Friday, September 21, 2012

KECAM INNOCENCE OF MUSLIMS


KUALA LUMPUR 20 Sept. - Majlis Tertinggi UMNO mengecam dan mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempertikai tindakan umat Islam bangkit membantah penyiaran filem anti-Islam Innocence of Muslims.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Koo Ham itu jelas memperlekeh umat Islam selain membuktikan DAP sebuah parti yang langsung tidak peka dengan isu-isu berkaitan dengan kepentingan masyarakat Islam.

Malah katanya, permohonan maaf yang dibuat Pengerusi DAP Perak itu hanya selepas teruk dikecam pelbagai pihak boleh dipersoal sejauh mana keikhlasan kerana sebagai pemimpin, beliau hairan mengapa Koo Ham tidak berfikir panjang sebelum membuat kenyataan itu.

Pada masa sama, Najib berkata, Majlis Tertinggi UMNO juga mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah Perancis.

"Kalau begitu kita pun buat kenyataan menghina dan kemudian minta maaf. Soalnya sejauh mana keikhlasan dia? Sepatutnya dalam isu agama mereka (pemimpin pembangkang) perlu lebih berhati-hati," katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta semua ketua pergerakan.

Mengulas lanjut mengenai filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang mencetus kemarahan umat Islam, Najib berkata, perbuatan tersebut tidak boleh diterima kerana ia mencemar kesucian agama Islam dan kemuliaan Rasulullah.

Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk mempertahankan agama Allah tetapi harus dilakukan dengan menggunakan pendekatan berhemah tanpa sebarang keganasan kerana Islam menolak keganasan.

"Kemarahan umat Islam ini adalah sesuatu yang dijangka dan tidak dapat dielakkan memandang mereka telah menghina Nabi Muhammad SAW. Ia perbuatan yang tidak boleh diterima walau apa alasan sekalipun termasuk atas nama kebebasan bersuara.

"Namun dalam mempertahan kesucian agama Allah ini, kita mestilah menggunakan pendekatan berhemah. Bantahan secara keganasan melampau sehingga membawa kematian bukan penyelesai masalah," katanya.

Najib sehubungan itu menggesa seluruh umat Islam hadir beramai-ramai untuk menyuarakan bantahan secara aman terhadap penyiaran filem dan karikatur tersebut bersama-sama Pergerakan Pemuda UMNO selepas solat Jumaat esok, di depan Masjid Jamek Kampung Baru. -BHarian

No comments:

Post a Comment