Monday, September 10, 2012

LELAKI SABAH, SARAWAK DILARANG KERJA DI SINGAPURA?

JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan bekerja di Singapura kecuali bagi lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak apabila had umur kelayakan sedia ada dinaikkan kepada 35 tahun.

Peraturan baru itu diperkenalkan sebagai 'hukuman pentadbiran' selepas beberapa siri jenayah dan pergaduhan yang melibatkan masyarakat dari Sabah dan Sarawak di republik itu.

Difahamkan beberapa pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan masyarakat Sabah dan Sarawak di Ang Mo Kio Avenue, Kallang dan juga di Geylang pada tahun-tahun kebelakangan ini menyumbang kepada perlaksanaan peraturan ketat itu.

Pekerja baru berumur bawah 35 tahun dihalang memasuki negara berkenaan manakala kumpulan pekerja dalam lingkungan umar tersebut berhadapan masalah tidak boleh memperbaharui permit kerja selepas tamat tempoh.

Presiden Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia (GAIU), Sai Malaka berkata, walaupun peraturan itu tidak dibuat secara rasmi oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura, semua permohonan permit kerja oleh lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak di bawah umur 35 tahun telah ditolak secara automatik.

"Saya merasakan bahawa langkah ini adalah sangat melampau dan diskriminasi terhadap orang Sabah dan Sarawak," katanya.

Tambah Sai, masyarakat Sarawak dan Sabah merupakan pekerja mahir terutamanya dalam sektor minyak dan gas, fabrikasi dan penyelenggaraan kilang.

Katanya lagi sejak peraturan itu berkuatkuasa, ramai rakyat Sarawak dan Sabah yang tidak dibenarkan bekerja di Singapura memilih untuk bekerja di kilang-kilang di Johor, terutamanya di sekitar Pasir Gudang.

"Nasib baik kerajaan membangunkan hab minyak dan gas di Pengerang dekat sini. Projek itu kini menyediakan kerja yang amat diperlukan bagi pekerja-pekerja yang menganggur," katanya kepada The Star pada Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Teknologi Negeri, M.Asojan berkata beliau menyedari isu berkenaan yang menggesa agar rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak dapat bekerja di Singapura agar mencari pekerjaan dalam pelbagai industri di Johor. -MStar
KOMPONEN BN SEPAKAT SINGKIR AHLI SABOTAJ

PETALING JAYA: Parti komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap saranan agar menyingkir mana-mana pemimpin atau anggota yang melakukan sabotaj dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kepimpinan BN dengan tegas menyatakan bahawa tiada ruang untuk mana-mana ahli yang tidak setia.

Kenyataan itu sebagai respon kepada gesaan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu bahawa Umno akan menyingkirkan ahli mereka yang melakukan sabotaj kepada parti walaupun BN memenangi kerusi di kawasan berkenaan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perbuatan sabotaj merupakan kesalahan serius dan menegaskan agar semua parti komponen supaya tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menentang BN.

Katanya PRU 2008 merupakan pengalaman pahit bagi BN apabila perbuatan sabotaj menjadi punca kepada kegagalan BN untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

"Umno tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan tidak setia malah begitu juga parti-parti komponen yang lain. Kita tidak mahu ada orang yang melakukan sabotaj di kalangan kita," kata Tengku Adnan.

Sementara itu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata komponen BN tidak perlu bertolak ansur dengan ahli yang mengkhianati mereka.

"Kita perlu menghantar mesej yang kuat kepada ahli-ahli bahawa kesalahan itu adalah serius," tambah beliau.

Bagi Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha, beliau berkata jawatankuasa pusat telah mengumumkan enam bulan lalu bahawa parti itu akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang melakukan sabotaj kepada calon BN.

Manakala Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata parti itu telah memecat ahli yang melakukan sabotaj kepada calon BN dalam pilihan raya umum sebelum 2008 dan menegas tidak akan teragak-agak untuk melakukan perkara yang sama sekali lagi.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata parti itu pada masa lalu pernah menggantung atau memecat ahli yang didapati bersalah atas kesalahan mensabotaj.

"Kami memandang serius kesalahan itu. Anda mesti setia kepada parti anda. Kekecewaan atau kecewa bukanlah sebab untuk sabotaj," katanya.

Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok berkata parti itu tidak akan bertolak ansur dengan ahli yang melakukan sabotaj walaupun parti itu tidak pernah mengalami masalah berkenaan sebelum ini.

Dalam pada itu Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata perbuatan sabotaj jarang berlaku dalam parti namun memberi jaminan akan bertindak tegas mengenainya sekiranya terjadi.

Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas berkata jawatankuasa disiplin parti itu akan bertindak dengan segera jika terdapat sebarang kejadian sabotaj pada PRU akan datang. -MStar

CUEPACS HARAP KERAJAAN BERI BONUS TERBAIK KEPADA PENJAWAT AWAM

KOTA BAHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan memberi bonus yang terbaik kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata sebelum ini Cuepacs memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dan pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.

"Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat dua bulan bonus. Bonus terbaik yang pernah diberi kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam ialan bonus sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini Ahad.

Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh bonus terbaik memandangkan transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi kerajaan yang melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama baru kepada jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian, pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.

"Pembantu tidak sesuai lagi kerana jawatan itu melambangkan imej perkhidmatan awam, kita tidak mahu dengan transformasi yang dilaksanakan, mereka ini hanya bertugas sebagai membantu sahaja," katanya.

Beliau berkata pihaknya sudah mempunyai beberapa nama baru bagi menggantikan jawatan pembantu tersebut, antaranya pegawai teknologi tani bagi menggantikan pembantu pertanian.

Mengenai penjawat awam yang bermasalah termasuk dari segi disiplin, yang dianggarkan sekitar 15,000 hingga 18,000 orang, Omar berkata mereka perlu diberi motivasi terlebih dahulu sebelum tindakan lain dikenakan seperti tindakan tatatertib. - BERNAMA/MStar