Thursday, December 6, 2012

80,000 RUMAH MAMPU MILIK DI KAWASAN UTAMA

PETALING JAYA: Pendaftaran dalam talian untuk 80,000 rumah mampu milik yang akan dibina di 50 bandar dan pekan di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang pada Sabtu.

Pemohon yang layak akan dapat mengambil bahagian dalam pengundian rumah berkenaan yang akan dibina pada kos kira-kira RM10 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Rakyat di Pulau Pinang akan menjadi yang pertama untuk mendaftar dan mendapat manfaat daripada program perumahan mampu milik bandar oelh Kerajaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Berhad Datuk Mutalib Alias ​​pada satu taklimat media, Rabu.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan projek PR1MA Seremban dijangka bermula awal tahun depan manakala bidang tanah di kawasan bandar di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti untuk projek itu.

"PR1MA akan membangunkan 50,000 buah rumah manakala tambahan 30,000 unit rumah akan dibina melalui kerjasama dengan pemaju swasta.

"Kami akan menyediakan unit yang berpatutan untuk memenuhi keperluan penduduk bandar," katanya.

Mutalib berkata individu dan pasangan suami isteri dengan pendapatan isi rumah bulanan kolektif antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan layak untuk mendaftar untuk rumah PR1MA.

Hartanah bertingkat dan di atas tanah berharga antara RM100,000 dan RM400,000.

Katanya PR1MA menggunakan definisi fleksibel untuk pendapatan isi rumah yang layak bagi membolehkan ahli keluarga yang layak juga boleh mendaftar secara individu.

Pemohon mestilah rakyat Malaysia yang berumur 21 ke atas dan yang tidak memiliki lebih daripada satu rumah dan bekerja atau tinggal di kawasan di mana projek itu sedang dibangunkan.

Mutalib berkata pemohon boleh menyenaraikan lima lokasi pilihan, sambil menambah mereka akan dimaklumkan tentang pengundian projek PR1MA akan datang melalui e-mel atau SMS.

"Satu sistem pendaftaran terbuka akan digunakan PR1MA di mana sesiapa yang layak boleh memohon. Pengundian akan diaudit secara bebas dan dilakukan secara telus.

Beliau berkata Akta PR1MA 2012 mula berkuat kuasa pada 1 Januari yang akan memastikan pelaksanaan projek perumahan PR1MA berada pada landasan sepatutnya.

Akta ini akan membuka jalan terhadap penubuhan Majlis Penasihat PR1MA yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri manakala Jawatankuasa Kelulusan dan Pelaksanaan akan mengurangkan kerenah birokrasi.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2009, lebih daripada 850,000 orang dengan pendapatan antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan tidak membeli rumah sendiri.

Kira-kira 60 peratus daripada permintaan untuk rumah mampu milik adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Sarawak. mStar 
SELANGOR TUTUP 2 KAMERA AES


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor semalam memutuskan dua kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dipasang di negeri itu ditutup mulai esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat selepas Kementerian Pengangkutan tidak memberi maklum balas terhadap surat dihantar pihak berkuasa tempatan menuntut kementerian itu mematuhi prosedur pemasangannya.

“Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) sudah menulis surat kepada Kementerian Pengangkutan tetapi mereka tidak menghiraukannya.

“Kami sudah selesai fasa pertama iaitu menulis surat, dan selepas ini akan menutup kamera itu supaya ia tidak berfungsi dan jika masih tiada permohonan pembangunan dihantar kementerian dalam masa 14 hari, kami akan membuat keputusan lain, termasuk kemungkinan menanggalkan kamera berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah pelantikan ketua kampung kepada lebih 400 pemimpin tempatan di sini, semalam.

Terdahulu, EXCO Kerajaan Negeri, Ronnie Liu, berkata kamera yang mengesan kesalahan lalu lintas pengguna jalan raya itu yang dipasang di Kilometer 6.6 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Kilometer 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan akan ditanggalkan, esok.

Katanya, keputusan menanggalkan kamera itu kerana kata dua yang diberikan kepada kontraktor AES untuk berbuat demikian dalam tempoh dua minggu, sudah pun berakhir.

Katanya, kerajaan negeri menganggap pemasangan kamera itu sebagai binaan haram kerana kontraktor gagal memohon mendapatkan kebenaran arahan pembangunan.

Bagaimanapun, Liu yang turut hadir pada sidang akhbar bersama Khalid berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk menyemak semula keputusan berkenaan.

“Kami memutuskan untuk mengubah strategi. Kami akan menutup kamera itu pada jam 2.30 petang, Jumaat ini. Saya sendiri akan berada di sana bagi memantaunya,” katanya. BHarian
KERAJAAN NEGERI SELANGOR DIGESA JAWAB ISU TANGGUH PROJEK CAR

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor diberi tempoh dua minggu untuk menjawab isu penangguhan projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) bagi penyaluran tenaga elektrik.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata penangguhan projek yang melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 60 kilometer antara Bukit Tarek di Rawang dan Kampung Chubadak, Sentul itu akan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik yang teruk.

Projek CAR adalah antara tindakan susulan bagi mencegah berulangnya kejadiangangguan bekalan elektrik pada 13 Jan 2005 dan ia bertujuan menyalurkan bekalanelektrik dari stesen janakuasa di Perak ke kawasan tengah Semenanjung.

"Sebagai pemimpin berpangkat tinggi saya minta Menteri Besar tolong lakukan sesuatu untuk keperluan rakyat. Jika tidak, saya minta dia berundur dan bagi orang yang lebih layak untuk memerintah.

"Isu air pun tak selesai lagi, timbul pula isu lain," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Rabu.

Lim berkata kerajaan negeri pernah menjemput beliau membincangkan pembinaanprojek CAR, dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada Disember tahun lepas,namun sehingga kini tiada tindakan susulan yang dilakukan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga pernah berjanji akan menyelesaikan isu bekalan tenaga elektrik kepada penduduk dalam tempoh 100 hari selepas memenangi pilihan raya umum ke-12, namun setelah lima tahun, projek itu masih lagi tertangguh. BERNAMA/mStar
DAFTAR PR1MA LEBIH MUDAH
Ketahui 7 langkah bagaimana untuk memohon dalam akhbar BH dan BH Digital hari ini. 
PETALING JAYA: Pendaftaran permohonan pemilikan rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilaksanakan secara online (dalam talian) mulai Sabtu ini, bagi proses pengundian.

Ia menggantikan sistem manual secara pos yang digunakan sebelum ini dan boleh diakses melalui laman web www.pr1ma.my selepas dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pulau Pinang, Sabtu ini.

Sistem pendaftaran yang bertujuan mengumpul data utama pemohon itu juga bertujuan mendapat maklumat mengenai permintaan rumah masa kini sesuai dengan kumpulan sasar yang ratarata mempunyai kemudahan internet.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata selain menjadi cara utama untuk memohon, sistem ini juga akan menentukan kelayakan seseorang pemohon di samping memperoleh data lain seperti permintaan rumah masa kini, jenis rumah dan kemampuan mengikut tangga gaji tertentu.

“Ini bukan saja akan memudahkan pelaksanaan pembinaan mengikut permintaan terkini, malah dapat memastikan proses cabutan dijalankan dengan telus kerana ia akan dipantau firma akauntan bertauliah dalam mengendalikan audit dengan semua pemohon yang mempunyai peluang sama rata,” katanya dalam taklimat kepada media, di sini, semalam.

Mereka yang berminat memohon perlu mengikuti kriteria seperti mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan, warga negara Malaysia berumur 21 tahun ke atas dan tidak mempunyai rumah lebih dari satu.

Mutalib berkata, melalui peruntukan diberikan kerajaan, pihaknya akan memulakan pembinaan hampir 50,000 rumah PR1MA tahun depan khusus bagi individu bujang atau berkeluarga yang tinggal di kawasan bandar.

“Mereka yang layak diharap segera mendaftarkan diri dan pihaknya juga akan menjalankan beberapa proses cabutan undi dalam tempoh dua ke tiga bulan akan datang.

“Maklumat terkini mengenai pembukaan pembinaan baru di bawah projek PR1MA ini akan dimaklumkan kepada pemohon melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel mengikut pilihan kawasan mereka yang pilih ketika proses pendaftaran,” katanya.

Katanya, nama bagi pemohon yang sudah berdaftar akan kekal dalam sistem sehingga terpilih dalam cabutan untuk memiliki rumah, sebarang penambahan maklumat seperti pertukaran status boleh dikemas kini dari semasa ke semasa. BHarian