Showing posts with label sabotaj. Show all posts
Showing posts with label sabotaj. Show all posts

Thursday, February 7, 2013

SABOTAJ KERAJAAN: NGO SYOR TINGKAT PENGUATKUASAAN @ WUJUD UNDANG-UNDANG KHAS

KUALA LUMPUR— Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini mengesyorkan kerajaan meningkatkan penguatkuasaan atau mewujudkan undang-undang khas bagi memastikan individu atau NGO yang mensabotaj kerajaan dikenakan tindakan sewajarnya.

Mereka berkata penguatkuasaan undang-undang secara tegas atau penggubalan undang-undang khas perlu memandangkan senario kini menyaksikan banyak tindakan mensabotaj kerajaan oleh pertubuhan politik atau NGO propembangkang yang bermotifkan politik dan kepentingan sendiri.

Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib (gambar), berkata antara tindakan mensabotaj kerajaan ialah mendedahkan dokumen sulit kerajaan dan syarikat kerajaan sebelum ini seperti isu Syarikat Fidlot Kebangsaan (NFC), projek LRT Ampang dan isu Lynas.

“Terbaru, tindakan Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack mengancam membakar loji nadir bumi Lynas Corp di Gebeng, Pahang, sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak menutup loji itu apabila terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang merupakan satu ugutan serius yang boleh mengancam keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Kalau dahulu Himpunan Hijau merupakan sebuah NGO yang asas kewujudannya hanya bermula daripada aduan mengenai projek Lynas melalui laman web kini bertukar agresif dengan menggertak dan mengancam negara.” Dzulkarnain berkata tindakan itu jelas mensabotaj kerajaan, sektor kewangan dan ekonomi negara, justeru kerajaan perlu mewujudkan undang-undang khas bagi menangani tindakan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Maa’mor Osman memberitahu Bernama tindakan mensabotaj kerajaan telah mencemarkan imej serta maruah negara dan langkah segera perlu dilaksana bagi menangani senario itu.

“Tindakan kebanyakan individu, pemimpin politik atau pertubuhan NGO kini yang banyak cuba mensabotaj kerajaan terutama dengan mendedahkan maklumat sulit sesuatu agensi di bawah kerajaan dilihat tiada asasnya,” katanya.

“Jika ada sebarang isu seharusnya disuarakan berasaskan akta sedia ada dan bukannya hanya memikirkan kepentingan sendiri sehingga melanggar undang-undang dan memberi ancaman kepada rakyat dan negara.”

Menurutnya ugutan Wong Tack untuk membakar loji Lynas misalnya, merupakan satu perkara yang bahaya kerana boleh membawa impak lebih buruk selain menimbulkan kegusaran dan ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata negara mempunyai undang-undang yang kukuh bagi menghalang penyebaran maklumat tidak benar terutama berkaitan kerajaan, namun penguatkuasaan perlu ditingkatkan.

“Undang-undang sedia ada cukup,” katanya. “Soalnya sekarang tindakan tegas perlu diambil, tak boleh dilengah-lengahkan, untuk mengawal lebih banyak maklumat sulit terutama berkaitan kerajaan didedahkan pihak tidak bertanggungjawab.”

Abdul Aziz berkata NGO atau mana-mana individu di negara ini juga perlu “belajar” menyuarakan ketidakpuasan hati secara lebih “sihat” dan seimbang bukan dengan cara negatif membocorkan maklumat sulit kerajaan yang nyata rahsia kepada umum. — Bernama/Malaysian Insider

Monday, September 10, 2012

KOMPONEN BN SEPAKAT SINGKIR AHLI SABOTAJ

PETALING JAYA: Parti komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap saranan agar menyingkir mana-mana pemimpin atau anggota yang melakukan sabotaj dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kepimpinan BN dengan tegas menyatakan bahawa tiada ruang untuk mana-mana ahli yang tidak setia.

Kenyataan itu sebagai respon kepada gesaan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu bahawa Umno akan menyingkirkan ahli mereka yang melakukan sabotaj kepada parti walaupun BN memenangi kerusi di kawasan berkenaan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perbuatan sabotaj merupakan kesalahan serius dan menegaskan agar semua parti komponen supaya tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menentang BN.

Katanya PRU 2008 merupakan pengalaman pahit bagi BN apabila perbuatan sabotaj menjadi punca kepada kegagalan BN untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

"Umno tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan tidak setia malah begitu juga parti-parti komponen yang lain. Kita tidak mahu ada orang yang melakukan sabotaj di kalangan kita," kata Tengku Adnan.

Sementara itu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata komponen BN tidak perlu bertolak ansur dengan ahli yang mengkhianati mereka.

"Kita perlu menghantar mesej yang kuat kepada ahli-ahli bahawa kesalahan itu adalah serius," tambah beliau.

Bagi Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha, beliau berkata jawatankuasa pusat telah mengumumkan enam bulan lalu bahawa parti itu akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang melakukan sabotaj kepada calon BN.

Manakala Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata parti itu telah memecat ahli yang melakukan sabotaj kepada calon BN dalam pilihan raya umum sebelum 2008 dan menegas tidak akan teragak-agak untuk melakukan perkara yang sama sekali lagi.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata parti itu pada masa lalu pernah menggantung atau memecat ahli yang didapati bersalah atas kesalahan mensabotaj.

"Kami memandang serius kesalahan itu. Anda mesti setia kepada parti anda. Kekecewaan atau kecewa bukanlah sebab untuk sabotaj," katanya.

Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok berkata parti itu tidak akan bertolak ansur dengan ahli yang melakukan sabotaj walaupun parti itu tidak pernah mengalami masalah berkenaan sebelum ini.

Dalam pada itu Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata perbuatan sabotaj jarang berlaku dalam parti namun memberi jaminan akan bertindak tegas mengenainya sekiranya terjadi.

Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas berkata jawatankuasa disiplin parti itu akan bertindak dengan segera jika terdapat sebarang kejadian sabotaj pada PRU akan datang. -MStar

Sunday, September 9, 2012

SINGKIR ANGGOTA SABOTAJ PARTI

MUAR: Mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan disingkir daripada parti.

Amaran keras itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon. "Dalam pilihan raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf..."

"Presiden pun telah bersetuju. Kami tidak memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau kalah calon, kalahlah kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bakri di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata dalam keadaan politik yang disifatkan sebagai genting pada masa kini, Umno amat menuntut kepada kesetiaan dan ketaatan anggotanya kepada parti. "Dalam sejarah pilihan raya di Kelantan sendiri kita pernah hilang satu kerusi sebab dua undi dan kerana itu juga kita tidak cukup satu kerusi untuk tubuh kerajaan di negeri Kelantan, jadi... jangan sabotaj.

"Letakkan kesetiaan dan ketaatan kepada parti bukan pemimpin. Kalau kita nak letak calon, kita nilai penerimaan masyarakat dan teliti satu persatu kerana kita tidak boleh main-main lagi," katanya.

Sementara itu dalam sidang media yang diadakan selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di sini, beliau berkata pemecatan akan dilakukan selepas siasatan dilakukan.

"Pemecatan dibuat berdasarkan laporan. Kita tidak bertindak sewenang-wenang. Selepas disiasat dan sekiranya benar maka tak ada pilihan dia kena terima hukuman," katanya. Katanya terbukti berdasarkan pengalaman lalu kekalahan Barisan Nasional (BN)di sesetengah negeri bukan kerana rakyat tidak menyokong calon tetapi kerana masalah dalaman bahagian apabila ada pihak yang tidak mahu membantu malah mensabotaj calon dan parti.

"Pengalaman lepas itu amat berguna kepada kita bagi mengelak perkara tersebut berulang," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara sedemikian tidak lagi berlaku dalam PRU akan datang.

Ini kerana, katanya kerana semua anggota BN tahu tentang pentingnya pilihan raya umum akan datang kepada parti.

Muhyiddin turut meminta semua pihak akur dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon. Ini kerana, katanya pemilihan calon itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti, perundingan dengan pemimpin di semua peringkat dan menjalani tapisan yang begitu rapi bagi menentukan calon yang dipilih adalah calon terbaik.

"Sebab itu kita harap mereka bukan hanya akan menerima sahaja keputusan itu tetapi turut bekerja membantu calon dan kawasan kita untuk mencapai kemenangan cemerlang. Bagi saya itu adalah satu perkara yang amat penting sekali," katanya.

Beliau berkata pemantauan akan dibuat di semua kawasan lebih-lebih lagi yang dahulunya terlepas ke tangan pembangkang dan boleh dimenangi semula, kawasan yang mempunyai masalah dalaman, kubu kuat dan kawasan yang mempunyai persaingan sengit daripada pembangkang.

Semua parti komponen BN telahpun menghantar senarai nama calon mereka dan kini masih dalam peringkat penilaian, katanya.

Kata Muhyiddin terdapat ramai tokoh yang berkelayakan untuk menjadi calon namun BN tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut dan perlu membuat proses pemilihan yang ketat bagi memastikan kemenangan parti.-BERNAMA/MStar