Thursday, February 7, 2013

NGO SELAR BADAN ANTARA AGAMA KERANA CUBA PERTAHANKAN ‘ALLAH’ UNTUK BUKAN ISLAM

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) mengkritik kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) yang cuba mempertahankan bukan beragama Islam untuk menggunakan kalimah Allah untuk agama mereka.

Menurut presidennya, Ismail Mina Ahmad, pada masa sama MCCBCHST juga cuba mempertikaikan peranan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim, yang konsisten tidak membenarkan penggunaan perkataan Arab oleh  bukan beragama Islam berdasarkan peruntukan yang sedia ada.

Menurut Ismail, kemarahan Umat Islam mungkin tidak dapat dibendung lagi melihatkan kepada respon masyarakat Islam melalui laporan-laporan polis, ceramah-ceramah umum, tunjuk perasaan dan majlis-majlis penerangan.

“Majlis MCCBCHST patut memikirkan kesan yang mungkin timbul  dari desakan mereka yang bertentangan dengan Perlembagaan itu,” kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika hal yang tidak diingini berlaku, maka MCCBCHST harus dipersalahkan.

Ismail berkata, belum pernah timbul sebarang desakan oleh mana-mana penganut agama bukan Islam mahu menggunakan kalimah Allah dalam kitab-kitab dan ritual keagamaan mereka, tetapi akhir-akhir ini isu kalimah Allah ditimbulkan secara  terancang yang dilihat sebagai bermotifkan politik murahan.

Ismail meminta agar MCCBCHST mengelakkan diri dari pencaturan politik, dan sebagai golongan beragama yang mahukan keamanan, mereka sepatutnya  menasihatkan  pemimpin-pemimpin dan organisasi politik supaya berhenti dari bermain api.

“Muafakat meminta NGO-NGO Islam memikirkan semula keanggotaan mereka dalam Jawatan Kuasa Mempromosi  Keharmonian Di antara Agama di bawah JPNIN kerana badan-badan bukan Islam itu ternyata  tidak jujur dan tidak bersungguh-sungguh untuk mewujudkan keharmonian kerana tidak menghormati asas dialog dan menggunakan Jawatan Kuasa ini, sebagai jalan belakang menjalankan fungsi dan objektif IFC, apabila mereka secara konsisten mempertikaikan kedudukan Agama Islam dan kedudukan serta peraturan agama sedia ada,” kata Ismail.

Selasa lalu, MCCBCHST semalam menegur MAIS dan bekas ketua hakim negara itu kerana cuba mengawal hak beragama kaum minoriti di Malaysia dengan melarang penggunaan perkataan “Allah”, yang menurut mereka sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Sementara itu, pemimpin Jalur Tiga (JATI), Datuk Hasan Ali, memberi amaran bahawa MCCBCHST akan menyebabkan api kemarahan merebak, selepas kumpulan tersebut menuduh majlis agama negeri itu cuba menghalang kebebasan beragama.

Isu kalimah “Allah” yang dibangkitkan selepas pilihan raya umum 2008 kekal menjadi topik panas yang diperkatakan menjelang pilihan raya tahun ini.

Pertikaian isu ini timbul semula Disember lalu apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam amanat sambutan Krismasnya menggesa Putrajaya menarik larangan kitab berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.— Malaysian Insider
ARAB SPRING: AMBIL SERIUS AMARAN ANWAR — DR M

KUALA LUMPUR - Amaran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai demonstrasi ala “Arab Spring” di Malaysia perlu diambil serius berikutan obsesi beliau untuk menjadi perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad .

Menyatakan beliau tahu akan kapasiti Anwar untuk melakukan huru-hara, bekas Perdana Menteri berkata Anwar telah membuktikan dirinya sebagai “juara” demonstrasi di masa lalu.

Dr Mahathir berkata, semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran pada 1974, Anwar telah menganjurkan demonstrasi pelajar mendakwa kebuluran telah menyebabkan kematian seorang budak lelaki di Baling, Kedah; tetapi tiada demonstrasi serius selama 16 tahun apabila Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu menyertai kerajaan.

“Sebaik sahaja beliau keluar daripada kerajaan, terdapat demonstrasi setiap minggu. Obsesi beliau untuk menjadi perdana menteri akan mendorong beliau mewujudkan “Arab Spring” supaya cita-citanya menjadi kenyataan.

“Bagi dirinya, beliau tidak peduli sekiranya kestabilan dan ekonomi negara terjejas teruk asalkan beliau dapat menjadi perdana menteri,” kata Dr Mahathir dalam entri terbaharu dalam blog beliau bertajuk ‘Janji Anwar’ di www.chedet.cc hari ini.

Entri terbaharu itu ditulis sebagai respons kepada janji Anwar untuk mengatur “Arab Spring” di Malaysia seperti dilaporkan di Australia.

Dr Mahathir berkata Anwar akan menganjurkan demonstrasi melibatkan ratusan ribu orang — sepertimana dilakukannya pada demonstrasi ‘Bersih’ – bagi menjatuhkan kerajaan sekiranya beliau kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Memberikan perspektif lebih jelas, Dr Mahathir berkata Anwar telah menganjurkan demonstrasi setiap Sabtu apabila beliau dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang telah menjejaskan perniagaan di Kuala Lumpur berikutan orang ramai mengelak daripada pergi ke ibu kota.

“Anwar tahu akan impak teruk daripada demonstrasi besar-besaran yang beliau anjurkan itu terhadap ekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia mungkin dapat didesak untuk mengundi partinya bagi mengelakkan ekonomi mereka terjejas oleh demonstrasi.

“Adalah amat menyedihkan bagi Malaysia jika ugutan sebegini dibuat untuk memenangi pilihan raya,” katanya. — Bernama/Malaysian Insider
SABOTAJ KERAJAAN: NGO SYOR TINGKAT PENGUATKUASAAN @ WUJUD UNDANG-UNDANG KHAS

KUALA LUMPUR— Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini mengesyorkan kerajaan meningkatkan penguatkuasaan atau mewujudkan undang-undang khas bagi memastikan individu atau NGO yang mensabotaj kerajaan dikenakan tindakan sewajarnya.

Mereka berkata penguatkuasaan undang-undang secara tegas atau penggubalan undang-undang khas perlu memandangkan senario kini menyaksikan banyak tindakan mensabotaj kerajaan oleh pertubuhan politik atau NGO propembangkang yang bermotifkan politik dan kepentingan sendiri.

Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib (gambar), berkata antara tindakan mensabotaj kerajaan ialah mendedahkan dokumen sulit kerajaan dan syarikat kerajaan sebelum ini seperti isu Syarikat Fidlot Kebangsaan (NFC), projek LRT Ampang dan isu Lynas.

“Terbaru, tindakan Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack mengancam membakar loji nadir bumi Lynas Corp di Gebeng, Pahang, sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak menutup loji itu apabila terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang merupakan satu ugutan serius yang boleh mengancam keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Kalau dahulu Himpunan Hijau merupakan sebuah NGO yang asas kewujudannya hanya bermula daripada aduan mengenai projek Lynas melalui laman web kini bertukar agresif dengan menggertak dan mengancam negara.” Dzulkarnain berkata tindakan itu jelas mensabotaj kerajaan, sektor kewangan dan ekonomi negara, justeru kerajaan perlu mewujudkan undang-undang khas bagi menangani tindakan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Maa’mor Osman memberitahu Bernama tindakan mensabotaj kerajaan telah mencemarkan imej serta maruah negara dan langkah segera perlu dilaksana bagi menangani senario itu.

“Tindakan kebanyakan individu, pemimpin politik atau pertubuhan NGO kini yang banyak cuba mensabotaj kerajaan terutama dengan mendedahkan maklumat sulit sesuatu agensi di bawah kerajaan dilihat tiada asasnya,” katanya.

“Jika ada sebarang isu seharusnya disuarakan berasaskan akta sedia ada dan bukannya hanya memikirkan kepentingan sendiri sehingga melanggar undang-undang dan memberi ancaman kepada rakyat dan negara.”

Menurutnya ugutan Wong Tack untuk membakar loji Lynas misalnya, merupakan satu perkara yang bahaya kerana boleh membawa impak lebih buruk selain menimbulkan kegusaran dan ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata negara mempunyai undang-undang yang kukuh bagi menghalang penyebaran maklumat tidak benar terutama berkaitan kerajaan, namun penguatkuasaan perlu ditingkatkan.

“Undang-undang sedia ada cukup,” katanya. “Soalnya sekarang tindakan tegas perlu diambil, tak boleh dilengah-lengahkan, untuk mengawal lebih banyak maklumat sulit terutama berkaitan kerajaan didedahkan pihak tidak bertanggungjawab.”

Abdul Aziz berkata NGO atau mana-mana individu di negara ini juga perlu “belajar” menyuarakan ketidakpuasan hati secara lebih “sihat” dan seimbang bukan dengan cara negatif membocorkan maklumat sulit kerajaan yang nyata rahsia kepada umum. — Bernama/Malaysian Insider
KES SUGUMARAN: CADANG BADAN BEBAS PANTAU POLIS - MUSA HASSAN

PETALING JAYA — Tan Sri Musa Hassan mendesak kerajaan menubuhkan badan bebas untuk memantau polis selepas berlakunya beberapa kejadian kematian dalam tahanan.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu walau bagaimanapun tidak menyokong Suruhanjaya Bebas Aduan Salahlaku Polis (IPCMC) kerana terdapat satu klausa yang menghalang pegawai polis untuk membuat rayuan terhadap tindakan kepada mereka.

“Dari trend yang saya lihat, saya rasa lebih baik ditubuhkan sebuah badan bebas yang memantau perjalanan dan urusan polis,” kata Musa dalam satu sidang akhbar yang dianjurkan oleh MyWatch.

“Saya memberikan alternatif kepada IPCMC (sebelum ini) — Suruhanjaya Integriti Polis,” tambah beliau.

Kenyataan beliau berikutan kes pengawal keselamatan, C Sugumaran yang didakwa dipukul sehingga mati oleh polis dan orang ramai di Hulu Langat pada 23 Januari.

Kematian Sugumaran dikaitkan dengan banyak lagi kes kematian yang didakwa melibatkan polis seperti kematian Chang Chin Te awal tahun ini, A Kugan dan R Gunasegaran pada 2009, serta kematian pelajar sekolah Aminulrasyid Amzah pada 2010 dan beberapa kematian dalam dua tahun ini.

Berikutan itu, Musa juga mengatakan inkues perlu dijalankan dalam kes kematian Sugumaran.

“Inkues perlu dijalankan jika anda tidak pasti punca kematian si mati,” katanya.

“Jika anda tidak pasti, tidak boleh terus menuduh beliau dibunuh,” tambah bekas ketua polis itu.

Polis sudah menawarkan inkues dijalankan akan tetapi keluarga Sugumaran bertegas mahukan siasatan bunuh.

Bedah siasat pertama dijalankan oleh Hospital Serdang menunjukkan Sugumaran mati kerana serangan jantung.

Keluarga Sugumaran walau bagaimanapun menuntut bedah siasat kedua dan melantik pakar pathologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand untuk melakukannya.

Dr Pornthip adalah ahli forensik Thailand yang memantau bedah siasat kedua Teoh Beng Hock untuk mencari kesalahan dalam kematian misteri ahli DAP itu di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.— Malaysian Insider