Monday, May 20, 2013

PIHAK DEMONSTRASI PROTES KEPUTUSAN PRU13 DIBIDAS

Himpunan 'Suara Rakyat, Suara Keramat'

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad membidas tindakan sesetengah pihak mengadakan demostrasi untuk memprotes keputusan PRU13 baru-baru ini sedangkan telah sedia maklum bagaimana proses pilihan raya dijalankan.

“Proses pilihan raya bukan sahaja membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi turut melibatkan parti politik yang bertanding khususnya dalam proses pengiraan undi melalui ejen parti, jadi untuk menuduh keputusan pilihan raya tidak adil adalah tidak berasas.

“Saya turut berbangga apabila warga Johor Bahru terus fokus terhadap aktiviti ekonomi.

Saya ingin mengingatkan bahawa ‘tsunami ekonomi’ adalah lebih berbahaya berbanding ‘tsunami politik’ kerana lebih banyak kerosakan akan berlaku,” katanya pada sidang media sempena majlis perasmian Ekspo Pelaburan Dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE) 2013 di Persada Johor, semalam.

Beliau juga yakin akujanji dan manifesto yang dibentangkan BN adalah lebih saksama dengan tidak meminggirkan golongan yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Shahrir yang juga Penasihat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia Negeri Johor melihat MISEE 2013 dilihat mampu membantu peningkatan kefahaman golongan Bumiputera terhadap pelaburan secara langsung ekuiti syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, golongan Bumiputera telah mula memahami pelaburan melalui unit amanah bagaimanapun masih kurang jelas terhadap pembelian ekuiti.

Menurutnya, MISEE 2013 bukan sahaja membantu meningkatkan pemahaman golongan Bumiputera terhadap pelaburan saham ekuiti untuk memperolehi lebihan pendapatan.

 “Adalah penting setiap pelabur memahami bagaimana menguruskan lebihan pendapatan diperoleh dengan memilih jenis pelaburan yang sah berbanding membuat pilihan berdasarkan khabar angin sehingga menyebabkan kerugian.

“Keyakinan golongan Bumiputera membeli unit amanah meningkat bagaimanapun masih belum agresif selain kurang kefahaman dari segi pelaburan secara langsung melalui pembelian ekuiti syarikat di Bursa Malaysia,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif pihak penganjur kerana berusaha membantu golongan bumiputera khususnya warga bandar raya ini mendapatkan maklumat mengenai pelaburan saham termasuk pengurusan kewangan.– Bernama/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment