Monday, June 18, 2012

AKSI RANJANG CEMAR FILEM MELAYU

Kebelakangan ini, filem Melayu dilihat semakin biadab memaparkan adegan ranjang yang dilakonlan oleh pelakon wanita dan lelaki Melayu. Ironinya adegan ranjang ini dilakukan oleh pengarah Melayu yang sepatutnya faham batas dalam budaya mahupun agama.

Jawapan klise pelakon yang terlibat ialah "mengikut skrip". Malah mereka secara tidak bersalah seolah-olah memberitahu masyarakat artis ada lesen untuk membuat adegan ranjang.

Pengarah dan pelakon kita banyak yang telah diresapi fahaman sekular hingga filem Melayu tidak ubah macam filem Hollywood.

Ini bukan benda baru yang berlaku dalam industri filem kita, namun ketika ini semakin teruk apabila pengarah Melayu sengaja mewujudkan adegan itu untuk mengumpan penonton.

Gaya hidup moden yang dipaparkan ke dalam kebanyakan filem Melayu ketika ini semakin tiada batasannya. Setiap pengarah seakan-akan berlumba-lumba menghasilkan karya 'kebaratan' mereka. Mereka mencabar batas moral, budaya dan agama semata-mata terasuk dengan hasutan sekular.

Beberapa filem Melayu yang jelas memaparkan adegan ranjang adalah Anak Halal, Ombak Rindu, Buka Api dan yang terbaru Jiwa Taiko. Malangnya tidak banyak pihak yang mempersoalkan kewajaran adegan ranjang ini seolah-olah merestui. Pihak penapisan kita memang sudah lama sekular dan mereka tidak kisah dengan pemcemaran moral begini.

Faktor yang mendorong untuk melakukan adegan tersebut mungkin kerana terlalu terpesona dengan budaya filem Hollywood.

Filem hebat Melayu contohnya Bunohan langsung tidak memaparkan adegan ranjang tetap dianggap berjaya. Jika di imbau kembali ketika filem era P. Ramlee juga tiada adegan ranjang dilakonkan namun setiap filem romantiknya berjaya diingati sehingga hari ini.

Melayu biasanya begitu kuat dengan adat resamnya dan perjalanan hidup mereka berpegang kepada hukum hakam agama.

Namun kebelakangan ini, segelintir pengarah Melayu lupa tentang pegangan tersebut sehinggakan mereka sendiri sanggup mencemarkan adat dan pegangan mereka.

Alasan yang selalu diberikan oleh pengarah adalah untuk menggambarkan tentang permasalahan sosial seperti pergaulan bebas dan melahirkan anak luar nikah. Kononnya filem mereka akan menyedarkan remaja padahal filem merekalah yang menyumbang anak luar nikah. -Utusan Online


KD: Tidaklah arif perihal filem nie.. Tetapi, sebagai penonton, KD berpendapat tidak wajar adegan panas/ ranjang dipertontonkan dalam filem mahupun drama. Ia bukan sahaja tidak sesuai dengan budaya ketimuran yang penuh dgn adab dan sopan, malah ia boleh mendorong golongan yang kurang faham ke arah yg gejala negatif.
SELANGOR PATUT TUMPU USAHA PASTIKAN BEKALAN AIR MENCUKUPI - MOHD ZIN

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sepatutnya lebih menumpukan kepada usaha memastikan bekalan air di negeri itu sentiasa mencukupi daripada penstrukturan semula industri air, kata Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Katanya walaupun berlakunya penstrukturan semula industri air, kerajaan negeri masih belum menyatakan rancangan mereka dalam memastikan bekalan air terawat di Selangor mencukupi bagi menampung keperluan penduduk dan industri.

Mohd Zin berkata sehingga kini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih menafikan laporan bahawa simpanan air terawat adalah rendah iaitu sekitar dua ke tiga peratus tanpa memberikan angka sebenar.

"Cadangan kerajaan negeri bahawa sumber air boleh didapati daripada banyak sumber seperti air bawah tanah, empangan mahu pun air lombong tidak akan bermakna jika loji rawatan air yang ada tidak mampu menampung kapasiti air ini. 

"Sedangkan 33 loji rawatan air di Selangor sudah hampir mencapai kapasiti optimum masing-masing dan ada yang beroperasi lebih daripada kapasiti maksimum," katanya.Mohd Zin juga berkata Forum Air Selangor anjuran kerajaan negeri Selasa lepas, kebanyakannya disertai oleh ahli perniagaan yang mencadangkan kaedah bagi menangani masalah air.

"(Namun) tiada keputusan kukuh yang diumumkan selain hanya bercadang untuk meneliti setiap cadangan yang ada. Hakikatnya kita semakin kesuntukan masa," katanya.

Beliau berkata jemputan untuk menyertai forum itu juga tidak menyeluruh kerana tiada jemputan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri daripada BN Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd.-BERNAMA


KD: Errrmm.. kalau mahu berpolitik, memang tiada salah. Namun, janganlah sampai keperluan asas rakyat juga dipolitikkan.  Pengabaian dan kegagalan kerajaan negeri menangani isu air ini bukan sahaja menyusahkan pengguna, tetapi pastinya rakyat marah dan hilang kepercayaan terhadap pemimpin.
10 CADANGAN UNTUK TURUNKAN HARGA RUMAH


PETALING JAYA: Kementerian Kewangan, yang mengambil berat tentang harga rumah yang melambung tinggi telah meminta bantuan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mencari penyelesaian kepada masalah ini.

Sebagai tindak balas kepada permintaan itu awal bulan ini, HBA telah mencadangkan 10 langkah untuk menangani masalah ini yang diharapkan membawa kepada penurunan harga.

Setiausaha Agung HBA Chang Kim Leong berkata campur tangan segera diperlukan untuk mengelakkan rakyat Malaysia menjadi "generasi tanpa rumah", memberi amaran bahawa negara akan menghadapi krisis sosial jika majoriti rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tidak mempunyai akses kepada perumahan mampu milik.

Beliau menggesa kerajaan mengambil peranan utama dalam membangunkan rumah mampu milik dan tidak melepaskannya kepada pemaju hartanah "yang merupakan entiti yang memaksimumkan keuntungan".

Salah satu daripada langkah yang dicadangkan oleh persatuan adalah tidak membenarkan mereka yang membeli rumah di bawah projek perumahan mampu milik menjual harta mereka, dengan hanya membenarkan mereka memindahkan rumah tersebut kepada waris mereka. Ini untuk mencegah orang ramai daripada cuba membuat keuntungan segera, katanya Ahad.

Persatuan itu mencadangkan kerajaan membuka kunci tanah rizabnya di pelbagai lokasi dan memberi keutamaan kepada projek-projek perumahan yang mampu dimiliki dan bukannya hartanah mewah.

Walau bagaimanapun, perlu ada satu peruntukan untuk membolehkan pembeli menjual kepada pemilik lain selepas 10 tahun memperoleh harta itu atau menjual rumah tersebut kembali kepada kerajaan sebelum tempoh itu.

Chang berkat, strategi lain adalah dengan 'menghukum' spekulator, yang memainkan peranan penting dalam menaikkan harga hartanah. Justeru, beliau mencadangkan duti setem dan cukai keuntungan hartanah yang lebih tinggi serta kaedah-kaedah gadai janji yang lebih ketat bagi mereka yang membeli hartanah ketiga dan hartanah seterusnya.

Chang berkata HBA mencadangkan pembiayaan 100 peratus hanya untuk mereka yang membeli rumah kos rendah atau sederhana. Menurutnya, mereka yang membeli harta mewah atau harta yang ketiga dan seterusnya perlu mempunyai akses terhad kepada pembiayaan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim berkata kementerian itu telah menerima cadangan HBA dan akan melihat kaedah untuk menangani isu ini. - Mstar Online


KD: Tahniah HBA, kerana berjaya mengkaji sekaligus memberi cadangan/usul yang baik kepada kerajaan. Semoga apa yang diusulkan ini mendapat reaksi positif dari pihak kerajaan. Di pihak kerajaan pula sebagai badan pelaksana, harus bertindak proaktif terhadap usul yg diutarakan. paling tidak, dari separuh dari 10 cadangan akan dipersetujui.


KRISIS AIR SEMAKIN SERIUS DI SELANGOR

PETALING JAYA: Selepas jerebu, berjuta-juta isi rumah di Selangor mungkin menghadapi masalah kekurangan air yang lebih serius.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) telah mengesan tahap penyimpanan air terawat yang lebih rendah yang berlaku secara drastik di loji penyimpanan air di negeri ini akibat cuaca panas berterusan.

Loji simpanan air merupakan empangan utama di mana air yang telah dirawat disalurkan kepada pengguna.

Takungan air didapati rendah di Semenyih dan Langat dan peningkatan permintaan air pada musim kering masa kini boleh menyebabkan bekalan air dipotong di Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Sepang.

Syabas juga telah dimaklumkan bahawa pengeluaran air yang dirawat di kesemua 33 loji rawatan di negeri ini pada Sabtu lalu adalah yang tertinggi dengan kadar 4,4059 juta liter sehari, walaupun mengikut pelan sebanyak 4,371 juta liter sehari.

Antara kawasan yang dijangka akan menghadapi gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di Kuala Lumpur ialah Taman Maluri, Taman Angsana Hilir, Kampung Pandan, Taman Segar dan Taman Taynton View.

Di Hulu Langat, lokasi jangkaan termasuklah Sungai Besi Indah, Bukit Belimbing, Juara Jaya, Saujana Impian, Beranang, Bukit Semenyih, Sungai Tekali, Selesa Jaya, Taman Utama, Alamsari, Balakong, PKNS Beranang dan Kampung Baru Semenyih.

Masalah kekurangan juga dijangka berlaku di Jalan Klang Lama, Sri Petaling, Desa Petaling dan kebanyakan bahagian dalam Seksyen 52 di daerah Petaling bersama-sama dengan IOI Serdang di daerah Sepang.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syabas Abdul Halem Mat Som berkata sebanyak 42 lori tangki air sudah bersiap sedia untuk membekalkan air ke kawasan yang terjejas.

Abdul Halem berkata disebabkan cuaca kering dan panas dijangka berlarutan sehingga September, pengguna perlu menggunakan air secara bijak dan memastikan bahawa tiada pembaziran.

Mereka yang mempunyai pertanyaan atau aduan boleh menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan (PUSPEL) di 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222. -(MStar Online)


KD: Simpati kepada rakyat di Lembah Klang jika benar krisis kekurangan air akan melanda kawasan mereka. Air adalah keperluan asas kehidupan manusia. Justeru, jika berlaku sebarang gangguan dan kekurangan bekalan air, pastinya ia kan membantutkan segala aktiviti harian.
JEREBU MAKIN TERUK

Jerebu di Putrajaya
Harian Metro melaporkan, jerebu yang melanda negara terus berada dalam keadaan buruk apabila lapan kawasan berada pada tahap kualiti udara tidak sihat.

Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga 11 pagi semalam, lapan kawasan berkenaan mencatatkan indeks pencemaran (IPU) melebihi 101, berbanding tujuh kelmarin.

Kawasan terbabit ialah Putrajaya dengan IPU 101, Cheras (133), Batu Muda, Kuala Lumpur (128), Shah Alam (130), Petaling Jaya (131), Pelabuhan Klang (142), Kuala Selangor (101), dan Banting (120).

Menurut jurucakap JAS, keadaan cuaca kering tanpa hujan menyebabkan jerebu semakin teruk, sekali gus meningkatkan jumlah bacaan di beberapa kawasan, terutama di pantai barat Semenanjung yang terletak hampir dengan Indonesia.

Sebanyak 31 kawasan daripada 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS di seluruh negara pula mencatat bacaan IPU sederhana, termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 100, manakala 11 lagi kawasan mencatat bacaan IPU baik.

Bacaan IPU 0 hingga 50 diklasifikasi sebagai baik, 50-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Kemerosotan kualiti udara di negara ketika ini disebabkan kebakaran tanah gambut di Rokan Hilir, Sumatera Timur, Indonesia yang dibawa menerusi tiupan angin.

Jerebu di KL
Sementara itu, rekod Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) menerusi pemantauan daripada imej satelit NOAA-18 menunjukkan 81 titik panas dikesan di Indonesia, manakala 146 titik panas di Kepulauan Borneo (termasuk Sabah dan Sarawak).

Keadaan jerebu yang melanda negara di kesan sejak Selasa lalu apabila rekod JAS menunjukkan kebanyakan kawasan berada tahap sederhana iaitu antara 51 hingga 100 dan menyusut sejak Rabu lalu apabila beberapa kawasan dikesan berada pada tahap tidak sihat.

Sehubungan itu juga, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau dengan menghubungi Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Mereka yang tinggal di kawasan IPU tidak sihat dinasihat menggunakan alat penutup muka atau mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan menghadapi masalah kesihatan.


KD: Setiap tahun, bagaikan sudah menjadi kebiasaan negara kita pasti akan dilanda JEREBU yang sebenarnya amat merimaskan rakyat. Masalahnya, ia bukan bencana alam atau rutin kejadian alam, tetapi ia berlaku berpunca daripada aktiviti MEMBAKAR TANAH PERTANIAN oleh NEGARA JIRAn!! Sungguh menyusahkan. Tidakkan mereka sedar, aktiviti sebegitu hanya merosakkan udara. Tidakkan pihak kerajaan negara jiran itu memikirkan alternatif lain yang tidak mengganggu-gugat negara sekitarnya?? Ini bukan perkara enteng, berleluasanya aktiviti ini hanya akan menjejaskan kesihatan rakyat.