Friday, September 21, 2012

KECAM INNOCENCE OF MUSLIMS


KUALA LUMPUR 20 Sept. - Majlis Tertinggi UMNO mengecam dan mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempertikai tindakan umat Islam bangkit membantah penyiaran filem anti-Islam Innocence of Muslims.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Koo Ham itu jelas memperlekeh umat Islam selain membuktikan DAP sebuah parti yang langsung tidak peka dengan isu-isu berkaitan dengan kepentingan masyarakat Islam.

Malah katanya, permohonan maaf yang dibuat Pengerusi DAP Perak itu hanya selepas teruk dikecam pelbagai pihak boleh dipersoal sejauh mana keikhlasan kerana sebagai pemimpin, beliau hairan mengapa Koo Ham tidak berfikir panjang sebelum membuat kenyataan itu.

Pada masa sama, Najib berkata, Majlis Tertinggi UMNO juga mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah Perancis.

"Kalau begitu kita pun buat kenyataan menghina dan kemudian minta maaf. Soalnya sejauh mana keikhlasan dia? Sepatutnya dalam isu agama mereka (pemimpin pembangkang) perlu lebih berhati-hati," katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta semua ketua pergerakan.

Mengulas lanjut mengenai filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang mencetus kemarahan umat Islam, Najib berkata, perbuatan tersebut tidak boleh diterima kerana ia mencemar kesucian agama Islam dan kemuliaan Rasulullah.

Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk mempertahankan agama Allah tetapi harus dilakukan dengan menggunakan pendekatan berhemah tanpa sebarang keganasan kerana Islam menolak keganasan.

"Kemarahan umat Islam ini adalah sesuatu yang dijangka dan tidak dapat dielakkan memandang mereka telah menghina Nabi Muhammad SAW. Ia perbuatan yang tidak boleh diterima walau apa alasan sekalipun termasuk atas nama kebebasan bersuara.

"Namun dalam mempertahan kesucian agama Allah ini, kita mestilah menggunakan pendekatan berhemah. Bantahan secara keganasan melampau sehingga membawa kematian bukan penyelesai masalah," katanya.

Najib sehubungan itu menggesa seluruh umat Islam hadir beramai-ramai untuk menyuarakan bantahan secara aman terhadap penyiaran filem dan karikatur tersebut bersama-sama Pergerakan Pemuda UMNO selepas solat Jumaat esok, di depan Masjid Jamek Kampung Baru. -BHarian

PRU-13 BUKAN NOVEMBER KERANA...

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi bayangan baru bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak mungkin akan diadakan pada November ini walaupun ramai yang membuat spekulasi sedemikian.

Ini kerana katanya, Perhimpunan Agung Umno telah ditetapkan dan dijadualkan dari 27 November hingga 1 Disember.

"Jika PRU-13 hendak diadakan dalam bulan November, sudah semestinya Perhimpunan Agung Umno juga akan ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, di Menara Datuk Onn, di sini, Khamis.

Najib yang juga presiden Umno berkata, jika benar PRU-13 akan diadakan dalam masa terdekat, sudah semestinya beliau akan menangguhkan terlebih dahulu Perhimpunan Agung Umno pada tahun ini.

"Tapi ikut suka kitalah mahu buat PRU-13 bila sekalipun," ujarnya berseloroh kepada para pemberita.

Sebaliknya beliau berkata, semua pihak berhak membuat spekulasi berhubung tarikh PRU-13.

"PRU-13 akan tetap diadakan. Mengenai tarikh, ia terletak kepada saya untuk tetapkan bila ia akan berlangsung," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menambah, pemilihan pucuk pimpinan tertinggiUmno akan turut ditangguhkan sehingga selesai PRU-13.

"Pemilihan tertinggi parti akan ditangguhkan sehingga kita selesai PRU-13...itu pasti," katanya lagi. -MStar
KARTUN HINA NABI: PERANCIS TUTUP SEKOLAH DI 20 NEGARA

PARIS: Perancis akan menutup buat sementara waktu kedutaan dan sekolahnya di 20 buah negara Jumaat ini selepas satu majalah Perancis menerbitkan kartun yang menghina Nabi Muhammad.

Langkah ini diambil kerana bimbang kartun tersebut akan memburukkan lagi situasi tegang berikutan filem yang menghina Nabi baru-baru ini.

"Sesungguhnya kami telah memutuskan untuk menutup premis, kedutaan, konsulat, pusat kebudayaan dan sekolah sebagai langkah keselamatan," kata jurucakap Kementerian Luar Negara berkenaan penutupan Jumaat ini.

Rabu lalu, Perancis meningkatkan keselamatan dan merayu orang ramai supaya tenang selepas suratkhabar mingguan berbentuk satira, Charlie Hebdo menerbitkan kartun tersebut.

Laurent Fabius, Menteri Luar Negara Perancis, berkata beliau telah mengarahkan langkah-langkah keselamatan khas "di semua negara yang mungkin akan menimbulkan masalah". Demonstrasi dalam dunia Islam sering diadakan selepas  solat Jumaat.

Fabius mengakui bahawa beliau "bimbang" dengan potensi tindak balas yang buruk dari kartun Charlie Hebdo itu, berdasarkan protes yang telah berlaku dalam dunia Islam yang membantah filem yang menghina Nabi, Innocence of Muslim.

Polis ditempatkan di luar pejabat majalah tersebut di Paris Rabu lalu. Pejabat penerbitan majalah sayap kiri, dan libertarian itu telah dibom tahun lalu selepas ia menerbitkan edisi Sharia Hebdo, yang kononnya diedit oleh penulis tamu, Nabi Muhammad.

Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault menggesa supaya pihak tersebut "bertanggungjawab" dan berkata sesiapa yang tersinggung dengan karikatur tersebut boleh mengemukakan saman.

Sekolah dan pusat kebudayaan Perancis di Mesir akan ditutup Khamis ini sebagai langkah berjaga-jaga, kata konsulat Perancis.

"Walaupun tiada ancaman khusus di Mesir, kami telah memutuskan seperti di negara-negara lain, untuk menutup sekolah-sekolah Perancis dan pusat-pusat kebudayaan di Mesir pada Khamis September 20 sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan. -AlJazeera/Harakahdaily