Thursday, March 14, 2013

WIKILEAKS PERNAH DEDAH NUR MISUARI MAHU TAWAN SABAH, RAKAN ANWAR - UTUSAN

KUALA LUMPUR— Memetik pendedahan Wikileaks pada 2007, akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari pernah berhasrat untuk menakluk Sabah.

Kabel 07MANILA1534 bertarikh 11 Mei 2007 di laman web itu mendedahkan peguam MNLF, Ombra Jainal, pernah menggambarkan Nur Misuari sebagai orang yang tepat untuk mendapatkan semula Sabah dari Malaysia.

Utusan turut melaporkan, berdasarkan maklumat tersebut, Nur Misuari masih lagi marahkan kerajaan Malaysia kerana menahan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa Filipina pada Januari 2002.

Pemimpin MNLF yang pada 2007 ditahan di rumahnya ketika itu, dilaporkan kabel tersebut dalam Perkara 6 menyatakan, Nur Misuari pernah memberitahu seorang pemimpin kanan Angkatan Tentera Filipina (AFP), Mejar Jeneral Ben Dolorfino bahawa apabila masanya MNLF mungkin boleh menyerang Sabah pada pukul 5 pagi dan mengambil alihnya pada pukul 7 pagi.

Wikileaks, dalam maklumat itu, turut mendedahkan Nur Misuari juga pernah dilaporkan mendakwa beliau secara peribadi adalah pewaris sah yang berhak menuntut Sabah berdasarkan darah keturunan rajanya dan menyalahkan Malaysia sebagai ejen yang menimbulkan huru-hara di Sulu.

Pendedahan di Wikileaks itu turut menyatakan Fuad Kiram yang mengisytiharkannya sebagai Sultan Sulu telah memberikan gelaran Datu (putera raja) Kesultanan Sulu dan Borneo Utara (Sabah) kepada Nur Misuari ketika pemimpin MNLF itu ditahan di rumahnya pada 14 Mac.

Kabel itu turut mendedahkan bahawa Dolorfino pernah memberi komen tentang kebimbangan Malaysia terhadap niat Nur Misuari itu yang masih mempunyai beratus pengikut di negeri itu.

‘‘Malaysia juga bimbang mengenai hubungan beliau dengan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai ‘rakan lama’ Nur Misuari,’’ lapor Utusan dipetik kabel itu.

Menurut kabel itu, beberapa pegawai dari Malaysia telah mengadakan sekurang-kurangnya tiga pertemuan dengan Nur Misuari atau isteri-isterinya seperti yang dinyatakan oleh Jainal dan Dolorfino.

“Dolorfino berkata, pada pertemuan 10 April, rombongan khas daripada Perdana Menteri Malaysia (ketika itu ) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberitahu Nur Misuari agar tidak mencampuri urusan politik dalaman Malaysia.

“Menurut Jainal pula, Nur Misuari berjanji kepada wakil Abdullah bahawa beliau tidak berniat untuk terlibat dalam urusan dalaman Malaysia,” kata Wikileaks.

Kabel itu turut menyatakan bahawa Dolorfino berpendapat yang Malaysia mahu mencari jaminan yang lebih kukuh bahawa Nur Misuari tidak meneruskan isu tuntutan terhadap Sabah itu. -TheMalaysianInsider
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: SYUKURI KEAMANAN MALAYSIA

HULU SELANGOR: “Kalau tak jadi peristiwa seperti ini kemungkinan besar kita tak dapat merasa pentingnya berada dalam negara yang selamat.
“Sebab itu penting bagi kita berganding bahu memastikan keamanan terpelihara bagi membolehkan kita menikmati hidup seperti sedia ada,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengulas mengenai insiden pencerobohan di Lahad Datu yang menjadi ingatan kepada seluruh rakyat negara ini betapa keharmonian yang dikecapi sebelum ini terlalu berharga.

Katanya, ia juga bukti nikmat paling besar dimiliki penduduk Malaysia ialah keselamatan dan keamanan, sekali gus menuntut sokongan rakyat kepada usaha kerajaan mengekalkan keharmonian dikecapi selama ini.

“Saya baru balik dari Lahad Datu dan melihat sendiri keadaan di lapangan. Penduduk di sana tidak bebas melakukan kerja seharian akibat pencerobohan pengganas.

“Rasa tidak tenteram ini mengingatkan kita negara luar yang dibelenggu pergolakan seperti Libya dan Syria yang berterusan sehingga kini menyebabkan banyak nyawa terkorban,” katanya.

Menurutnya, kejadian di Sabah itu juga wajar dijadikan iktibar dan melahirkan rasa syukur dengan nikmat diberi Allah SWT.

“Kita mahu rakyat tahu pimpinan melakukan rangka usaha lebih besar merangkumi transformasi untuk meletakkan Malaysia di tahap lebih tinggi,” katanya.

KD: Setuju dengan pendapat TPM ini. Peristiwa pencerobohan Lahad Datu ini menjadi pengajaran yang amat berharga kepada masyarakat kini khususnya dan generasi masa akan datang secara amnya.
MNLF AKUI SABAH MILIK MALAYSIA

JOHOR BAHARU: Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengiktiraf dan menghormati keputusan rakyat Sabah menyertai Malaysia pada 1963 dan menurut Pengerusinya, Muslimin Sema rakyat Sabah berhak menentukan masa depan mereka dengan menyertai Malaysia 50 tahun lalu dan hak ini tidak boleh dipertikai.

“Kami (MNLF) akur dengan kehendak rakyat Sabah menentukan nasib mereka sendiri. Mereka membuat keputusan menyertai Malaysia dan kami menghormati keputusan mereka, itu pendirian kami,” katanya dalam temu bual melalui telefon dari Manila, semalam.

Muslimin, yang juga Naib Datuk Bandar Cotabato City di selatan Filipina berkata, dalam kunjungannya ke Sabah pada 1973, beliau melihat sendiri kebahagiaan dinikmati rakyat negeri itu setelah menyertai Malaysia.

Muslimin menjelaskan beliau mempunyai ramai saudara-mara di Sabah yang setia kepada Malaysia dan hidup dengan penuh sejahtera.

“Mereka hidup selesa dan makmur di Sabah, keadaan yang tidak mungkin dapat mereka nikmati sekiranya terus berada di selatan Filipina. Saya tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka berikutan apa yang berlaku sekarang,” katanya. -HMetro
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: WARTAWAN RIMAS ‘PERANG’ KHABAR ANGIN

Coretan pengalaman penulis Berita Jenayah Harian Metro yang berada di Lahad Datu..
Sebagai wartawan membuat liputan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, ramai antara kami, termasuk dari agensi luar negara cuba memberi laporan eksklusif dan terbaik untuk pertubuhan masing-masing.
Walaupun kawasan zon merah dilarang masuk tetapi ada juga dalam kalangan kami tetap berani sekalipun mengetahui bakal terbunuh atau menjadi tebusan jika terserempak dengan pengganas ini yang memang diketahui kejam.
Pengganas Sulu dilaporkan sanggup memenggal kepala, mencungkil mata dan mengerat badan seperti dilakukan ke atas anggota keselamatan kita yang terbunuh dalam dua kejadian berasingan pada 1 dan 2 Mac lalu.
Mereka boleh disamakan dengan pengganas kartel dadah di Mexico yang sanggup mengerat mayat anggota polis yang mereka tawan hanya semata-mata kerana mengganggu operasi mereka.
Sebab itulah, kawalan keselamatan amat ketat dan wartawan tidak boleh sesuka hati memasuki kawasan zon merah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini. 
Masa lebih banyak dihabiskan di Pusat Media yang terletak di Felda Residence Sahabat iaitu hampir 20 kilometer dari zon merah. 
Jika bernasib baik, wartawan dapat menemubual penduduk yang dipindahkan dan ada yang ‘nakal’ cuba juga merapati pasukan keselamatan bagi merisik berita. Laporan dramatik
Ada juga laporan dibuat secara berlebih-lebihan dan dramatik sedangkan kejadian yang berlaku tidak seperti dilaporkan. Mungkin wartawan ini ada ‘angle’ tersendiri dan cuba menjadikan insiden yang berlaku lebih menarik.
Khabar angin..
Bagaimanapun, dalam ‘berperang’ mendapatkan berita, kami juga berdepan dengan banyak khabar angin disebarkan blogger atau melalui SMS hingga kadangkala merimaskan kerana perlu mengesahkan berita terbabit terlebih dulu.
Ternyata banyak SMS ini langsung tidak berasas, sebaliknya hanya menyusahkan pihak keselamatan.
Kebanjiran khabar angin ini juga menyebabkan suasana panik dalam kalangan penduduk tempatan yang mengambil keputusan membuat pembelian panik bahan makanan dan menutup perniagaan lebih awal, terutama di bandar utama pantai timur Sabah kononnya kawasan itu akan diserang pengganas Sulu. 
Penulis, sebaik tiba di Ground Zero, masalah pertama dihadapi ialah mencari bilik penginapan kerana habis ditempah anggota pasukan keselamatan dan pegawai tertinggi ATM dan PDRM menyebabkan kebanyakan wartawan daripada kumpulan akhbar sama terpaksa berkongsi bilik. 
Bilik kongsi sembilan
Bayangkan sebuah bilik untuk dua orang dimuatkan dengan sembilan orang kerana ketika itu, kami tiada pilihan. Mahu tak mahu kena duduk juga kerana kini kami berada di zon perang. Keselesaan tidak lagi diutamakan. Jika mahu tinggal di bandar Lahad Datu, jaraknya kira-kira 130 kilometer sehala.
Cukup jauh dan memenatkan jika berulang alik. Malah, ada yang terpaksa berjaga di lobi sementara rakan lain tidur. Masalah talian Internet juga menyebabkan banyak berita lambat dihantar ke ibu pejabat. 
Paling sengsara apabila bekalan air dicatu untuk dua hari. Ada wartawan yang tak mandi, kalau tak tahan sangat terpaksa ke Lahad Datu menumpang bilik rakan.
Ini belum lagi episod makan, kami terpaksa juga bergantung kepada makanan ringan seperti biskut kerana pada awal kejadian 1 Mac hingga serangan bermula, boleh dikatakan semua kedai berhampiran ditutup. 
Alasan kerana peniaga takut untuk membuka perniagaan.
Ketika itu, tersebar mengatakan pengganas akan menyerang Sabah. 
Bahan berita ketika mula serangan pula hanya berdasarkan sidang media yang dibuat dua kali sehari iaitu pada jam 10 pagi dan jam 4 petang. Biasanya dibuat oleh Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar. 
Malah, ada juga sidang media oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussain dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. 
 Cerita penduduk
Sementara menunggu sidang media, wartawan akan cuba mencari cerita ‘human interest’ dengan bertemu dengan penduduk yang dipindahkan. 
Pelbagai bahan berita menarik diperoleh tetapi selepas 10 hari serangan, berita yang ada juga semakin kurang, apatah lagi sidang media kini diambil alih Pesuruhjaya Polis Sabah dan bukan lagi Panglima ATM dan Ketua Polis Negara. 
Dalam keadaan semakin pulih dan ketakutan yang dialami penduduk sejak seminggu lalu mulai reda, kehidupan sudah kembali seperti biasa. 
Insiden boleh dielakkan jika..
Sebenarnya insiden pencerobohan Lahad Datu ini boleh dielakkan  pengganas Sulu menerima cadangan kerajaan Malaysia agar meninggalkan negara ini secara sukarela selepas memasuki secara haram pada 12 Februari lalu.
Malangnya, pendirian kerajaan kita yang mahu mengelak pertumpahan darah langsung tidak dilayan, malah dengan sombong menolak dan lebih rela mati. 
Kedegilan pengganas ini terpaksa dibayar dengan pertumpahan darah yang akhirnya hanya merugikan mereka.  
 Wira negara terkorban..
Kepada anggota keselamatan yang terkorban, mereka adalah wira negara kerana sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara. 
Tidak lupa juga jasa anggota keselamatan lain yang meninggalkan isteri, anak, ibu dan bapa serta saudara mara demi menyahut panggilan pertiwi. Kepada mereka dipanjatkan doa agar sentiasa dilindungi Illahi. -HMetro
KD: Terima kasih kepada wartawan ini kerana walaupun terdedah kepada risiko bahaya namun tetap cekal berjuang mencari dan melaporkan berita yang benar.