Showing posts with label Nik Aziz. Show all posts
Showing posts with label Nik Aziz. Show all posts

Wednesday, May 8, 2013

KEPUTUSAN NIK AZIZ BERSARA TEPAT

BACHOK – Keputusan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengejutkan banyak pihak.

Beliau yang sebelum ini menegaskan akan berkhidmat sehingga hujung nyawa mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sejak 23 tahun lalu.

Bagi seorang pemerhati politik, Datuk Alex Ong, keputusan Nik Abdul Aziz itu suatu pilihan tepat untuk memberi laluan kepada timbalannya sebelum ini, Datuk Ahmad Yakob.

“Menilai segala pengalaman yang ada pada beliau (Nik Abdul Aziz) selama lebih 29 tahun ini, ia adalah  keputusan tepat. Beliau dipercayai rakyat dan jasanya dikenang rakyat semua lapisan masyarakat kerana sifatnya sendiri mesra terhadap semua kaum.

“Saya berharap agar persaraannya tidak dipolitikkan mana-mana pihak dan beri peluang kepada beliau untuk tumpu kepada keluarga, beribadah dan menjadi mentor kepada menteri besar baru,” katanya semalam.

Alex juga mengucapkan tahniah kepada Ahmad yang baru mengangkat sumpah petang kelmarin di depan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian.

Ahmad adalah Adun Pasir Pekan selama beberapa penggal.

Manakala timbalan menteri besar yang baru ialah Adun Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Alex berharap Ahmad juga mempunyai visi dan ciri-ciri dimensi baru dalam segala perkara dan di samping meneruskan perjuangan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat akar umbi di Negeri Kelantan.

Manakala, Adun Jelawat yang baru mengangkat sumpah kelmarin, Abdul Azziz Kadir juga menyuarakan sokongannya terhadap pelantikan menteri besar baru.

“Dari segi ranking, beliau (Ahmad) memang layak dilantik sebagai menteri besar baru selepas persaraan Tok Guru.

“Kami akan terus menyokong beliau dalam meneruskan gerak kerja dan dasar parti tidak mengira siapa pun menteri besar atau exco yang dilantik musim ini,” katanya semalam. –Sinar Harian

Monday, April 29, 2013

NIK AZIZ BERTEGAS DAP TERIMA PERJUANGAN PAS

JELI - Walaupun sudah jelas barisan kepimpinan DAP menolak dasar perjuangan Islam Pas, Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas apabila menganggap rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang boleh menerima Islam yang diperjuangkan Pas.

Seperti 'bertepuk sebelah tangan', Menteri Besar Kelantan itu berkata, tindakan DAP mahu mengunakan lambang Pas pada pilihan raya membuktikan parti tersebut boleh menerima dasar Islam dan tidak takut pada agama suci itu.

"Ini tandanya Cina sudah tidak takut pada Islam, yang takut pada Islam ialah Melayu UMNO, Melayu UMNO yang sebenarnya takut pada Islam, Cina sudah tidak takut.

"Suatu masa nanti pasti akan ada antara cawangan Pas diketuai oleh orang Cina. Cina sekarang belajar tinggi dan kenal Islam. Suatu masa nanti, Cina DAP akan masuk Islam, akan mengetuai Pas,'' katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran pembinaan kilang kelapa sawit dan pembinaan jalan di Kampung Jerimbun di sini hari ini.

Menurutnya, Islam untuk semua, bukan untuk orang Arab atau orang Melayu sahaja.

"Bagaimana kalau kita hendak suruh orang Cina terima Islam kalau asyik bergaduh dengan dia, kita beritahu Islam bagaimana, dia hendak dengar ataupun tidak, terpulang.

"Kadangkala tengah-tengah malam Cina DAP Perak telefon saya tanya ayat al-Quran bagaimana. Melayu UMNO tidak pernah tanya, hendak tanya bagaimana kalau dia tolak Islam, al-Quran," katanya.

Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini memberitahu, kesediaan parti itu menerima penggunaan lambang Pas tidak bermakna mereka menerima setiap dasar perjuangan Islam Pas.

Pas pula melalui timbalannya, Datuk Dr. Haron Din menegaskan, akan tetap melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 sekalipun mendapat tentangan DAP.

Pendirian tersebut turut disokong Nik Abdul Aziz dengan menyatakan Pas tetap yakin boleh melaksanakan hukum berkenaan sekiranya menawan Putrajaya, kerana hudud adalah untuk orang Islam, manakala bukan Islam ada cara lain.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz terus menyalahkan UMNO dan pihak media yang beliau dakwa sengaja mengeluarkan video lucah dan menuduh kalangan pemimpin pembangkang kononnya telah berzina dan meliwat. –UTUSAN ONLINE

Wednesday, April 24, 2013

PRU13: NIK AZIZ TOLAK BR1M TAPI SALAHUDDIN NAK BERI LEBIH BANYAK

JOHOR BAHRU - Jika sebelum ini dua pemimpin tertinggi Pas memperkecilkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), hari ini Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berjanji akan memberikan bantuan sama sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Calon pakatan pembangkang bagi kerusi Parlimen Pulai itu berkata, pakatan pembangkang akan memberi bantuan sebanyak RM2,000, berbanding kenaikan sehingga RM1,200 sebagaimana terkandung dalam manifesto BN bagi PRU-13 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Saya dah kaji hasil negeri, dah baca report (laporan) daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dah baca pendapatan negeri. Di bawah pakatan rakyat kita boleh bagi RM2,000, jauh lebih tinggi daripada BR1M Barisan Nasional (BN)," katanya.

Kenyataannya itu bertentangan dengan penghinaan yang dilemparkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila menyamakan kira-kira empat juta rakyat yang menerima pemberian BR1M sebagai 'memberi hampas padi dan kelapa kepada ayam dan lembu'.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyamakan pemberian BR1M seperti zaman Firaun. –UTUSAN ONLINE

Wednesday, April 10, 2013

'KENYATAAN NIK AZIZ PERLU DIKAJI'


KUALA LUMPUR - Majlis Fatwa Kebangsaan digesa supaya bermuzakarah dan mengkaji kenyataan kontroversi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kebelakangan ini seperti mendakwa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan pembinaan masjid oleh kerajaan hanyalah untuk tujuan mendapat kontrak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nasihat, kajian serta ketetapan majlis itu tentang kelantangan dan keceluparan Nik Abdul Aziz amat penting bagi mengelakkan umat Islam tempatan terus dikelirukan dan seterusnya terpesong akidah.

Katanya, beliau yakin jika Majlis Fatwa mengkaji perkara tersebut, kesemua kenyataan Nik Abdul Aziz yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tokoh agama atau ulama itu akan ditolak sama sekali.

Baginya, kenyataan pemimpin tertinggi Pas itu hanyalah bersifat politik semata-mata tanpa bersandarkan kepada dalil-dalil dalam al-Quran.

"Ini satu masalah. Kalau bukan Islam yang kata begitu mungkin kita faham tapi ini ulama dan tokoh. Saya fikir sesuatu perkara yang dilakukannya lebih politik daripada agama dan sebab itu saya kata Pas itu parti ajaran sesat, ada kata parti ajaran songsang.

"Islam tidak patut dinodai hanya oleh kerana ada muslihat politik oleh sesiapa sekalipun. UMNO tidak pernah buat begitu, tidak pernah keluarkan fatwa," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di Gombak, dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, Nik Abdul Aziz mengeluarkan 'fatwa' sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan usaha kerajaan membina masjid bukan sebahagian daripada ajaran Islam kerana hanya bertujuan mendapatkan kontrak.

Namun semalam, Nik Abdul Aziz, Pas dan pakatan pembangkang menerima tamparan hebat apabila deklarasi Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz memutuskan haram bagi umat Islam mengundi Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum nanti.

Muhyiddin berkata, beliau percaya ketetapan tersebut dibuat setelah pihak Ulama Pondok menganalisis kepincangan dan penyalahgunaan agama oleh Pas seperti membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Mungkin itu asas-asas yang mereka gunakan sehingga mencapai ketetapan tersebut, saya bukan pakar, itu pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berasa hairan dengan ketidaktentuan nasib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sama ada akan dicalonkan atau tidak pada pilihan raya umum kali ini.

Menurut beliau, percanggahan kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Wan Azizah tidak akan dicalonkan sementara anaknya, iaitu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah menyatakan sebaliknya telah menunjukkan mereka tidak selari dalam membuat keputusan. – Utusan Online

Tuesday, April 9, 2013

MULUT NIK AZIZ SEMAKIN CELUPAR

KUALA LUMPUR - Selepas mengeluarkan fatwa politik yang disifatkan banyak pihak sebagai menyesatkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin biadab selepas mendakwa jika Nabi Muhammad SAW hidup kembali parti UMNO akan menentang Rasulullah.

Tuduhan liar itu dibuat selang tiga hari selepas Menteri Besar Kelantan berkenaan mendakwa, solat orang UMNO tidak mendapat pahala dengan alasan parti yang telah banyak mengembangkan syiar Islam di negara ini sejak lebih 50 tahun lalu tersebut mengamalkan dasar kebangsaan.

Lebih menyedihkan, dakwaan itu dibuat selepas Nik Abdul Aziz dengan bongkak mempertahan kenyataan solat orang UMNO tidak mendapat pahala sebelum disusuli tuduhan masjid yang dibina tidak memberi apa-apa makna kononnya atas alasan parti itu menolak Islam.

"Puak ini (UMNO) kalau Nabi Muhammad hidup balik, dia lawan," katanya semasa berceramah dalam majlis prahimpunan Kelantan Hijau di Jeli, Kelantan yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana dipetik di blog, rbfonline.net hari ini.

Ini kali kedua Pas mengheret Rasulullah dalam kancah politik selepas Penolong Setiausaha I Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi Twitternya baru-baru ini berkata: "Kalau Nabi Muhammad masih hidup, mungkin video seks baginda pun UMNO akan keluarkan...Jahanam UMNO,".

Mengulas kontroversi terbaru itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, kenyataan dan perumpamaan terbaharu Nik Abdul Aziz yang menyifatkan UMNO akan menentang baginda merupakan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Nilaikan prinsip Pas dalam memperjuangkan Islam, di mana pendirian mereka berhubung penggunaan kalimah Allah sebelum ini?

''Sebagai Tok Guru, Nik Abdul Aziz patut berhenti menuduh semua orang menolak dasar Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya menggunakan agama Islam serta mengaitkan Rasulullah SAW untuk mencapai matlamat politik.

Menurut beliau, tindakan Nik Abdul Aziz itu juga bertentangan dengan sikap sesetengah musuh Islam yang turut menghormati Rasulullah SAW.

"Islam tidak menggalakkan kita bercerita hal-hal keburukan seseorang yang sudah meninggal dunia apatah lagi sekiranya perkara itu melibatkan Nabi Muhammad SAW yang maksum," katanya. - Utusan Online
ANALISIS PRU13: KEANGKUHAN NIK ABDUL AZIZ PERLU DIRANAPKAN

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

MursyiduL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata terus angkuh dalam tindakan beliau demi menjaga kepentingan politik Pas dan pakatan pembangkang yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ketaksuban dan sikap fanatik beliau yang cuba menggambarkan hanya Pas sahaja memperjuangkan Islam dan hanya pakatan pembangkang sahaja yang baik telah membuktikan Menteri Besar Kelantan semakin meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Tidak cukup dengan kenyataan sebelum ini bahawa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan usaha UMNO membina masjid tidak memberi apa-apa makna, Nik Abdul Aziz muncul pula dengan kenyataan jika Nabi Muhammad SAW hidup kembali parti UMNO akan menentang Rasulullah.

Demikianlah angkuhnya Nik Abdul Aziz yang sekali gus menunjukkan bahawa Nik Abdul Aziz seolah-olah sudah dikuasai oleh politik kebencian yang amat mendalam terhadap UMNO.

Mungkin juga semua ini berlaku kerana Nik Abdul Aziz semakin sedar berbanding tahun 2008, populariti Pas semakin merudum dan populariti UMNO semakin meningkat. Justeru mahu tidak mahu, Nik Abdul Aziz terpaksa menggunakan modal berkaitan Islam bagi menjejaskan imej UMNO.

Bagi Nik Abdul Aziz, ketegasan UMNO dalam memperjuangkan Islam termasuk begitu tegas dalam mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam adalah ancaman kepada Pas memandangkan Pas sudah bersetuju bersama sekutunya bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

Islam alat politik Pas

Selain itu, umat Islam di negara ini semakin sedar bahawa Islam hanyalah alat politik Pas dan pendekatan Pas dalam perjuangan Islam hanya digembar-gemburkan apabila menjelang pilihan raya sahaja.

Semakin meresahkan Nik Abdul Aziz ialah apabila Pas semakin kehilangan suara dalam pakatan pembangkang bagi menegakkan perjuangan Islamnya, oleh itu mahu tidak mahu usaha perlu dilakukan untuk mengalih pandangan umat Islam supaya tidak menyokong UMNO.

Sebab itulah, walaupun memahami bahawa apa yang beliau lakukan itu tidak wajar dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, Nik Abdul Aziz terus kekal dengan sikap merapu beliau dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan berkaitan Islam melibatkan UMNO.

Dalam soal ini, kita tidak perlu berasa bimbang atau gundah gulana kerana kita memahami apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz hanya semata-mata bermotifkan politik. Nik Abdul Aziz semakin resah apabila kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan semakin tergugat berikutan sambutan hangat rakyat negeri itu terhadao gelombang merah yang dibawa oleh UMNO.

Fatwa bukan-bukan

Gelombang Merah yang bertujuan menukar kerajaan negeri pimpinan Pas itu dilihat oleh Nik Abdul Aziz adalah ancaman yang harus dihentikan segera.

Oleh itu mahu tidak mahu Nik Abdul terpaksa mengeluarkan `fatwa' yang bukan-bukan supaya imej Islam UMNO terjejas.

Sebagai seorang yang berpengaruh Nik Abdul Aziz memahami apa juga yang beliau kata akan diikuti oleh penyokong-penyokong tegar Pas tetapi beliau terlupa dalam pilihan raya bukan hanya pengikut Pas atau UMNO sahaja yang akan mengundi, malah lebih penting ialah kelompok penentu iaitu golongan atas pagar.

Golongan inilah yang akan menilai dan membuat keputusan sama ada apa yang dinyatakan oleh Nik Abdul Aziz betul atau tidak, oleh itu kepada Nik Abdul Aziz cukup-cukuplah merendahkan UMNO.

Belajarlah untuk bermuhasabah supaya jangan sampai oleh kerana semakin banyak kenyataan yang dikeluarkan, beliau akan dianggap 'nyanyuk' dan ini sudah tentu tidak baik untuk politik Pas yang begitu kemaruk memburu kuasa sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya! - UTUSAN ONLINE

Monday, April 8, 2013

DAKWA SOLAT ORANG UMNO TIADA PAHALA, NIK AZIZ TERUS DIBIDAS

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus dibidas ekoran kenyataannya yang mendakwa solat orang UMNO tidak mendapat pahala kerana kononnya parti itu menolak Islam.


Orang Melayu seharusnya bersatu

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Datuk Dr. Abd. Wahid Manap berkata, sebagai orang Melayu dan Islam, Nik Abdul Aziz tidak seharusnya melemparkan tuduhan sedemikian yang nyata tidak berasas.

"Siapa Nik Abdul Aziz untuk menentukan solat seseorang Islam itu mendapat pahala atau tidak? Perkasa amat sedih dengan kenyataan Mursyidul Am Pas tersebut yang sering mempermain-mainkan hukum agama demi kepentingan politiknya.

"Orang Melayu seharusnya bersatu, bukan cuba memecahbelahkan antara satu sama lain, adakah Nik Abdul Aziz ingin melihat orang Melayu dan Islam di negara ini bermusuhan dan bergaduh antara satu sama lain?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Nik Aziz perlu jaga status sebagai MB

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, Nik Abdul Aziz juga sewajarnya menjaga status beliau sebagai seorang Menteri Besar, pemimpin tertinggi sebuah kerajaan negeri dan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.

"Jangan sesuka hati keluarkan kenyataan sebab rakyat mendengar dan sudah tentu ia boleh memberi kesan negatif kepada rakyat dan negeri Kelantan," katanya. –Utusan Online
UMNO BINA MASJID BUKAN SEBAB ISLAM - NIK AZIZ

KOTA BHARU - Setelah menuduh solat orang UMNO tidak mendapat pahala, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa, UMNO membuat masjid bukan kerana Islam sebaliknya mahu menjadi kontraktor.

Malah, Menteri Besar Kelantan itu berkata, program-program berkaitan Islam yang dilakukan UMNO juga tidak mendapat pahala kerana parti tersebut menolak Islam.

"Di Kelantan ini banyak mana projek-projek Kerajaan Pusat buat, sepatah pun tidak memberitahu harga sebenar.

"Tentu ada benda yang tersembunyi, orang Melayu panggil 'sambil menyelam sambil minum air'. UMNO pula 'sambil menyelam sambil bekwoh (kenduri)'. Bukan setakat minum sahaja, makan besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Projek Pawah Rusa di Kompleks Perkhidmatan Veterinar, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya dalam ceramah di Kampung Jambu dekat sini, 3 April lalu, yang mendakwa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala kerana mendakwa parti itu menolak dasar Islam.

Mengenai dakwaannya itu, Nik Abdul Aziz dengan angkuh mempertahankannya dengan menegaskan, orang UMNO bermakna orang yang menolak Islam dan sembahyang mereka sememangnya tidak akan memperoleh sebarang ganjaran pahala.

Beliau berkata, orang Melayu sepatutnya menerima Islam dengan sepenuhnya dan menolak Islam bermakna mereka turut menolak Allah SWT.

Dakwaan Nik Abdul Aziz itu dibidas banyak pihak terutama golongan ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Pengerusi Biro Agama Nadi Rakyat Malaysia, Rujhan Abd. Rahman dan Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz menyifatkan manifesto yang diumumkan Barisan Nasional (BN) demi kesejahteraan rakyat malam tadi sebagai mengarut.  –Utusan Online

KD: Bagaimana pula dengan laporan ini?