Monday, May 20, 2013

AGIHAN KERUSI EXCO SELANGOR: DAP TIDAK PUAS HATI
PETALING JAYA: DAP tidak gembira dan mempersoalkan mengenai pengagihan jawatan Exco Selangor, dengan mendakwa bahawa Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini telah berjanji terhadap parti itu yang akan mendapat empat kerusi dan bukannya tiga kerusi seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, ia sudah pun dipersetujui dalam mesyuarat pada Khamis bersama Khalid bahawa PAS akan mendapat tiga kerusi bersama-sama dengan calon untuk jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Malam tadi, kami mendapati terdapat senarai nama yang berbeza. Kami mahu tahu mengapa. Tiada masalah pada Khamis. Ia merupakan mesyuarat yang sekejap dalam masa setengah jam," katanya yang dipetik sebagai berkata dalam sebuah portal berita online di sini, Ahad.

Pada malam Sabtu, Menteri Besar memberitahu pemberita bahawa kedua-dua PKR dan DAP akan mewakili tiga kerusi Exco manakala PAS akan mendapat empat kerusi, dengan mengatakan bahawa formula 3:3:4 (PKR: DAP: PAS) adalah berdasarkan prestasi parti-parti dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Kedua-dua PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi DUN manakala PKR memenangi 14 kerusi DUN.

Sambil menambah bahawa beliau terkejut dengan Khalid yang jelas membuat kenyataan ‘pusingan-U’ dengan Pua berkata: "Apa gunanya mesyuarat itu?"

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok, yang merupakan seorang Exco kanan kerajaan negeri pada penggal lepas, ketika dihubungi bersetuju dengan Pua bahawa parti itu memang dijanjikan dengan empat kerusi.

"PAS bersetuju bahawa mereka akan mengambil tiga kerusi dan jawatan Speaker. Daripada apa yang kita faham, PAS masih belum mencadangkan calon untuk menjadi Speaker," kata beliau.

Sambil mengakui bahawa parti itu "tidak berpuas hati", Kok cuba untuk meredakan ketegangan, dengan memperjelaskan bahawa ia adalah "salah faham kecil".

"Kita akan meneruskan rundingan kami. Kami baru sahaja bertemu dengan MB tadi (petang Ahad)," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad berkata, formula Menteri Besar itu berdasarkan pemahaman bahawa Sultan mungkin mahu enam anggota Exco Melayu, peningkatan daripada lima orang pada tahun 2008.

"Jika 6:4: Nisbah (Melayu: bukan Melayu) digunakan, ia akan kelihatan ganjil bahawa DAP mendapat keseluruhan kuota bukan Melayu. Kemudian, ia akan meninggalkan PKR yang tidak mempunyai pilihan tetapi untuk calon Melayu sahaja sebagai Exco," kata Khalid, yang juga berada dalam banyak mesyuarat untuk rundingan mengenai pembahagian kerusi Exco.

Beliau menambah, tiada keputusan dibuat dalam mesyuarat seperti hak mutlak yang akan memungkari Sultan, yang dilihat telah menerima senarai calon daripada Menteri Besar.

"Apa yang lebih penting ialah kita tidak berdebat tentang perkara ini. Ia sangat tidak baik dan ia meninggalkan pandangan buruk bahawa kami hanya untuk mendapatkan jawatan. Kita perlu mendapatkan keutamaan yang tepat dan meneruskan tugas," katanya. -mStar
KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA AKAN BINCANG TURUNKAN CAJ JALUR LEBAR

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Mutlimedia yang baru, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan mengadakan pertemuaan dengan semua syarikat telekomunikasi di negara ini membincangkan mengenai penurunan caj perkhidmatan langganan jalur lebar yang dikenakan kepada pengguna di negara ini.

Beliau berkata, pertemuaan itu akan dibuat dalam tempoh terdekat dalam usaha memastikan capaian kemudahan jalur lebar tanpa wayar di negara ini dapat ditingkatkan kepada tahap 80 peratus pada masa akan datang.

"Insya-Allah saya akan adakan perbincangan dalam masa terdekat. Saya juga telah bertanya kepada Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, sama ada perkara ini boleh dilaksanakan, dan beliau beri jaminan boleh kurangkan caj perkhidmatan jalur lebar.

"Kita juga akan buat tanda aras dengan membuat perbandingan caj perkhidmatan di sini dengan negara jiran seperti Thailand dan India," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas oleh mantan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim kepadanya dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata dengan mengurangkan kos ia akan menjadikan perkhidmatan 3G lebih murah dan sekaligus dapat mengembangkan lagi sektor perniagaan di negara ini.

"Jika dulu orang anggap telefon bimbit adalah barangan mewah tidak lagi pada hari ini apabila seorang nelayan yang baru sahaja tiba di jeti boleh terus berhubung dengan secara terus dengan peraih menggunakan pekhidmatan 3G," katanya.

Justeru, beliau berkata sekiranya kos perkhidmatan jalur lebar dapat dikurangkan ia akan memberi kesan positif terutamanya dalam membantu perkembangan ekonomi negara dan urusan perniagaan rakyat.

Selain itu, Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata beliau akan turut melihat kepada perkhidmatan jalur lebar yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi di negara ini.

"Kita sering menerima aduan daripada pengguna menghadapi masalah rangkaian dengan perkhidmatan jalur lebar yang mereka langgan. Ada pengguna yang hadapi masalah hingga dua tiga hari, jadi kita mahu tahu sama ada syarikat telekomunikasi ini akan ambil tindakan yang bagaiamana untuk atasi masalah seperti ini.

"Ini kerana jika pengguna tidak bayar bil mereka dengan segera menggantung perkhidmatan, namun jika syarikat telekomunikasi sendiri gagal memperbaiki gangguan perkhidmatan yang dialami apa yang akan dilakuan," katanya.– mStar
PIHAK DEMONSTRASI PROTES KEPUTUSAN PRU13 DIBIDAS

Himpunan 'Suara Rakyat, Suara Keramat'

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad membidas tindakan sesetengah pihak mengadakan demostrasi untuk memprotes keputusan PRU13 baru-baru ini sedangkan telah sedia maklum bagaimana proses pilihan raya dijalankan.

“Proses pilihan raya bukan sahaja membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi turut melibatkan parti politik yang bertanding khususnya dalam proses pengiraan undi melalui ejen parti, jadi untuk menuduh keputusan pilihan raya tidak adil adalah tidak berasas.

“Saya turut berbangga apabila warga Johor Bahru terus fokus terhadap aktiviti ekonomi.

Saya ingin mengingatkan bahawa ‘tsunami ekonomi’ adalah lebih berbahaya berbanding ‘tsunami politik’ kerana lebih banyak kerosakan akan berlaku,” katanya pada sidang media sempena majlis perasmian Ekspo Pelaburan Dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE) 2013 di Persada Johor, semalam.

Beliau juga yakin akujanji dan manifesto yang dibentangkan BN adalah lebih saksama dengan tidak meminggirkan golongan yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Shahrir yang juga Penasihat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia Negeri Johor melihat MISEE 2013 dilihat mampu membantu peningkatan kefahaman golongan Bumiputera terhadap pelaburan secara langsung ekuiti syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, golongan Bumiputera telah mula memahami pelaburan melalui unit amanah bagaimanapun masih kurang jelas terhadap pembelian ekuiti.

Menurutnya, MISEE 2013 bukan sahaja membantu meningkatkan pemahaman golongan Bumiputera terhadap pelaburan saham ekuiti untuk memperolehi lebihan pendapatan.

 “Adalah penting setiap pelabur memahami bagaimana menguruskan lebihan pendapatan diperoleh dengan memilih jenis pelaburan yang sah berbanding membuat pilihan berdasarkan khabar angin sehingga menyebabkan kerugian.

“Keyakinan golongan Bumiputera membeli unit amanah meningkat bagaimanapun masih belum agresif selain kurang kefahaman dari segi pelaburan secara langsung melalui pembelian ekuiti syarikat di Bursa Malaysia,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif pihak penganjur kerana berusaha membantu golongan bumiputera khususnya warga bandar raya ini mendapatkan maklumat mengenai pelaburan saham termasuk pengurusan kewangan.– Bernama/Sinar Harian
PASCA PRU13 : ANGGOTA UMNO PERLU ERATKAN PERPADUAN

PONTIAN - Semua anggota Umno diseru mengeratkan semula perpaduan untuk memastikan kekuatan parti kembali utuh selepas menghadapi cabaran getir pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
  
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, dalam keadaan parti yang agak parah diserang pembangkang pada PRU13 lepas, anggota parti tidak boleh lagi terlalu ghairah dan berbalah tentang soal kuasa yang akhirnya hanya akan melemahkan Umno.
  
"Kalau kita asyik berbalah, kita akan mati 'dibunuh' secara politik, biarlah kita berlawan secara sihat kerana yang penting kita perlu fikirkan tentang perpaduan bukan sahaja di kalangan anggota parti tetapi juga rakyat," katanya kepada, di sini, hari ini.
  
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai mesyuarat pemilihan Umno peringkat cawangan yang akan bermula tidak lama lagi. Ahmad ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah baru nelayan di Kampung Seri Tanjung di sini.
  
Ahmad berkata, semua anggota Umno yang terlibat perlu mengamalkan sikap berkompromi dan perbincangan untuk mengelakkan sebarang perselisihan faham yang boleh menjejaskan parti.
   
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Anggota Parlimen Pontian berhasrat menjadikan Pontian sebagai model kawasan pertumbuhan ekonomi baharu di negara ini dengan melaksanakan pelbagai projek yang boleh meningkatkan lagi sumber ekonomi penduduk setempat.
  
"Kita merancang untuk mengadakan pelbagai projek seperti river cruise Sungai Benut selain mewujudkan medan ikan bakar dan pusat jualan ikan segar yang membolehkan nelayan menjual terus hasil tangkapan bukan sahaja untuk penduduk sekitar tetapi juga rakyat Singapura yang kerap berkunjung ke sini.
  
"Jika berjaya kita akan kongsi pengalaman ini di peringkat tertinggi untuk membantu meningkatkan ekonomi di lebih banyak kawasan di negara ini," katanya. – Bernama/Sinar Harian
GUNA SALURAN BETUL JIKA TIDAK PUAS HATI


KUANTAN - Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu isu perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan perkara tersebut dan tidak mengheret isu tersebut ke jalanan atau mengadakan perhimpunan haram yang akhirnya menggugat ketenteraman awam.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, orang ramai mempunyai saluran yang sah seperti meminta bantuan wakil rakyat untuk membawa sebarang isu berkenaan ke peringkat Parlimen.

"Mereka boleh menyuarakan pandangan menerusi wakil rakyat dan membawanya ke Parlimen kerana hanya pembuat dasar yang boleh melakukan sebarang perubahan tersebut.

"Bukannya dengan menyertai atau terlibat dengan perhimpunan atau sebarang aktiviti yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian perpaduan kaum dalam masyarakat kita hari ini," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Lee diminta mengulas mengenai trend sesetengah pihak dalam negara ini yang mengheret rakyat mengadakan perhimpunan secara haram atau jalanan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu termasuk isu politik.

Mengulas lanjut, Lee berkata, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan jika mereka ingin menyertainya perlulah mengikut lunas undang-undang.

"Sebagai contoh, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, setiap penganjur perhimpunan perlu mendapat kebenaran pihak polis 10 hari daripada tarikh perhimpunan diadakan, jadi ikutlah peraturan tersebut," katanya. –Sinar Harian