Thursday, February 7, 2013

NGO SELAR BADAN ANTARA AGAMA KERANA CUBA PERTAHANKAN ‘ALLAH’ UNTUK BUKAN ISLAM

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) mengkritik kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) yang cuba mempertahankan bukan beragama Islam untuk menggunakan kalimah Allah untuk agama mereka.

Menurut presidennya, Ismail Mina Ahmad, pada masa sama MCCBCHST juga cuba mempertikaikan peranan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim, yang konsisten tidak membenarkan penggunaan perkataan Arab oleh  bukan beragama Islam berdasarkan peruntukan yang sedia ada.

Menurut Ismail, kemarahan Umat Islam mungkin tidak dapat dibendung lagi melihatkan kepada respon masyarakat Islam melalui laporan-laporan polis, ceramah-ceramah umum, tunjuk perasaan dan majlis-majlis penerangan.

“Majlis MCCBCHST patut memikirkan kesan yang mungkin timbul  dari desakan mereka yang bertentangan dengan Perlembagaan itu,” kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika hal yang tidak diingini berlaku, maka MCCBCHST harus dipersalahkan.

Ismail berkata, belum pernah timbul sebarang desakan oleh mana-mana penganut agama bukan Islam mahu menggunakan kalimah Allah dalam kitab-kitab dan ritual keagamaan mereka, tetapi akhir-akhir ini isu kalimah Allah ditimbulkan secara  terancang yang dilihat sebagai bermotifkan politik murahan.

Ismail meminta agar MCCBCHST mengelakkan diri dari pencaturan politik, dan sebagai golongan beragama yang mahukan keamanan, mereka sepatutnya  menasihatkan  pemimpin-pemimpin dan organisasi politik supaya berhenti dari bermain api.

“Muafakat meminta NGO-NGO Islam memikirkan semula keanggotaan mereka dalam Jawatan Kuasa Mempromosi  Keharmonian Di antara Agama di bawah JPNIN kerana badan-badan bukan Islam itu ternyata  tidak jujur dan tidak bersungguh-sungguh untuk mewujudkan keharmonian kerana tidak menghormati asas dialog dan menggunakan Jawatan Kuasa ini, sebagai jalan belakang menjalankan fungsi dan objektif IFC, apabila mereka secara konsisten mempertikaikan kedudukan Agama Islam dan kedudukan serta peraturan agama sedia ada,” kata Ismail.

Selasa lalu, MCCBCHST semalam menegur MAIS dan bekas ketua hakim negara itu kerana cuba mengawal hak beragama kaum minoriti di Malaysia dengan melarang penggunaan perkataan “Allah”, yang menurut mereka sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Sementara itu, pemimpin Jalur Tiga (JATI), Datuk Hasan Ali, memberi amaran bahawa MCCBCHST akan menyebabkan api kemarahan merebak, selepas kumpulan tersebut menuduh majlis agama negeri itu cuba menghalang kebebasan beragama.

Isu kalimah “Allah” yang dibangkitkan selepas pilihan raya umum 2008 kekal menjadi topik panas yang diperkatakan menjelang pilihan raya tahun ini.

Pertikaian isu ini timbul semula Disember lalu apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam amanat sambutan Krismasnya menggesa Putrajaya menarik larangan kitab berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.— Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment