Sunday, July 8, 2012

PRU13 PILIHAN RAYA PALING SENGIT - RAJA NONG CHIK
KUALA LUMPUR - Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyeru agar pimpinan tinggi Umno dan setiap ahli merapatkan kembali barisan serta melupakan segala persengketaan dalaman bagi mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan ini berkata, wadah perpaduan amat penting bagi mementingkan majoriti undi diraih kerana persengketaan dalaman parti hanya menyukarkan misi bagi memenangi pilihan raya.

“Tanpa perpaduan yang kuat, misi menang ini tidak mungkin menjadi kenyataan dan hanya memberi laluan mudah dan kita mampu tumbang ke pihak lawan," tegas beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Beliau juga menegaskan bahawa PRU13 bakal menjadi pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah negara ini.

“Kita lihat saja sifat dan perwatakan yang dimainkan oleh pembangkang masa kini.

“Wadah perjuangan mereka yang berlandaskan fitnah bukan berpaksikan dasar perjuangan parti tidak dapat mengubah nasib rakyat,” kata beliau pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Titiwangsa, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Lembah Pantai berkata, apa saja produk kerajaan akan difitnah, ditomah dan dicaci, namun hakikatnya Barisan Nasional (BN)  tidak pernah berundur bagi membela nasib rakyat.

Beliau turut meletak harapan yang besar agar dapat meraih majoriti undi yang tinggi dalam PRU13 kerana yakin barisan jentera parti kini sudah siap sedia menghadapi pilihan raya.

“Corak politik BN sentiasa bertunjangkan janji demi rakyat dan tema ‘janji ditepati’ merupakan wadah perjuangan BN sejak dulu lagi kerana sentiasa bersedia dan berusaha memastikan semua janji ditunaikan,” katanya lagi.

Katanya, perjuangan BN berbeza dengan parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji tetapi mustahil untuk ditunaikan.

"Pembangkang hanya pandai memanipulasi isu. Saya yakin masih banyak lagi janji yang belum mereka tunaikan kepada rakyat.

"Mereka hanya "talk and walk". Menabur janji dan bergerak tanpa segan silu walaupun janji hanya tinggal janji," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan. - Sinar Harian

KD: Setuju benar dengan kenyataan Datuk. Apa tidaknya KD, belum pun tarikh PRU-13 diumumkan, namun sudah pelbagai reaksi, andaian dan propaganda timbul. Pihak kerajaan, pembangkang termasuk Ngo bukan main rancak berpolitik. Ada kalanya KD sendiri berasa gusar bila hari itu datang. Diharapkan jangan ada pihak yang bertindak di luar batasan.