Wednesday, July 11, 2012

GUAN ENG, BETTY, PHAIK KHENG DICADANG JALANI UJIAN PENGESAN PEMBOHONGAN

Seorang pemimpin MIC mencadangkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew Gek Cheng dan bekas pekerja Lim, Phaik Kheng menjalani ujian pengesan pembohongan bagi menamatkan kontroversi yang menyelubungi mereka.

Timbalan Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan MIC Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata ujian berkenaan adalah cara terbaik buat ketiga-tiga individu berkenaan untuk membersihkan nama mereka daripada kontroversi itu.

“Mereka bertiga patut jalani ujian pengesan penipuan (pembohongan) untuk membuktikan perkara sebenar kepada masyarakat bahawa tidak berlaku sebarang skandal (antara Lim dan Phaik Kheng),” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Isu melibatkan Lim, Betty Chew dan Phaik Kheng mula tercetus minggu lepas pada sidang Dewan Undangan Negeri Melaka, apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Gan Tian Loo bertanya kepada Betty Chew yang juga Adun Kota Laksamana jika beliau mengenali Phaik Kheng.

Pada satu sidang akhbar Sabtu lepas pula, Betty Chew menafikan suaminya mempunyai hubungan sulit dengan Phaik Kheng yang pernah bertugas di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.


KD: Mungkin ini antara cara terbaik bagi mereka menyelesaikan kontroversi yang ada. Selain dapat membuktikan 'berani kerana benar' malah keputusan ujian itu nanti pasti dalam menjelaskan kekeliruan rakyat sekaligus mendapat kata putus.
'PAS JIGSAW PUZZLE DALAM PR'


GEORGETOWN - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin boleh melupakan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri ketujuh jika benar DAP bertanding 90 kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin berkata, tidak mustahil DAP bertanding 90 kerusi Parlimen kerana sokongan masyarakat kepada parti itu lebih kuat berbanding dengan Pas dan PKR.

Menurutnya, Pas bukan sahaja tidak layak menjadi tulang belakang PR malah parti itu juga dilihat tidak sepatutnya bersama dengan sekutu pembangkang kerana dilihat tidak ada peranan langsung selama ini.

“Tulang belakang PR sebenarnya adalah DAP, dan Pas perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah jigsaw puzzle dalam PR.

“Abdul Hadi sebenarnya bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri, namun impiannya pasti tidak akan tercapai kerana DAP menyediakan ‘pemain simpanannya’ tersendiri iaitu Lim Guan Eng bagi menggantikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika PR berjaya ambil alih kerajaan,” katanya.

Mengulas kenyataan Presiden Pas itu bahawa Pas adalah parti paling kuat dalam PR, Shaik Hussein berkata, di Pulau Pinang sendiri Pas gagal menunjukkan kewibawaannya selain sering dipermainkan oleh rakan dalam pakatan sendiri.

Mengambil contoh isu jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang sebelum ini dijanjikan untuk diberikan kepada Pas tetapi ia beralih kepada PKR, Shaik Hussein berkata, ia menunjukkan Pas tidak mampu untuk membela dan memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam di negeri ini.

“Bila jawatan itu tidak diberikan kepada Pas, mereka (Pas) hanya bising seketika dan terus isu ini senyap. Kita pun tidak tahu siapa YDP MAINPP sekarang,” katanya.

Menurutnya, Pas bukan parti yang kuat dalam PR, sebaliknya sering tunduk dengan desakan rakan parti lain dalam PR.

“Kalau Pas sendiri tidak boleh menjaga dan memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam yang sedikit di Pulau Pinang, bagaimana dia boleh jaga orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Pas perlu buktikan terutama di Pulau Pinang bahawa mereka mempunyai suara selain mampu membantu masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Shaik Hussein berkata, matlamat yang berbeza pada setiap parti dalam PR juga menyebabkan mereka tidak mampu menggantikan Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negara.

“Pendirian mereka tidak sama. Mereka tidur atas satu bantal tetapi mimpi lain-lain,” katanya.

KD: Bahaya juga jika wujud permainan 'Jigsaw puzzle' dalam politik. 
ANWAR CUBA TEGAKKAN 'BENANG BASAH'


Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan nasib orang Melayu di Pulau Pinang adalah lebih baik daripada di Kedah dan Terengganu.

Menurut beliau, kenyataan Anwar itu umpama menegakkan 'benang yang basah' dan ia dibuat semata-mata untuk mengambil hati pemimpin DAP di negeri tersebut.

Katanya, memang sangat tidak adil untuk membandingkan nasib orang Melayu yang berada di bawah pimpinan parti itu dengan di Terengganu yang dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Di Terengganu umpamanya, kita (orang Melayu) merencana, mengurus dan membuat keputusan sendiri. Tapi, bolehkah orang Melayu di sana (Pulau Pinang) buat macam apa yang kita buat sekarang ini? – Utusan Online


KD: Alamak.. DSAI keluar statement panas lagi.. Kali ni memang akan memanaskan hati orang Kedah dan orang Terengganu. Apa tidaknya, beliau sesuka hati menghakimi keadaan negeri lain, sedangkan orang Melayu  di Pulau Pinang pun ibarat 'nyawa-nyawa ikan'. Itupun kerana tanah seberang Jaya masih ramai didiami orang Melayu. 
PERSEPSI RAKYAT TERHADAP BN SEMAKIN BAIK - PENGANALISIS
Persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin baik berbanding pilihan raya umum 2008 meskipun kerap dilemparkan dengan pelbagai fitnah oleh pembangkang.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. P Sivamurugan berkata, perubahan persepsi itu berikutan inisiatif mentransformasikan negara menerusi Program Transformasi Politik, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi telah membuahkan hasil dan dirasai sendiri oleh rakyat.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpendapat, majoriti rakyat kini sedar mengenai pelbagai program yang berbentuk sosial dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan BN sehingga sukar bagi pembangkang menafikannya.

Program itu termasuklah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia), Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang kian dekat di hati rakyat.

"Program meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan keselesaan rakyat yang jelas seperti inilah yang dimahukan rakyat, khususnya pengundi di luar bandar. Bagi pengundi bandar pula, selain menikmati hasil program itu, turut menghargai ketelusan pemimpin yang mendengar masalah mereka dan berusaha mencari penyelesaian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sivamurugan berkata, banyak usaha dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam setiap lawatan dan tinjauan mesra di seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas rakyat dan hasilnya, persepsi negatif terhadap BN telah terhakis.

Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun pilihan raya semakin hampir namun golongan atas pagar dilihat masih berhati-hati memilih parti yang mampu mewakili mereka meneruskan pembangunan dan bukannya menabur janji kosong.

"Walaupun dalam diam, mereka menilai apa yang dibuat oleh kerajaan BN dan apa pula yang telah dibuat oleh kerajaan pembangkang sejak 2008. Saya boleh mengandaikan BN boleh mendapat balik sokongan daripada pengundi protes pada 2008," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda, Anuar Abd. Manaf berkata, berdasarkan kajian sokongan yang dilaksanakan, pihaknya mendapati lebih 60 peratus belia di seluruh negara kini mula menyokong BN.

Ini kerana persepsi buruk yang dilemparkan oleh pembangkang kononnya kerajaan BN zalim, menindas dan mengabaikan rakyat termasuk golongan belia ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka.

Katanya, ini kerana golongan belia sendiri sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke atas diri mereka mahupun keluarga mereka. - BERNAMA


KD: Rakyat seharusnya bersyukur kerana berada di bawah pentadbiran kerajaan yang prihatin. Pelbagai bentuk bantuan dan insentif yang diberikan bukanlah untuk 'menyogok', namun ia adalah usa dan rasa tanggungjwab kerajaan untuk membantu dan membangunkan rakyat. Justeru, segala pemberian perlu digunakan secara berhemah. Mana tahu, tahun hadapan dan seterusnya, rakyat dapat menikmati bantuan yang sama atau lebih lagi.


RAKYAT JANGAN TAKUT TEGUR PEMIMPIN

PULAU PINANG 10 Julai - Rakyat perlu berani menegur mana-mana pemimpin yang didapati melakukan perkara tidak betul sehingga boleh memudaratkan pentadbiran negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan itu wajar supaya pemimpin terbabit sedar bahawa apa yang dilakukannya adalah salah.

Menurutnya, ada di kalangan pemimpin terlalu leka dibuai puji-pujian sehingga pemikiran mereka menjadi rosak.

"Kita kena tegur pemimpin kalau dia buat perkara tidak betul, marah dia.

"Tapi saya tengok kalau pemimpin itu buat tidak betul, dalam ucapannya semua bangun tepuk tangan.

"Jadi pemimpin pun naik seronok, kembang (bangga). Bila orang puji sangat, pemikiran dia pun rosak sikit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Wakil-wakil pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Mahathir menambah, tindakan menegur pemimpin merupakan tanggungjawab rakyat supaya kerajaan yang didirikan menjadi kuat dan mampu membawa negara ke arah kemajuan serta kesejahteraan.

"Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kuat dan kukuh dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, kita pula mesti menjalankan tugas kita.

"Tugas kita adalah beritahu pemimpin apabila dia membuat sesuatu yang salah," ujarnya.

KD: Sebagai 'senior' dalam arena politik, setiap nasihat dari Tun M amatlah jelas dan relevan. Justeru, apabila Bapa Pemodenan ini menyarankan perkara ini, KD amat setuju. Ini kerana,amalan tegur- menegur adalah tindakan yang digalakkan untuk membetulkan kesilapan masing-masing. Tambahan pula, kini terdapat banyak cara untuk rakyat menegur pemimpin, sebagai contoh melalui Facebook, Twitter atau sebagainya. Jelaskan apa yang terbuku di hati, termasuk pendapat atau cadangan yang bernas, bukan untuk kepentingan sendiri tetapi memberi manfaat kepada semua. Apa yang penting, cara teguran itu perlulah berhemah dan melalui saluran yang betul.