Thursday, July 26, 2012

PERSIDANGAN MEJA BULAT -‘PILIHAN RAYA UMUM KE-13: MALAYSIA PILIH SIAPA?’

Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat anjuran bagi membincangkan perkembangan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan ilmiah di lapangan.

Tajuk perbincangan yang diperbahaskan dalam wacana ilmiah ini ialah “Pilihan Raya Umum ke-13: Malaysia Pilih Siapa?”. Ia diharap menjadi medan terbaik bagi memberikan peluang kepada ahli akademik membincangkan trend politik semasa menjelang pilihan raya.

Pembentangan ini adalah hasil daripada kajian akademik yang bakal dikongsi kepada masyarakat umum dalam perspektif akademik berkaitan dengan pilihan raya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Datuk Mohamed Mustafa berkata, selain itu persidangan ini akan menjadi platform bagi ahli sains politik, sains sosial, pengamal media dan wartawan politik bertukar pandangan dan mengupas senario politik Malaysia.

Menurutnya, program ini dihadiri 100 peserta yang membariskan moderator di kalangan ketua pengarang dan pegawai kanan media dari akhbar utama negara ini bagi mengupas dan membincangkan isu berkenaan.

Ahli panel yang terbabit dalam pembentangan ini terdiri daripada kalangan akademik dari pelbagai universiti di negara ini antaranya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya.

Program ini dirasmikan oleh Pengerusi MPN, Prof Datuk Dr Zakri Abdul Hamid.

KD: Amat bagus wacana ilmiah ini dianjurkan. Tahniah kepada pihak MPN kerana bertindak proaktif selaras dengan perkembangan politik negara. Memandangkan PRU13 akan menjelang tiba, maka diharapkan pembentangan dan hasil persidangan ini nanti akan menjadi info berguna kepada semua sekaligus memantapkan lagi pentadbiran negara.

SUK SELANGOR: DAKWAAN KRISIS AIR TIDAK BENAR

Selangor rampas premis jika dalangi kerja maksiatSHAH ALAM – Masalah kekurangan bekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya  tidak berlaku seperti yang digambarkan beberapa pihak sebelum ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi berkata, hasil pemantauan Jawatankuasa Pemantauan Air mendapati hanya beberapa kawasan di Cheras manakala tempat lain tidak mengalami gangguan bekalan air.

“Makluman daripada empat mesyuarat yang dijalankan bersama Syabas dan semua pihak terlibat, daripada maklumat, jumlah dan data yang diperoleh daripada Syabas dan semakan di loji-loji berkenaan kita dapati masalah yang dikatakan sebenarnya tidak berlaku
sebagaimana yang didakwa.

“Cuma kami dapati hanya beberapa tempat di Cheras yang menerima bekalan air dari Loji Sungai Langat mengalami masalah kekurangan bekalan air,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

KD: Begitu pula ceritanya? Apakah krisis dan gangguan air yang heboh diperkatakan sebelum ini hanya cerita kosong sahaja? Begitu banyak laporan dalam akhbar, kini baru pihak SUK membuat penjelasan. KD masih lagi keliru dengan isu air di Selangor ini.

BANTAH TEMA HARI KEMERDEKAAN: REAKSI
Semalam, beberapa pemimpin pembangkang dilaporkan mempertikai pemilihan slogan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati”. Ia didakwa tidak bersifat kebangsaan dan berbaur politik. Benarkah dakwaan itu atau hanya retorik semata-mata.

Bagi menjawab persoalan itu, hari ini beberapa pemimpin kerajaan memberi maklum balas mengenai perkara itu. (Sumber: Sinar Harian, m/s 14):

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan
"Kenapa pembangkang perlu melatah? Janji Ditepati adalah satu nilai akhlak yang baik sama ada antara manusia dengan manusia, ketua dengan pekerja, sesama ahli keluarga, sesama rakan, dan juga antara kaum di Malaysia. Apatah lagi antara kerajaan dan rakyat, janji mesti ditepati.”
“Pembangkang jangan melihat isu itu dari sudut politik sahaja tetapi mereka perlu melihat dengan sudut yang lebih meluas.”

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Oh Tong Keong
"Keengganan pimpinan PR menerima tema Hari Kemerdekaan tahun ini, bukti kegagalan parti itu dalam menunaikan janji mereka selama ini. Ini kerana selama hari ini mereka hanya pandai menabur janji kepada rakyat tetapi tidak mampu membuktikan kepada rakyat."
“Tema ‘Janji Ditepati’ adalah apa yang  kerajaan tela lakukan untuk rakyat sejak merdeka 55 tahun lalu, dan rakyat sendiri  yang akan menilai sejauh mana usaha yang telah dilakukan pemimpin mereka.”

KD: Jelas, pemilihan logo dan slogan “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati” sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun sebenarnya membawa maksud yang baik. Pihak pembangkang janganlah mempolemikkannya kerana apa yang dilakukan kerajaan pastinya adalah yang terbaik untuk rakyat.

TEMA HARI KEMERDEKAAN TAHUN INI – “55 TAHUN MERDEKA JANJI DITEPATI”

Bagi hari kemerdekaan tahun  ini, kerajaan telah pun memilih slogan “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati”. Di sini KD kongsikan sedikit info mengenai slogan tersebut. Semoga ia dapat menjadi panduan bersama.

KD: Ringkas tapi penuh makna.