Thursday, March 14, 2013

MNLF AKUI SABAH MILIK MALAYSIA

JOHOR BAHARU: Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengiktiraf dan menghormati keputusan rakyat Sabah menyertai Malaysia pada 1963 dan menurut Pengerusinya, Muslimin Sema rakyat Sabah berhak menentukan masa depan mereka dengan menyertai Malaysia 50 tahun lalu dan hak ini tidak boleh dipertikai.

“Kami (MNLF) akur dengan kehendak rakyat Sabah menentukan nasib mereka sendiri. Mereka membuat keputusan menyertai Malaysia dan kami menghormati keputusan mereka, itu pendirian kami,” katanya dalam temu bual melalui telefon dari Manila, semalam.

Muslimin, yang juga Naib Datuk Bandar Cotabato City di selatan Filipina berkata, dalam kunjungannya ke Sabah pada 1973, beliau melihat sendiri kebahagiaan dinikmati rakyat negeri itu setelah menyertai Malaysia.

Muslimin menjelaskan beliau mempunyai ramai saudara-mara di Sabah yang setia kepada Malaysia dan hidup dengan penuh sejahtera.

“Mereka hidup selesa dan makmur di Sabah, keadaan yang tidak mungkin dapat mereka nikmati sekiranya terus berada di selatan Filipina. Saya tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka berikutan apa yang berlaku sekarang,” katanya. -HMetro

No comments:

Post a Comment