Tuesday, March 12, 2013

'1 MILLION WOMEN PURPLE’

1 Million Women Purple WalkKUALA LUMPUR - Program "1 Million Women Purple Walk" yang sebelum ini dirancang diadakan pada 10 Mac 2013,  akan diadakan Ahad ini bersamaan 17 Mac 2013.
  
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata program berjalan kaki anjuran bersama Kementerian Kewangan itu akan berlangsung serentak di seluruh negara bermula 8 pagi.
  
Program itu akan menghimpunkan sejuta wanita bagi menunjukkan solidariti kaum hawa dalam menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan wanita Malaysia, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
  
Noorul Ainul berkata, program itu akan turut dimeriahkan dengan penganjuran Karnival 1Million Women Purple Walk di Dataran Putrajaya selama dua hari bermula Sabtu ini.
  
"Acara pameran dan jualan ini memberi peluang kepada usahawan-usahawan khususnya para wanita, peniaga kecil, persatuan ibu tunggal dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mempamer dan menjual produk serta perkhidmatan mereka dengan harga yang rendah," katanya.
  
Beberapa agensi kerajaan juga akan turut serta bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan khidmat nasihat dan peluang khususnya berkaitan pembangunan perniagaan, katanya. - Bernama/Sinar Harian

MAPPA XIII: PENGUMUMAN PM TIADA KAITAN POLITIK

PUTRAJAYA - Pelbagai berita baik yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kakitangan kerajaan sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, tanggapan bahawa MAPPA mempunyai kaitan dengan 'buah tangan' PRU-13 hanya dicetuskan oleh mereka yang gemar melihat sesuatu daripada aspek negatif.

"MAPPA adalah satu amalan tahunan yang diadakan dalam perkhidmatan awam dan memang termasuk dalam jadual kita.

"Dalam MAPPA ini, kita umum segala pelarasan dan penambahbaikan dari segi perkhidmatan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis tahunan itu di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tanggapan negatif bahawa pengumuman yang disampaikan Perdana Menteri itu merupakan 'buah tangan' untuk PRU-13 nanti.

Sementara itu, Ali berkata, pihaknya juga sedang mengkaji semua 87 elaun yang akan diberi keutamaan untuk penambahbaikan termasuk skim elaun sara hidup (COLA) kepada penjawat awam.

"Pada hujung November atau Disember nanti akan dapat kita umumkan mengenai perkara-perkara ini," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan agar mengadakan skim perumahan khas kepada penjawat awam.

"Antaranya dengan menggabungkan skim perumahan itu dengan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan menambah kuarters kerajaan di tempat yang diperlukan," tambahnya.

Jelas beliau, pada masa kini, ramai penjawat awam terutama pegawai muda yang berhasrat mempunyai rumah di bandar-bandar besar namun tidak kesampaian disebabkan harga yang kian meningkat.

Terdahulu, Ali dalam ucapannya berkata, penjawat awam kini tidak boleh lagi beranggapan mereka berada dalam zon selesa kerana keadaan itu tidak akan membawa kepada prestasi cemerlang.

Sehubungan itu, katanya, penjawat awam perlu mempamerkan sikap tegas, berani, adil dan sanggup mengambil risiko untuk meneraju sesuatu jabatan ke tahap prestasi lebih tinggi. - UtusanOnline
MAPPA XIII: PENAMBAHBAIKAN SKIM PERKHIDMATAN AWAM

87 elaun dikaji semula

Nasib kakitangan awam akan lebih terbela berikutan keputusan kerajaan mengkaji semula 87 elaun termasuk elaun bantuan sara hidup (COLA) serentak dengan penambahbaikan 22 skim perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata penambahbaikan itu dijangka siap sebelum hujung tahun ini dan diumumkan sama ada pada akhir November atau awal Disember ini.

Syor skim perumahan khas

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuat cadangan kepada kerajaan mewujudkan skim perumahan khas kakitangan awam, terutama generasi muda.

Ramai penjawat awam yang mahu memiliki rumah di bandar besar tapi tidak kesampaian kerana kenaikan mendadak harga rumah. Kita akan lihat sama ada skim yang disyorkan ini boleh digabungkan dengan skim perumahan PR1MA. Kita juga akan tambah unit kuarters di tempat yang diperlukan, katanya.

Ali turut menolak tanggapan negatif bahawa insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah buah tangan pilihan raya kerana pelarasan gaji dan jawatan serta penambahbaikan perkhidmatan awam diumumkan setiap tahun.

Pelarasan gred ATM, PDRM

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, percaya keserataan pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perkhidmatan awam am akan menarik minat lebih ramai menyertai pasukan keselamatan.

Keserataan gred jawatan dan gaji ini adalah satu lonjakan drastik untuk ATM serta PDRM dan kita amat menghormati peranan mereka.

Saya percaya, inisiatif untuk kakitangan awam am lain juga berupaya menggerakkan mereka supaya lebih produktif, katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana 22 isu berhubung kakitangan awam berjaya diselesaikan sejak lima tahun lalu.- BHarian