Thursday, February 7, 2013

KES SUGUMARAN: CADANG BADAN BEBAS PANTAU POLIS - MUSA HASSAN

PETALING JAYA — Tan Sri Musa Hassan mendesak kerajaan menubuhkan badan bebas untuk memantau polis selepas berlakunya beberapa kejadian kematian dalam tahanan.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu walau bagaimanapun tidak menyokong Suruhanjaya Bebas Aduan Salahlaku Polis (IPCMC) kerana terdapat satu klausa yang menghalang pegawai polis untuk membuat rayuan terhadap tindakan kepada mereka.

“Dari trend yang saya lihat, saya rasa lebih baik ditubuhkan sebuah badan bebas yang memantau perjalanan dan urusan polis,” kata Musa dalam satu sidang akhbar yang dianjurkan oleh MyWatch.

“Saya memberikan alternatif kepada IPCMC (sebelum ini) — Suruhanjaya Integriti Polis,” tambah beliau.

Kenyataan beliau berikutan kes pengawal keselamatan, C Sugumaran yang didakwa dipukul sehingga mati oleh polis dan orang ramai di Hulu Langat pada 23 Januari.

Kematian Sugumaran dikaitkan dengan banyak lagi kes kematian yang didakwa melibatkan polis seperti kematian Chang Chin Te awal tahun ini, A Kugan dan R Gunasegaran pada 2009, serta kematian pelajar sekolah Aminulrasyid Amzah pada 2010 dan beberapa kematian dalam dua tahun ini.

Berikutan itu, Musa juga mengatakan inkues perlu dijalankan dalam kes kematian Sugumaran.

“Inkues perlu dijalankan jika anda tidak pasti punca kematian si mati,” katanya.

“Jika anda tidak pasti, tidak boleh terus menuduh beliau dibunuh,” tambah bekas ketua polis itu.

Polis sudah menawarkan inkues dijalankan akan tetapi keluarga Sugumaran bertegas mahukan siasatan bunuh.

Bedah siasat pertama dijalankan oleh Hospital Serdang menunjukkan Sugumaran mati kerana serangan jantung.

Keluarga Sugumaran walau bagaimanapun menuntut bedah siasat kedua dan melantik pakar pathologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand untuk melakukannya.

Dr Pornthip adalah ahli forensik Thailand yang memantau bedah siasat kedua Teoh Beng Hock untuk mencari kesalahan dalam kematian misteri ahli DAP itu di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.— Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment