Monday, February 25, 2013

PENERIMA BR1M UMPAMA HAIWAN : NIK AZIZ KETERLALUAN - PM

KUCHING - Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan penerima bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) umpama haiwan, dilihat sebagai menghina rakyat dan amat keterlaluan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz itu tidak konsisten kerana di Selangor, pembangkang turut menjanjikan beberapa perkara kepada rakyat yang melibatkan soal kewangan.

"Apa beza dengan janji dia (pakatan pembangkang) di Selangor. Elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma...itu kan pemberian kewangan juga? Apa beza dengan BR1M? Jadi takkanlah Nik Aziz nak kutuk bila kita buat dan bila pakatan buat dia tak kata apa-apa?.
 "Itu pendirian tidak konsisten kalau itu (BR1M) dikira amalan tidak baik dan disama dengan haiwan...kenapa dia tak kata apa-apa bila pakatan janji...janji itu pula tidak ditunaikan,"  katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Majlis Tertinggi komponen parti BN negeri di sini, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyamakan usaha murni kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.

Mengulas lanjut, Najib berkata amalan memberi bantuan kepada rakyat sudah lama dilaksanakan kerajaan secara subsidi tidak langsung, manakala BR1M bersifat lebih fokus kepada kumpulan sasaran.

"Setiap tahun kerajaan belanja lebih kurang RM30 bilion untuk subsidi, kita beri dalam bentuk subsidi secara tidak langsung ...orang tak layak seperti orang kaya pun terima dan berlakunya ketirisan seperti penyeludupan serta penjualan diesel di luar sempadan dan sebagainya.

"Jadi kita pilih beri subsidi diesel secara lebih fokus lagi, dan cara lebih fokus ini termasuk BR1M dimana kita tentukan mereka betul-betul layak mengikut tafsiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya mereka akan terima bantuan kewangan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan melihat BR1M bukan sahaja bantuan kepada rakyat, tetapi turut akan mempergiatkan kegiatan ekonomi di sesebuah kawasan.

"Bantuan kewangan ini akan cetus kegiatan ekonomi di kawasan tempatan, ia beri pekedai serta peruncit manfaat dan rakyat (penerima) sendiri punya kuasa untuk tentukan cara untuk belanjakan duit itu.

"Jadi ini tidak ada bezanya dengan amalan di sesetengah negara lain seperti Singapura dimana mereka kreditkan kepada akaun CPF untuk bantu rakyat, di Indonesia pun ada juga pemberian secara langsung kepada rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment