Wednesday, October 3, 2012

DANA ASING: MPM GESA AMBIL TINDAKAN SEBELUM TERLAMBAT
 
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM) menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sekiranya terbukti menerima pembiayaan dana asing.

Setiausaha Agungnya, Dr. Hassan Mad berkata, pihak berkuasa tidak boleh membiarkan dua entiti tersebut sewenang-wenangnya melakukan agenda tersirat pihak asing yang mahu melihat negara ini hancur dan porak-peranda.

Pendedahan yang dilaporkan kebelakangan ini menunjukkan dana asing itu diperoleh daripada pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan penyangak mata wang, George Soros.

Pihak tidak bertanggungjawab itu juga dilihat mengambil kesempatan menghentam kerajaan disebabkan tiada undang-undang yang tegas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris Khamis lalu berhubung penglibatan Soros menerusi pertubuhan tertentu yang menyalurkan dana kepada pihak-pihak tertentu dalam negara bertujuan menimbulkan suasana huru-hara.

Katanya, Malaysiakini dan Suaram juga dilihat tidak mempunyai agenda membaiki budaya politik negara sebaliknya menggunakan alasan seperti kebebasan dan hak asasi untuk menghancurkan negara.

Saya berpendapat mereka ini seperti pelampau politik berniat menghancurkan sistem politik negara," jelasnya. – Utusan Online 

BAJET PEMBANGKANG SUKAR DILAKSANA

Bajet alternatif pembangkang seperti dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu lalu akan menyebabkan defisit jauh melebihi RM1.1 bilion, jika mengambil kira kenaikan gaji pekerja sektor awam di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, pembangkang memerlukan emolumen RM5.1 bilion bagi melaksanakan elaun pengajaran khas RM500 sebulan buat semua guru, kenaikan gaji kakitangan awam kepada RM1,100 menerusi gaji minimum sejagat dan perbelanjaan kenaikan gaji anggota polis sebanyak 15 peratus.

Sedangkan, katanya, berdasarkan pecahan peruntukan mengurus dalam bajet itu, pembangkang mendakwa bayaran emolumen hanya meningkat sebanyak RM4 bilion daripada RM52 bilion tahun ini kepada RM56 bilion untuk tahun depan. –UtusanOnline 
'KABINET BAYANGAN TIADA, BAYANGAN MENTERI ADA' -WAN AZIZAH

Kabinet bayangan?
PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menegaskan Pakatan Rakyat (PR) tidak ada Kabinet bayangan, yang dipertikaikan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN), sebaliknya hanya ada "bayangan menteri ada."

"Kabinet bayangan tak ada... bayangan menteri adalah," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, tengah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, yang meminta parti itu mengumumkan Kabinet bayangan mereka.

Pada masa yang sama, beliau turut mempersoalkan mengapa Barisan Nasional (BN) tidak mengumumkan Kabinet bayangan mereka di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR).

"PR tidak mungkin akan mewujudkan 'Kabinet bayangan' kerana  sistem politik Malaysia tidak seperti United Kingdom (UK) dan Australia di mana calon Kabinet bayangan mereka menerima bayaran untuk 'official status' mereka.

"Parti politik di Malaysia terdiri daripada gabungan beberapa parti politik sedangkan di negara terbabit, parti mereka adalah parti buruh dan sosialis, misalnya.

"Apa yang penting bagi kami bukan pangkat atau kedudukan tetapi kebajikan rakyat yang perlu diperjuangkan," katanya dalam sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Kelmarin, Najib mencabar PR untuk menubuhkan Kabinet bayangan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, sehingga kini janji PR mahu menubuhkan kerajaan bayangan masih belum ditunaikan kerana takut mahu mengagih jawatan sesama sendiri. -SinarHarian