Friday, January 18, 2013

ORANG MELAYU BELUM SELAMAT - MAHATHIR

 Orang Melayu belum selamat, kata Mahathir

SHAH ALAM – Orang Melayu masih belum selamat bukan hanya kerana perlu berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) yang biasa, sebaliknya satu pemilihan yang bakal menentukan percaturan survival di masa depan.

Dalam mencapai matlamat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu sebenarnya boleh membuat keputusan sama ada yang akan mendatangkan kebaikan ataupun keburukan terhadap masa depan bangsa mereka sendiri.

Beliau berkata, terdapat dua senario masyarakat Melayu hari ini iaitu mereka yang sedar dan tidak sedar tentang nasib bangsa Melayu.

“Bagi yang sedar mereka akan kekalkan kedudukan ini, bagi yang tidak sedar mereka akan kata keadaan sekarang adalah biasa dan kita tidak perlu identiti diri kita sebagai Melayu lagi dan kita juga akan berjaya.

“Saya berpendapat walaupun sudah ada orang Melayu yang berjaya, tetapi umumnya masih ramai tidak berjaya dan tidak mungkin berjaya jika tidak beri tongkat (bantuan),” katanya pada program Bicara Minda di Kompleks Media Karangkraf, semalam.

Antara yang hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif Tekun, Datuk Abdul Rahim Hassan dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam yang juga bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.

Pada program itu, Dr Mahathir turut melancarkan buku  Berani Tanpa Segan tulisan Tan Sri Abdullah Ahmad, kompilasi artikel yang disiarkan setiap hari Ahad di Sinar Harian.

Menurut Dr Mahathir, berdasarkan kejayaan orang Melayu hari ini, beliau berpendapat sekiranya bantuan awal tidak diberi belum pasti kejayaan tersebut dapat diraih.
Katanya, terdapat generasi muda yang beranggapan apa salahnya jika kemelayuan itu dilupakan dan diganti dengan konsep Malaysia.

"Apabila datang pendapat seperti itu dan tiada penjelasan diberi maka, wujud idea yang kata kita tidak perlu utamakan bangsa Melayu kita itu.

"Jadi, kita akan ketepikan keperluan kita, dan fikir kehidupan kita terus maju kerana kita orang Malaysia yang hidup dalam negara cukup maju,” katanya.
Katanya, zaman sekarang, masyarakat Melayu beranggapan mereka sudah selamat.

"Hakikatnya, Melayu masih belum selamat. Kalau boleh, sedarkan mereka, jangan terlalu mengutamakan kepentingan diri dan fahaman kolot.

"Pas hanya memperalatkan masyarakat Melayu dengan agama Islam untuk kepentingan parti untuk menang dalam pilihan raya," katanya.

Dalam pertemuan yang sama, Dr Mahathir turut menjelaskan masyarakat Melayu di negara ini masih tidak bersatu, berbeza dengan zaman pemerintahan British.

"Dulu masyarakat Melayu setia kepada raja dan negeri dan mereka tidak anggap sebagai bangsa Melayu. Tapi, apabila tertekan, mereka mula bersatu.

"Cuma, masalahnya, ketika itu mereka miskin, tiada senjata dan tidak ada pemimpin. Penyatuan itu berjaya mengalahkan British," katanya.

Menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan masa depan politik orang Melayu, Dr Mahathir berkata, masa depan orang Melayu adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan kebolehan bangsa itu membuat pertimbangan, terutamanya sejauh mana kecekapan mereka untuk meneka apa yang akan serta sudah berlaku. – Sinar Harian
ISU KALIMAH ALLAH PERLU DIBANTAH DENGAN HUJAH - TUN MAHATHIR

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya dalam menyelesaikan isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible bahasa Melayu, bantahan tersebut perlu dibuat menerusi hujah yang mempunyai fakta tepat dan bukannya bantahan kosong.

Beliau berkata, ramai yang tidak bersetuju dengan perkataan ALLAH dalam Bible bahasa Melayu, tetapi ramai tidak tahu asal usul penggunaan perkataan ALLAH dalam Bible.

“Kita malas membaca buku dan membekal diri dengan ilmu pengetahuan. Dengan itu tiada pengetahuan. Kita hanya ada emosi dan kita marah. Itu  tidak kena, seharusnya alasan perlu diberikan dan selepas itu barulah  dipertikai.

“Jika ada  yang kata perkataan ALLAH itu boleh digunakan dalam sebarang agama, itu adalah tidak tepat. Yang tepat perkataan ALLAH itu bermula dengan agama Islam,” katanya dalam Bicara Minda di bawah tajuk Masa Depan Melayu dan Islam selepas PRU13', di Kompleks Media Karangkraf, semalam.

Katanya lagi, penggunaan kalimah ini perlu dibantah kerana dalam konteks negara Malaysia, dikhuatiri unsur penipuan akan berlaku.

"Sekiranya ada pihak lain mahu menggunakan kalimah tersebut, apa tujuannya selain jika bukan untuk menipu pemikiran supaya orang lain menganggap perkataan ALLAH sama dengan agama lain.

“Unsur penipuan itu memang ada, sebab itu kita tidak boleh terima penggunaan perkataan ALLAH, tetapi apa yang kita tahu, kita tidak bersetuju sahaja. Kita perlu jelaskan mengapa (perkataan ALLAH) bukan mereka punya dan kita (orang Islam) punya,” katanya.

Menjelaskan asal usulnya, Tun Mahathir berkata, pada awalnya Bible bukan ditulis dalam bahasa Inggeris, sebaliknya bahasa Greek dan Latin.

Katanya, selepas kedatangan Islam, hanya orang Islam menggunakan ALLAH, namun apabila penganut agama lain, ingin memperkembangkan agama mereka dalam kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, maka perkataan God diterjemah kepada ALLAH supaya mudah difahami.

"Di Mesir, Bible milik mereka menggunakan bahasa Arab, tetapi tidak menyebut nama tuhan mereka sebagai ALLAH. Begitu juga orang Kristian, menganggap Jesus sebagai tuhan, manakala orang Yahudi pula menggunakan Yahweh.

"Untuk mengembangkan agama mereka, tuhan ditukar sebagai ALLAH. Selepas itu diterjemah Bible untuk bangsa-bangsa lain. Oleh sebab itu di Indonesia, memang perkataan ALLAH digunakan dan  juga di Malaysia, ketika zaman sebelum merdeka di Sabah dan Sarawak, mereka menggunakan  Bible yang sama menggunakan perkataan ALLAH ,” katanya. – Sinar Harian
HORMATI GENCATAN KALIMAH ALLAH

KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang kenyataan atau pandangan berhubung  polemik kalimah Allah yang telah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu.

Presidennya, Amidi Abdul Manan, berkata selaras dengan gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menggesa agar semua pihakmenghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan proses perundangan berkaitan masih di peringkat Mahkamah Rayuan selain menyambut baik pendirian Pas melalui kenyataan Setiausaha Agung parti itu Datuk Mustapha Ali yang menegaskan isu kalimah Allah tidak perlu dibangkitkan lagi.

Berdasarkan kepada perkembangan isu terbabit, Abim menilai ia terlalu dipengaruhi oleh kepentingan saingan politik bersifat kepartian serta boleh menjejaskan keseimbangan dalam tatacara keharmonian antara kaum di negara.

“Sekiranya isu  ini berlarutan, Abim khuatir ia akan mencemari sebarang pertimbangan ilmiah, akademik serta dakwah yang seharusnya menjadi asas rujukan dalam membicarakan isu ini,” katanya.

Tambahnya, janganlah kerana ingin mengejar populariti politik, kesucian serta nama baik Islam  dijadikan  modal meraih populariti siasah semata-mata

Berpegang pada hakikat ini, Abim menggesa gencatan isu ‘kalimah ALLAH’ perlu dipatuhi dan dan dihormati menggesa agar sebarang kenyataan tidak dikeluarkan lagi buat masa ini. – Sinar Harian