Friday, March 1, 2013

PRU13: MANIFESTO PAKATAN HANYA CERITA FANTASI

RASAH 27 Feb. - Janji indah pakatan pembangkang menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dibentangkan kelmarin disifatkan tidak ubah seperti kisah fantasi kanak-kanak popular, Alice in Wonderland.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, manifesto itu mengandungi janji yang tidak akan tertunai dengan rakyat cuba diperdaya sama seperti cerita fantasi tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berkata, manifesto itu merupakan pembohongan tahap tertinggi untuk kelangsungan politik pembangkang semata-mata dan bukan dirangka demi kebajikan rakyat.

"Ini adalah manifesto yang paling teruk pernah direka pembangkang kerana hanya bertujuan memperdaya rakyat dengan harapan palsu.

"Apabila saya baca dan amati manifesto mereka, saya geleng kepala kerana melihat gimik politik yang paling melampau dilakukan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan YKN kepada keluarga Wong Kok Leong di Taman Bunga Blossom, dekat sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas daripada ahli-ahli Wanita UMNO yang melawat dari rumah ke rumah, rakyat dilihat tidak mudah tertipu dengan manifesto tersebut.

Kata beliau, manifesto itu juga memandang remeh kebajikan rakyat kerana langsung tidak menyatakan pendekatan membantu rakyat miskin dan golongan tidak bernasib baik.

"Pembangkang juga menganggap soal kebajikan rakyat tidak mustahak walaupun sebelum ini mendakwa hanya mereka sahajalah yang memperjuangkan nasib rakyat," katanya.- Utusan Online
PRU13: PILIHAN RAYA MEDIA SOSIAL - PM

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi akan menjadi pilihan raya media sosial pertama di negara ini apabila internet digunakan sebagai salah satu cara untuk berkempen.

Perdana Menteri berkata, walaupun media sosial bukan faktor terbesar bagi menentukan keputusan pilihan raya, namun beliau percaya penggunaannya pada musim pilihan raya itu akan meningkat secara mendadak terutama perdebatan mengenai isu politik.

"Selama ini pun kita telah melihat bagaimana media sosial menjadi pemangkin untuk ahli-ahli politik berkomunikasi dengan masyarakat dan ini merupakan perkara yang baik.

"Oleh itu sudah pasti ketika musim pilihan raya akan berlaku perdebatan politik sekali gus mengundang lebih ramai pengikut media sosial untuk membincangkannya,'' katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Minggu Media Sosial Malaysia 2013 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pengasas serta Presiden Dewan Media Sosial Malaysia, Shahul Hameed Shaik Dawood.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut menerima Anugerah Kepimpinan Media Sosial daripada Dewan Media Sosial Malaysia.

Perdana Menteri merupakan pengguna media sosial yang amat aktif dan tujuan utamanya adalah untuk mendekatkan dirinya dengan rakyat.

Untuk rekod, sehingga kini jumlah pengikut Facebook Perdana Menteri adalah 1.4 juta manakala pengikut akaun Twitter miliknya mencecah 1.2 juta.

Dalam ucapannya itu, beliau mahu pengamal-pengamal media sosial di negara ini sentiasa menjaga etika dan tanggungjawab kerana media tersebut juga mempunyai kesannya kepada masyarakat.

"Kita harus matang dan mempunyai sikap bertanggungjawab dalam kita menjadi pengamal-pengamal media sosial,'' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bagaimana pengalamannya menggunakan media sosial bagi mendapatkan cadangan serta idea daripada rakyat pelbagai lapisan untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2013.

"Hasilnya, saya menerima beribu-ribu cadangan serta idea daripada mereka dan ada di antaranya kita telah masukkan ke dalam draf Bajet terakhir.

"Selepas pembentangan saya juga menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan rakyat melalui talian video. Tujuannya untuk saya memberi penjelasan kepada mereka mengenai bajet berkenaan,'' ujarnya.- Utusan Online
MANIFESTO PRU13: HAMPIR SEMUA JANJI MANIFESTO PRU-12 PEMBANGKANG TAK DITUNAI DI SELANGOR

SHAH ALAM 28 Feb. - Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mengikut kajian yang dilakukan, hampir keseluruhan manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) hanyalah janji kosong yang dijadikan umpan untuk memancing undi.

Beliau berkata, pakatan pembangkang secara terang-terangan telah menipu rakyat demi meraih sokongan untuk memerintah di Selangor.

"Banyak janji-janji PRU-12 tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang dan ia membuktikan mereka tidak mampu untuk menjadi pentadbir yang baik.

"Manifesto yang dilancarkan oleh pakatan pembangkang baru-baru ini juga nampaknya memakan diri mereka sendiri, mereka hanya memainkan cerita lapuk yang sama dengan sesi ceramah mereka," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zin, yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, pakatan pembangkang tidak boleh menjadikan negeri ini sebagai contoh kejayaan mereka untuk mentadbir negara kerana sudah terbukti pentadbiran mereka di Selangor gagal.

Ujar beliau, trend pelaburan kerajaan negeri mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011 secara keseluruhannya menunjukkan dividen yang diterima dari 2007 hingga 2011 adalah berjumlah RM5.91 juta daripada kos pelaburan.

"Kadar pulangan dividen berkenaan adalah sangat rendah dan sangat tidak memuaskan, namun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menggunakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai helah mahu menutup kelemahan pengurusan pelaburan di peringkat kerajaan negeri," katanya.

Selain itu kata beliau, terdapat perkara yang dimuatkan dalam manifesto tersebut yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan, sebagai contoh janji untuk melaksanakan pendidikan percuma.

Jelas beliau lagi, BN juga pernah mendesak agar janji itu ditunaikan terlebih dahulu di institut pengajian tinggi yang terdapat di negeri tadbiran pakatan pembangkang.

"Namun sebaliknya yang berlaku, di Selangor sendiri masalah IPT seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) masih belum diselesaikan.

"Malahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mengkritik tatacara pengurusan Unisel yang dilihat tidak profesional dan membawa kepada kerugian," katanya.

Sementara itu katanya, pakatan pembangkang juga berjanji dalam manifesto baharu mereka untuk memelihara 141,000 hektar tanah Orang Asli, namun sebaliknya berlaku di Selangor apabila kira-kira tujuh hektar tanah golongan berkenaan di Kuala Langat dipindah milik kepada orang lain.

Menurut Mohd. Zin, satu lagi janji dalam manifesto pakatan pembangkang ialah kononnya ingin menghapuskan monopoli dengan mewujudkan suruhanjaya antimonopoli.

"Saya fikir, tindakan ini sepatutnya dilaksanakan di Selangor terlebih dahulu apabila industri perlombongan pasir yang berharga berbilion ringgit hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat sahaja iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd," katanya. - Utusan Online
PRU13: BERI KEPERCAYAAN KEPADA BN - TUN M

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Rakyat sewajarnya terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membawa Malaysia ke arah status negara maju menjelang 2020.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, peluang untuk menjayakan Wawasan 2020 adalah lebih besar sekiranya kerajaan yang memerintah negara hari ini dikekalkan.

Pada pandangan saya, adalah lebih selamat jika parti yang sama meneruskan usaha menjayakan Wawasan 2020. Saya bukan berkempen, hanya menyatakan fakta," katanya ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program Memperingati Wawasan 2020: Sepetang Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Beliau ditanya tentang kemungkinan Wawasan 2020 akan diteruskan sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir memberitahu, kemajuan pesat dikecapi kini membuktikan Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai Wawasan 2020.

Jelas beliau, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sejak Wawasan 2020 diperkenalkan 13 tahun lalu. – Utusan Online
'JANJI MANIFESTO PAKATAN TIDAK MUNASABAH' - TUNKU AZIZ

PETALING JAYA –  Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengkritik  manifesto Pakatan Rakyat (PR) sebagai tidak munasabah dan tidak mampu menunaikan kesemua janji-janji yang dibentangkan itu.

Ini berikutan manifesto itu dakwanya, menekankan janji-janji yang mustahil untuk dikotakan.

Beliau turut mempertikaikan kredibiliti pihak yang menghasilkan manifesto itu kerana mereka tidak berpengalaman dalam sistem pentadbiran negara.

“Manifesto ini telah dihasilkan pihak yang tidak pernah uruskan apa-apa dan sekalipun m ada pengalaman, mereka seharusnya sedar banyak janji-janji mereka sebelum ini, insentif yang dijanjikan, banyak yang terbengkalai dan tidak dilaksanakan.

“Mereka bercakap tentang meningkatkan pendapatan,  mereka hanya ikut apa kerajaan kata. Jika kerajaan kata (meningkatkan pendapatan) kepada RM3,000 mereka janji RM4,000,” katanya yang menyifatkan pembangkang bermain permainan bodoh.

Tunku Aziz berkata, berbeza dengan janji yang dikemukakan kerajaan persekutuan di mana ia dibentuk pasukan benar-benar pakar dalam ekonomi negara.

“Angka kerajaan disediakan pasukan pakar perbendaharaan, unit ekonomi dan Bank Negara,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Tropicana Golf & Country Resort, semalam.

Dengan merujuk Prestasi PR didakwanya tidak memberangsangkan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, Tunku Aziz berkata, tawaran itu tidak lebih sekadar janji manis. –SinarHarian
HADI, KIT SIANG SEBAGAI TPM – ANWAR

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mungkin akan dinamakan sebagai timbalan perdana menteri jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap dalam satu temuramah dengan akhbar Sin Chew Daily, Anwar menambah, perlembagaan negara tidak menghalang perlantikan dua orang timbalan perdana menteri.

Namun begitu, Anwar menjelaskan bahawa PR buat masa ini belum secara terperinci membincangkan tentang penyandang kerusi itu melainkan memberi tumpuan kepada pilihan raya terlebih dahulu.

Dalam temuramah itu, Anwar juga memberi jaminan yang PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno hanya semata-mata untuk melaksanakan hukum hudud.

Ketua pembangkang itu turut memberi jaminan yang PR tidak akan melaksanakan hukum hudud jika mereka ditakdirkan berkuasa kerana sebarang perubahan polisi mestilah dibuat mengikut peruntukkan di bawah perlembagaan negara dan dipersetujui oleh semua rakan pakatan.

Anwar menyatakan keyakinan yang mendalam PR akan berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kali ini dengan majoriti yang kecil.

Beliau menyatakan keyakinannya itu berdasarkan perkembangan pengaruh PR di negeri-negeri seperti Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. -mStar