Friday, September 21, 2012

KARTUN HINA NABI: PERANCIS TUTUP SEKOLAH DI 20 NEGARA

PARIS: Perancis akan menutup buat sementara waktu kedutaan dan sekolahnya di 20 buah negara Jumaat ini selepas satu majalah Perancis menerbitkan kartun yang menghina Nabi Muhammad.

Langkah ini diambil kerana bimbang kartun tersebut akan memburukkan lagi situasi tegang berikutan filem yang menghina Nabi baru-baru ini.

"Sesungguhnya kami telah memutuskan untuk menutup premis, kedutaan, konsulat, pusat kebudayaan dan sekolah sebagai langkah keselamatan," kata jurucakap Kementerian Luar Negara berkenaan penutupan Jumaat ini.

Rabu lalu, Perancis meningkatkan keselamatan dan merayu orang ramai supaya tenang selepas suratkhabar mingguan berbentuk satira, Charlie Hebdo menerbitkan kartun tersebut.

Laurent Fabius, Menteri Luar Negara Perancis, berkata beliau telah mengarahkan langkah-langkah keselamatan khas "di semua negara yang mungkin akan menimbulkan masalah". Demonstrasi dalam dunia Islam sering diadakan selepas  solat Jumaat.

Fabius mengakui bahawa beliau "bimbang" dengan potensi tindak balas yang buruk dari kartun Charlie Hebdo itu, berdasarkan protes yang telah berlaku dalam dunia Islam yang membantah filem yang menghina Nabi, Innocence of Muslim.

Polis ditempatkan di luar pejabat majalah tersebut di Paris Rabu lalu. Pejabat penerbitan majalah sayap kiri, dan libertarian itu telah dibom tahun lalu selepas ia menerbitkan edisi Sharia Hebdo, yang kononnya diedit oleh penulis tamu, Nabi Muhammad.

Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault menggesa supaya pihak tersebut "bertanggungjawab" dan berkata sesiapa yang tersinggung dengan karikatur tersebut boleh mengemukakan saman.

Sekolah dan pusat kebudayaan Perancis di Mesir akan ditutup Khamis ini sebagai langkah berjaga-jaga, kata konsulat Perancis.

"Walaupun tiada ancaman khusus di Mesir, kami telah memutuskan seperti di negara-negara lain, untuk menutup sekolah-sekolah Perancis dan pusat-pusat kebudayaan di Mesir pada Khamis September 20 sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan. -AlJazeera/Harakahdaily

No comments:

Post a Comment