Monday, May 20, 2013

PASCA PRU13 : ANGGOTA UMNO PERLU ERATKAN PERPADUAN

PONTIAN - Semua anggota Umno diseru mengeratkan semula perpaduan untuk memastikan kekuatan parti kembali utuh selepas menghadapi cabaran getir pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
  
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, dalam keadaan parti yang agak parah diserang pembangkang pada PRU13 lepas, anggota parti tidak boleh lagi terlalu ghairah dan berbalah tentang soal kuasa yang akhirnya hanya akan melemahkan Umno.
  
"Kalau kita asyik berbalah, kita akan mati 'dibunuh' secara politik, biarlah kita berlawan secara sihat kerana yang penting kita perlu fikirkan tentang perpaduan bukan sahaja di kalangan anggota parti tetapi juga rakyat," katanya kepada, di sini, hari ini.
  
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai mesyuarat pemilihan Umno peringkat cawangan yang akan bermula tidak lama lagi. Ahmad ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah baru nelayan di Kampung Seri Tanjung di sini.
  
Ahmad berkata, semua anggota Umno yang terlibat perlu mengamalkan sikap berkompromi dan perbincangan untuk mengelakkan sebarang perselisihan faham yang boleh menjejaskan parti.
   
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Anggota Parlimen Pontian berhasrat menjadikan Pontian sebagai model kawasan pertumbuhan ekonomi baharu di negara ini dengan melaksanakan pelbagai projek yang boleh meningkatkan lagi sumber ekonomi penduduk setempat.
  
"Kita merancang untuk mengadakan pelbagai projek seperti river cruise Sungai Benut selain mewujudkan medan ikan bakar dan pusat jualan ikan segar yang membolehkan nelayan menjual terus hasil tangkapan bukan sahaja untuk penduduk sekitar tetapi juga rakyat Singapura yang kerap berkunjung ke sini.
  
"Jika berjaya kita akan kongsi pengalaman ini di peringkat tertinggi untuk membantu meningkatkan ekonomi di lebih banyak kawasan di negara ini," katanya. – Bernama/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment