Saturday, October 6, 2012

BANTUAN PERKAHWINAN UNTUK BELIA?

SHAH ALAM: Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan memberi bantuan perkahwinan pertama kepada golongan muda yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan membawa perkara yang dibangkitkan anggota pertubuhan belia Selangor ke dalam mesyuarat Kabinet hari ini untuk dibincangkan.

 “Kerajaan amat pemurah. Jika boleh berikan bantuan lain, takkan bantuan seperti ini tidak boleh. Saya akan bawa ke mesyuarat Kabinet esok (hari ini). Ini untuk perkahwinan pertama,” katanya ketika sesi dialog bersama pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Selangor dan mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Perkara itu dibangkitkan salah seorang anggota pertubuhan belia di Selangor dalam sesi dialog berkenaan yang meminta Kerajaan Pusat menyediakan bantuan sebanyak RM1,000 kepada golongan muda yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga. Muhyiddin berkata, perkara itu perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada beliau setuju atau tidak.

“Ini bukan lawak, tetapi serius. Saya percaya dengan sikap pemurah Perdana Menteri, bantuan ini boleh diberikan kerajaan,” katanya. -HarianMetro