Thursday, February 21, 2013

PKR vs DAP: TIADA MUAFAKAT DALAM PAKATAN - PENGANALISIS

KUALA LUMPUR – Pergeseran pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Johor membuktikan tidak wujud permuafakatan di kalangan parti-parti pembangkang walaupun dalam persoalan asas, menurut penganalisis politik.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pengundi perlu memberi perhatian kepada latar belakang dan kredibiliti pemimpin pembangkang kerana rata-rata mereka hanya cenderung kepada kuasa dan jawatan daripada soal perjuangan parti yang sebenar.

“Contohnya di dalam PKR sendiri kebanyakan mereka keluar dari BN kerana tidak ditawarkan jawatan seperti Datuk Chua (Jui Meng) yang ditolak oleh MCA sendiri,” katanya.

Konflik dalaman DAP dan PKR di negeri itu dikatakan berlaku disebabkan perebutan kerusi antara kedua-dua parti dan ia memuncak apabila pengerusi DAP negeri Dr Boo Cheng Hau dilapor mahu Chua Jui Meng dilucutkan daripada jawatannya sebagai pengerusi PKR negeri.

Ini berikutan dakwaan Boo bahawa Chua sedang melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di Johor.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh, dalam satu kenyataan semalam, menggesa pemimpin utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bertindak sebagai perantara agar peluang pembangkang di negeri itu tidak menerima kesan negatif daripada sebarang perbuatan sabotaj.

Satu daripada kerusi yang dikatakan menjadi ‘rebutan’ antara PKR dan DAP Johor ialah kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang Tan Ah Heng daripada Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum 2008 dan 2004, kerusi itu ditandingi calon PKR, namun kali ini terdapat petanda bahawa DAP mahukan kerusi itu kerana alasan calonnya mempunyai peluang lebih tinggi berbanding PKR untuk merampas kerusi itu daripada BN.

“Dalam isu ini langsung tidak bangkit tentang rakyat, apa yang mereka lebih pentingkan ialah tentang berapa banyak kuasa yang mereka ada,” kata anggota Parlimen Muar yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim.

Beliau, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata perebutan kerusi itu lahir daripada sifat gila kuasa pemimpin-pemimpin pembangkang yang akhirnya sudah tentu merugikan rakyat.

“Saya faham ada penyokong tegar antara mereka yang tidak peduli apa yang berlaku, namun bagi yang dapat fikirkan masa depan, mereka harus fikir bahawa mereka tidak akan dapat kerajaan berkualiti dengan pemimpin sebegini,” katanya.

Anggota Parlimen Batu Pahat Dr Puad Zarkashi pula menyifatkan perpecahan di kalangan parti pembangkang tidak dapat diselindung lagi.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata PKR, DAP dan PAS adalah sebuah pakatan yang tidak mempunyai asas kukuh untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, menyebabkan masing-masing cuba menunjukkan bahawa mereka adalah juara.

Pengerusi Rancangan Sains Politik Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia, Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid pula berkata sejak awal gabungan pakatan pembangkang tidak sekukuh BN. – Bernama/ The Malaysian Insider
RAKYAT PERLU DIPERJELAS ISU SEMASA DENGAN PANTAS, TEPAT

BELURAN – Rakyat perlu diberi penjelasan dengan segera dan tepat berhubung sebarang isu semasa bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Beluran berkata, setiap maklumat yang tepat perlu disampaikan secara terus kepada rakyat dalam apa cara sekalipun.

“Jika tidak, tentunya ada pihak yang akan menggunakan ruang ini bagi kepentingan diri dan politik peribadi mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Program Penghayatan 1Malaysia peringkat daerah Beluran anjuran Jabatan Penerangan Sabah di sini malam tadi.

Sehubungan itu, beliau melihat agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mempunyai tanggungjawab besar dalam perkara ini.

“Mereka perlu memainkan peranan lebih efektif dalam usaha menggerakkan minda rakyat dengan memberi penjelasan tentang isu-isu semasa yang berlaku ketika ini,” katanya.

Ronald berkata persembahan pentarama yang menjadi satu daripada acara dalam penghayatan 1Malaysia, adalah pentas terbaik untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat selaras dengan konsep pentarama hiburan bermaklumat.

Beliau berkata selain berhibur, rakyat yang datang menyaksikan pentarama dapat disalurkan maklumat mengenai dasar dan program yang dilaksana kerajaan. - The Malaysian Insider
MAJLIS SYURA PAS GUGUR RAMAI CALON, BIMBANG LOMPAT PARTI

KUALA LUMPUR ― Majlis Syura PAS menggugurkan ramai calon yang disenaraikan oleh pimpinan parti kerana kebimbangan akan melompat parti setelah dipilih sebagai wakil rakyat.

Menurut Setiausaha Majlis Syura PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, antara sebab utama ialah mereka yang berkenaan didapati tidak menepati syarat ketat ditetapkan.

“Setelah dicadangkan di peringkat kawasan dan negeri, tapisan yang paling mustahak ialah di peringkat Majlis Syura Ulama. Pada peringkat ini, kita akan menentukan calon mengikut ciri-ciri kepimpinan Islam, tidak melakukan dosa besar dan tidak meneruskan dosa-dosa kecil.

“Selain itu, banyak lagi perkara-perkara lain yang kita fokuskan,” kata Nik Muhammad Zawawi yang dipetik dari akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, setiap calon dipilih mampu mempertahankan dasar dan imej parti, sama ada mereka kalah ataupun menang dalam pilihan raya.

Nik Muhammad Zawawi juga berkata, Majlis Syura PAS sudah menyelesaikan 95 peratus proses tapisan dan ia akan diumumkan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

“Calon yang kita gugurkan dalam proses di peringkat Majlis Syura Ulama kerana syaratnya tidak mencukupi dan nama ini dikembalikan semula kepada Jawatan Kuasa Kerja Pas Pusat dengan senarai yang bersih,” katanya.

Menurut Nik Muhammad Zawawi lagi, mereka yang disenaraikan sebagai calon, mempunyai ciri-ciri yang diyakini untuk mempertahankan dasar parti serta boleh menjaga keperibadian supaya tidak menjejaskan imej  parti.

“Ciri-ciri ini kita yakin, dia boleh mempertahankan dasar parti dan boleh jaga keperibadian supaya tidak keluar parti...

“Alhamdulillah, setakat ini tiada calon yang melompat dalam Pas,” katanya.

Dalam pilihan raya 2008 yang lalu, PAS memenangi 23 buah kerusi dari 82 kerusi yang dimenangi pembangkang, yang seterusnya bergabung menjadi Pakatan Rakyat. - The Malaysian Insider

PRU PERTENGAHAN APRIL SELEPAS PM TAMAT JELAJAH NEGARA

KUALA LUMPUR – Pilihan raya umum (PRU) ke 13 dijangka akan berlaku pada minggu kedua April, sebulan selepas Datuk Seri Najib Razak tamat jelajah “Janji Ditepati” dan Barisan Nasional (BN) selesai menyiapkan senarai calon dan manifesto, kata satu sumber.

The Malaysian Insider difahamkan, perhentian terakhir jelajah perdana menteri adalah kawasan parlimennya Pekan pada 16 Mac dimana beliau dijangka akan bertemu dengan Yang Di Pertuan Agong selepas itu untuk membubarkan parlimen.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kebiasaannya menetapkan tarikh pilihan raya tiga minggu selepas parlimen dibubarkan, jadi kami jangka paling awal adalah pertengahan April,” kata sumber BN kepada The Malaysian Insider.

Terdapat spekulasi parlimen akan dibubarkan minggu ini dan PRU akan diadakan pada akhir Mac, lebih lima tahun selepas PRU terdahulu pada 8 Mac, 2008.

Akan tetapi sumber BN menafikan spekulasi tersebut, mengatakan satu-satunya acara berkaitan pilihan raya minggu ini adalah SPR akan mengazetkan daftar pemilih terbaru esok.

SPR akan menetapkan tarikh pilihan raya dengan 10 hari tempoh berkempen dan dijangka akan melakukannya selepas parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kecuali bagi DUN Sarawak. Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

“PM mempunyai masa sehingga 28 April untuk mengadakan pilihan raya. Beliau akan mengambil masa,” kata sumber tersebut, dengan menambah pemimpin BN akan menyemak manifesto dan senarai calon dengan berhati-hati untuk memastikan kombinasi kemenangan.

The Malaysian Insider, sebelum ini, melaporkan manifesto BN akan siap pada akhir bulan ini dan aktivis dari parti komponen telah mula bekerja di bawah.

The Star melaporkan semalam Najib mahu “segalanya diselesaikan” pada akhir Mac, merujuk kepada manifesto, senarai calon dan persediaan umum.

Akhbar berbahasa Inggeris milik MCA itu juga mengatakan Najib menghadapi kesukaran untuk melantik calon Menteri Besar untuk Kedah dan Selangor yang cuba dirampas semula BN.

“Tanpa nama calon MB yang dicadangkan sebelum pilihan raya, Najib akan berdepan kesukaran untuk meyakinkan pengundi bahawa BN serius untuk menawan kembali negeri itu,” kata satu sumber kepada The Star.

The Malaysian Insider difahamkan senarai menteri besar akan siap akhir bulan ini selepas Majlis Raja-raja bersidang pada 26 Febuari.

Beberapa menteri besar dijangka akan digugurkan atau dipindahkan ke peringkat pusat bagi yang telah berkhidmat lebih dari tiga penggal di negeri mereka.

“Najib serius dengan transformasi, tentang memperbaharui parti, jadi perlu menukar menteri besar seperti mana Dr Mahathir lakukan pada 1982,” kata orang kuat Umno kepada The Malaysian Insider merujuk kepada rombakan pemimpin negeri dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mendapatkan mandat sebagai perdana menteri pada Pilihan Raya 1982.

Di kalangan menteri besar atau ketua menteri yang mungkin perlu di tukar adalah dari Johor, Melaka dan Pahang selain dari muka baru di Kedah dan Selangor.

The Star turut melaporkan beberapa pemimpin BN mengatakan, Najib mahu menggelakkan tarikh dari 29 Mac hingga 4 April untuk tarikh pilihan raya.

Ini kerana, kata mereka, tarikh tersebut jatuh pada cuti Good Friday pada 29 Mac dan Easter pada 31 Mac manakala Qing Ming pula pada 4 April.

Oleh kerana 4 April jatuh pada hari Khamis, kebanyakan masyarakat Cina memilih untuk membersihkan kubur nenek moyang mereka sepanjang hujung minggu iaitu 6 dan 7 April.

“Kebanyakan kaum Cina pulang ke kampung halaman dan pilihan raya pada minggu tersebut mungkin tidak mendapat sambutan,” kata akhbar tersebut.- The Malaysian Insider
PRU13: PM IKRAR BANTERAS RASUAH

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu berikrar akan memberikan komitmen terhadap agenda pembangunan nasional terutamanya dalam membanteras gejala rasuah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menerusi dokumen ikrar yang ditandatangani Najib, beliau menyatakan bahawa hanya pemimpin yang adil boleh mewujudkan sebuah kerajaan yang diterima rakyat.

"Saya percaya sebagai pemimpin BN yang sebenar, saya perlu menjadi contoh yang baik bahawa hanya calon yang bertanding secara adil dan bebas akan mewujudkan sebuah kerajaan yang dipercayai dan dihormati rakyat," katanya seperti dipetik menerusi dokumen berkenaan.

Ikrar berkenaan merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Integriti Antarabangsa Malaysia (TI).

Majlis menandatangani ikrar berkenaan disaksikan Presiden TI, Datuk Paul Low.

Ikrar berkenaan merupakan satu kontrak sosial yang dibuat secara sukarela oleh calon-calon PRU-13 bagi menggalakkan integriti, sistem tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan serta demi menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Bakal-bakal calon daripada parti komponen BN sudah melalui proses tapisan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), jadi ia terbukti bahawa mereka juga memikul komitmen untuk memastikan pilihan raya bersih dan adil.

"Ini merupakan satu lagi langkah kehadapan dengan menandatangani ikrar integriti. Marilah kita bekerja bersama-sama ke arah mengukuhkan proses pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu menurut Najib, beliau akan memastikan semua calon BN menandatangani ikrar berkenaan selepas senarai calon diumumkan.

Sementara itu Low berkata kandungan ikrar berkenaan turut akan dimuatkan dalam laman web rasmi Integriti Antarabangsa Malaysia (TI).

"Langkah seterusnya ialah menjadi tanggungjawab awam adalah untuk menjadi mata dan telinga bagi memantau sama ada bakal-bakal calon mematuhi ikrar itu atau pun tidak.

"Selain itu orang ramai turut berpeluang memberikan maklum balas mengenainya di laman Facebook dan Twitter," katanya.

Empat teras utama yang terkandung dalam ikrar berkenaan ialah:

1. Calon perlu mematuhi prinsip kebenaran, integriti, tingkah laku yang beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dalam apa-apa cara dalam amalan rasuah;

2. Mendukung dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan;

3. Melakukan tadbir urus yang baik dan telus;

4. Mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang diguna pakai di Malaysia. -mStar