu mereka untuk menjadi ahli kita, tapi kita ke hadapan berjumpa mereka," katanya.

Katanya, walaupun sokongan mahasiswa dilihat lebih cenderung kepada kerajaan, namun usaha sebegini perlu dilakukan bagi mengekalkan perasaan itu di kalangan mahasiswa dan memastikan mereka terus menyokong BN. -MStar