Showing posts with label Sabah. Show all posts
Showing posts with label Sabah. Show all posts

Friday, March 29, 2013

JANGAN PERTIKAI KEDAULATAN SABAH - ABDUL RAHIM BAKRI

KUALA LUMPUR — Seorang anggota Parlimen dari Sabah hari ini berkata tiada sesiapa pun boleh mempertikai atau mempersoalkan kedaulatan negeri itu.

Anggota Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim berkata ketika Sabah bersetuju untuk memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1963, pemimpin dan rakyat Sabah telah bersatupadu dan bersepakat dalam sebuah keluarga besar persekutuan Malaysia.

"Apa yang penting adalah keputusan tersebut turut mendapat pengiktirafan badan dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai badan sah dan diiktiraf masyarakat antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Rahim, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, turut mengingatkan penduduk dan rakyat di luar bandar di negeri itu khususnya supaya tidak terbawa-bawa dengan budaya politik baharu iaitu 'matlamat menghalalkan cara' yang dianjurkan pihak tertentu.

Katanya rakyat perlu bijak membuat pertimbangan sekiranya timbul sebarang propaganda dan menilai keadaan mengikut kewajaran semasa kerana semua rakyat bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

Beliau seterusnya menyeru rakyat agar bersama-sama mempertahan kedaulatan negara dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi menjaga integriti wilayah dan keselamatan negara. — Bernama/The Malaysian Insider

Tuesday, March 26, 2013

OPS DAULAT: ESSZONE MULA BERKUAT KUASA

Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) 
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pewujudan  (ESSZONE) berkuat kuasa semalam meliputi 10 daerah sebagai asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan sebelum ini.

Ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962.

Pengisytiharan ESSZONE diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada upacara perbarisan peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Beliau berkata, ia ditadbir Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah ditubuhkan mengikut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal Menteri Dalam Negeri dan dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dengan dibantu seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Bukan isytihar darurat

Katanya, jawatankuasa yang beribu pejabat di Lahad Datu akan bertanggungjawab kepada satu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan beliau selaku ketua kerajaan.

Katanya, penubuhan ESSZONE bertujuan memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah, mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam serta kesejahteraan di timur negeri itu.

“Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur Sabah, seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan.

“Ia bukan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat di kawasan timur Sabah jangan gusar dan takut keluar mengundi serta menggunakan hak mereka mengikut Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peraturan diwujudkan di bawah ordinan itu tidak memberikan kuasa tambahan kepada polis kerana kuasa sedia ada sudah memadai menangani situasi berkenaan.

Kesejahteraan hidup

Di samping itu, sesiapa yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah menerusi proses perundangan. Namun, pengisytiharan itu tidak jejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya peningkatan kawalan keselamatan bertujuan memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes membabitkan pengganas di Sabah ketika ini ialah akta membabitkan prosedur semata-mata.

“Ia tidak digubal sebagai akta memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagi setiap tangkapan di bawah SOSMA, pertuduhan dibuat menggunakan undang-undang biasa dan dibicara di mahkamah seperti kes jenayah lain,” katanya.

ESSCOMM diwujudkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Ops Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu, berjaya membunuh 67 pengganas setakat ini. - BHarian

Thursday, March 21, 2013

MILF TOLAK TUNTUTAN MISUARI KE ATAS SABAH

KUALA LUMPUR: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menolak dakwaan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari kononnya Kerajaan Malaysia telah menggunakan MILF bagi memperkukuh tuntutannya ke atas Sabah dan bertanggungjawab mendorong perpecahan di kalangan rakyat Moro.

Ketua Sekretariat MILF Mohammad Ameen berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan palsu semata-mata.

"Misuari melakukan dosa berat kerana membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan cuai terhadap MILF dan kerajaan Malaysia," beliau disebut sebagai berkata oleh Pusat Berita Luwaran.

Serangan lisan terbaru Misuari itu disiarkan oleh Al-Jazeera, YouTube dan beberapa media arus perdana Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.

Ameen mengingatkan Misuari bahawa Malaysialah yang telah menggesa pembentukan Persidangan Perpaduan Bangsamoro (BSC) pada 2002 demi menyatukan pelbagai puak dalam MNLF dan MILF dan menggalakkan pendirian bersama di kalangan mereka terutama untuk berurusan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Bagaimana pula Malaysia boleh menggunakan MILF bagi mengukuhkan tuntutannya ke atas Sabah, bila Sabah tidakpun menjadi sebahagian daripada agenda rundingan damai sejak 2001?" kata Ameen.

Ameen turut memberitahu Misuari bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan diri untuk mengatur rundingan damai Kerajaan Filipina-MILF (GPH-MILF), tetapi Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 2001 yang meminta Malaysia bertindak sebagai orang tengah antara dua pihak berkenaan setelah rundingan diadakan semula, selepas Presiden Joseph Estrada melancarkan perang terhadap MILF pada tahun 2000.

Presiden Arroyo, dalam lawatan luar negaranya yang pertama sejak menjadi presiden selepas penggulingan Presiden Estrada, telah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk secara rasmi meminta Malaysia mengatur rundingan damai GPH-MILF.

"Malaysia setakat memberi respon ikhlas terhadap permintaan jiran yang baik," jelas beliau.

Ameen juga mempersoal niat Misuari yang begitu beria-ia menyokong tuntutan Sabah sekarang sedangkan beliau tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang 21 tahun rundingan damainya dengan kerajaan Filipina.

Sementara Perjanjian Damai Muktamad Kerajaan Republik Filipina-MNLF (GRP-MNLF) pada 1996 tidak pernah merujuk kepada tuntutan Sabah. BERNAMA / mStar
MALAYSIA AKAN MENANG MUDAH ISU TUNTUTAN SABAH - SEJARAWAN

PUTRAJAYA - Malaysia akan menang mudah dalam isu tuntutan ke atas Sabah jika kerajaan Filipina dan Malaysia bersetuju membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kata seorang pakar sejarah terkemuka tanah air.
  
Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, ini berdasarkan rekod dan bukti sejarah yang jelas menunjukkan Sabah adalah milik Malaysia.
  
Khoo berkata jika sekalipun diadakan satu lagi pungutan suara mengenai hasrat rakyat Sabah, "semua rekod menyebelahi kita". 
  
“Jika kerajaan Filipina membawa isu tuntutan ke ICJ, mereka akan kalah, sama seperti mereka kalah dalam isu tuntutan Sipadan.
  
“Mereka telah tidak 'mengendali' pulau ini sejak 1873. Lebih penting, rakyat Sabah telah bersetuju menjadi sebahagian daripada Malaysia. Ini keputusan dicapai Suruhanjya Cobbold sebelum pembentukan Malaysia,” katanya.
  
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Forum Kepimpinan Pusat Pengajian Kerajaan Razak (RSOG) berjudul “Multibudaya di Malaysia: Adakah suasana wujud seperti seharusnya?" di Menara Prisma di sini hari ini.

Khoo diminta mengulas laporan bahawa kerajaan Filipina telah meminta sepasukan peguam kanan mengkaji tuntutan negara itu ke atas Sabah yang kini terhenti.
  
Debat mengenai tuntutan ke atas Sabah oleh kerajaan Filipina dan Kesultanan Sulu timbul kembali berikutan insiden pencerobohan di pantai timur Sabah baru-baru ini.
  
Bagaimanapun, Khoo berkata Kesultanan Sulu tidak boleh membawa kes itu ke ICJ kerana ia bukan sebuah negara berdaulat. 
  
“Sulu sendiri tidak boleh berdepan dengan Malaysia...sukar untuk pergi ke ICJ kecuali Manila sedia membantu mereka.
  
“Saya tidak pasti Sulu dan Manila dapat bekerjasama (dalam isu tuntutan ke atas Sabah). Mereka tidak pernah bersepakat," kata beliau. – Bernama/ Sinar Harian