Monday, February 25, 2013

PRU13: PM JADI PENGARAH PILIHAN RAYA SELANGOR

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih tugas sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) Selangor dalam usaha untuk menawan kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha BN Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat pada Sabtu malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi merangka strategi untuk menawan semula Selangor, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

"Barisan kepimpinan negeri mengalu-alukan dan menerima keputusan itu kerana ia adalah sebahagian daripada strategi untuk memenangi semula negeri pakatan.

"Beberapa perkara penting dibincangkan semasa mesyuarat itu termasuk pelantikan Perdana Menteri sebagai pengarah pilihan raya negeri manakala Datuk Seri Mohd Zin Mohamed telah dipilih untuk menjadi timbalannya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain itu Mohamed Idris berkata bahawa BN optimis untuk memenangi lebih banyak kerusi dan mengambil kembali Selangor pada pilihan raya umum nanti.

"Persediaan kami adalah pada tahap yang paling optimum dan kami sudah bersedia untuk menggunakan jentera kami pada bila-bila masa semasa tempoh berkempen," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa simulasi pilihan raya khas untuk jentera akan dijalankan untuk menguji kesediaan pegawai mereka semasa pilihanraya.

"Simulasi akan melibatkan semua pihak yang terlibat sebagai jentera pilihan raya kami dan mereka akan menjadi tulang belakang di sebalik strategi untuk menyebarkan dasar kami dan kempen di peringkat akar umbi," katanya.- mStar
PRU13: 'IBU SEGALA PILIHAN RAYA, PALING PANAS, PALING SENGIT'

LUMUT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia berdepan pelbagai kemungkinan termasuk kekecohan atau proses perjalanan pilihan raya terganggu di pusat penamaan calon dan pengundian pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, cabaran mengurus pilihan raya kali ini berbeza kerana banyak perkara baharu akan dilaksanakan tambahan pula pilihan raya umum ini dilabel sebagai 'ibu segala pilihan raya', 'pilihan raya paling panas' dan 'pilihan raya paling sengit'.

"Banyak perkara baharu yang diperkenalkan akan dilaksanakan SPR pada pilihan raya kali ini yang merupakan 'pilot project' seperti pengunaan dakwat kekal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Taklimat Ulangan kepada Pengawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus bagi negeri Perak di Segari di sini, Ahad.

Beliau berkata kekecohan atau proses pengundian boleh terganggu berhubung penggunaan dakwat kekal sekiranya pemilih tidak mematuhi peraturan atau undang-undang pilihan raya.

Ada beberapa keadaan yang menyebabkan pemilih tidak akan diberi kertas undi antaranya tidak mahu menunjukkan jari untuk diperiksa, tidak membenarkan jari dicalit (dengan dakwat kekal) dan jari telah dicalit dengan dakwat kekal, katanya.

Wan Ahmad berkata elemen penggunaan dakwat kekal adalah wajib dan merupakan antara perkara penting yang perlu difahami semua parti politik dan rakyat.

Beliau berkata sesiapa yang mengganggu kelancaran proses pilihan raya atau mencetuskan kekecohan serta menghalang proses itu di tempat pengundiaan boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya 1981) iaitu didenda RM1,000 dan dipenjara.

"Jangan dengar ajaran songsang yang berfikiran mahu melakukan sesuatu yang boleh mengganggu gugat keadaan di tempat pengundian. Hak kita sebagai pengundi mesti dilaksanakan dengan masuk ke tempat mengundi, mengundi dan lepas itu keluar dari situ. Matlamat SPR adalah untuk mewujudkan proses pengundian yang lancar dan aman," katanya.

Beliau berkata banyak penambahbaikan yang dilakukan SPR dalam usaha mewujudkan pilihan raya bersih, lancar dan aman antaranya penggunaan dakwat kekal, tempoh kempen lebih 11 hari serta pelantikan pemerhati bebas pilihan raya yang mempunyai akses ke tempat pengundian dan memantau aktiviti kempen.

Selain itu, Wan Ahmad berkata berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan dua hari lepas, Perak mempunyai 1,397,279 pemilih dengan 778 pusat pengundian termasuk pusat pengundian awal serta 2,667 saluran mengundi. - BERNAMA/mStar
PRU13: BELUM UMUM TARIKH, UNTUK LIHAT TRANSFORMASI – PM

SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) belum diumumkan kerana kerajaan mahu dasar transformasi negara benar-benar terbukti berjaya dan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

Beliau berkata idea yang kreatif, perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang berkesan adalah sangat penting dalam usaha kerajaan untuk membela rakyat dan membangunkan negara.

"Sebab itulah saya tunggu sampai kita letih hendak buat PRU, kita tunggu kerana saya hendak buktikan bahawa dasar transformasi negara benar-benar boleh berjaya," katanya ketika melancarkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di sini, Ahad.
Tarikh PRU terdahulu

Justeru, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak menukar kerajaan sedia ada pada PRU-13 nanti kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja yang boleh memenuhi harapan rakyat.

Ini terbukti dengan pelbagai kejayaan yang dicatat oleh negara antaranya perkembangan ekonomi yang semakin meningkat selain mencatat pertumbuhan yang pesat, katanya.

"Kita harus berbangga sebagai sebuah negara kita sudah capai banyak kejayaan, kalau Ulu Temiang akan ditukar namanya kepada Seremban Utara, tetapi kerajaan jangan tukar," katanya sambil menerima sorakan gamat daripada orang ramai.

Najib berkata hari ini, rakyat juga cukup yakin bahawa kerajaan BN bukanlah hanya pandai cakap sahaja tetapi juga yakin melakukannya untuk rakyat sepertimana gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan". -BERNAMA/mStar
PENERIMA BR1M UMPAMA HAIWAN : NIK AZIZ KETERLALUAN - PM

KUCHING - Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan penerima bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) umpama haiwan, dilihat sebagai menghina rakyat dan amat keterlaluan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz itu tidak konsisten kerana di Selangor, pembangkang turut menjanjikan beberapa perkara kepada rakyat yang melibatkan soal kewangan.

"Apa beza dengan janji dia (pakatan pembangkang) di Selangor. Elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma...itu kan pemberian kewangan juga? Apa beza dengan BR1M? Jadi takkanlah Nik Aziz nak kutuk bila kita buat dan bila pakatan buat dia tak kata apa-apa?.
 "Itu pendirian tidak konsisten kalau itu (BR1M) dikira amalan tidak baik dan disama dengan haiwan...kenapa dia tak kata apa-apa bila pakatan janji...janji itu pula tidak ditunaikan,"  katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Majlis Tertinggi komponen parti BN negeri di sini, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyamakan usaha murni kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.

Mengulas lanjut, Najib berkata amalan memberi bantuan kepada rakyat sudah lama dilaksanakan kerajaan secara subsidi tidak langsung, manakala BR1M bersifat lebih fokus kepada kumpulan sasaran.

"Setiap tahun kerajaan belanja lebih kurang RM30 bilion untuk subsidi, kita beri dalam bentuk subsidi secara tidak langsung ...orang tak layak seperti orang kaya pun terima dan berlakunya ketirisan seperti penyeludupan serta penjualan diesel di luar sempadan dan sebagainya.

"Jadi kita pilih beri subsidi diesel secara lebih fokus lagi, dan cara lebih fokus ini termasuk BR1M dimana kita tentukan mereka betul-betul layak mengikut tafsiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya mereka akan terima bantuan kewangan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan melihat BR1M bukan sahaja bantuan kepada rakyat, tetapi turut akan mempergiatkan kegiatan ekonomi di sesebuah kawasan.

"Bantuan kewangan ini akan cetus kegiatan ekonomi di kawasan tempatan, ia beri pekedai serta peruncit manfaat dan rakyat (penerima) sendiri punya kuasa untuk tentukan cara untuk belanjakan duit itu.

"Jadi ini tidak ada bezanya dengan amalan di sesetengah negara lain seperti Singapura dimana mereka kreditkan kepada akaun CPF untuk bantu rakyat, di Indonesia pun ada juga pemberian secara langsung kepada rakyat," katanya.