Friday, July 12, 2013

KABINET KEKAL KEPUTUSAN MANSUH AKTA HASUTAN

PUTRAJAYA - Kabinet hari ini mengekalkan keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
   
Beliau berkata Akta Keharmonian Nasional yang menggantikan Akta Hasutan kini dalam proses penggubalan.
   
“Akta Keharmonian Nasional ini akan memastikan kestabilan politik dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
   
“Sebaik perlindungan ada di tempatnya, kita akan menarik balik Akta Hasutan," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
   
Pada Julai tahun lepas, Najib mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.
  
Namun, akhir-akhir ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.
   
Ahmad Zahid menegaskan Akta Hasutan harus dikekalkan bagi memelihara empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu akan dipersoal sesetengah pihak.
   
Dalam isu lain, Dr Subramaniam menegaskan sebagai seorang menteri kesihatan beliau tiada kuasa untuk mengiktiraf program ijazah perubatan daripada Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine.
   
“Saranan seorang pemimpin PKR agar saya menggunakan kuasa sebagai menteri agar CSMU diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah tidak betul.

Saya tidak akan guna kuasa itu. Takkan ada penghujungnya. Jika saya lakukan untuk satu kolej, banyak lagi kolej akan memohon perkara yang sama.
   
“Sehubungan itu, MMC akan membuat pemeriksaan dan penilaian secara profesional dan kementerian akan membuat keputusan,” katanya sambil menegaskan bahawa penilaian MMC adalah untuk memastikan graduan perubatan yang dilahirkan berkualiti. - Bernama


Sumber: Sinar Harian
PROGRAM RUMAH TRANSIT DIPERKENAL

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan program 'rumah transit' untuk pasangan muda baharu berkahwin dan berpendapatan bulanan bawah RM3,000 dalam usaha mengurangkan beban mereka.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ,program dijangka dilaksana tahun depan.

Kerajaan akan memperuntukkan 10 peratus daripada rumah kos rendahnya untuk disewa pasangan ini selama dua tahun dan tumpuan program adalah di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, katanya.

"Pada pandangan kerajaan, dalam tempoh dua tahun mereka mampu berdiri sendiri untuk mencari jalan membeli rumah pertama kerana mereka tidak boleh tinggal di rumah transit selama lamanya," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman berkata rumah transit itu akan disewa pada kadar RM124 sebulan, sama seperti kadar yang dikenakan kepada penyewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).
 
Ketika ditemui pemberita kemudian, Abdul Rahman berkata kementerian itu menyasarkan untuk melancarkan projek rumah transit itu di Kuala Lumpur tahun depan.

Sebagai permulaan katanya kerajaan bercadang mengkhususkan 10 peratus daripada setiap projek PPR sedia ada dan yang bakal dibina untuk dijadikan rumah transit itu.

"Kalau boleh saya mahu seluruh blok bangunan itu dijadikan rumah transit. Kita mungkin menjadikan rumah PPR sebagai rumah transit," katanya menambah dalam jangka panjang kerajaan berharap dapat menyediakan 5,000 unit rumah transit di seluruh negara.

Katanya beliau juga merancang untuk berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mengambil alih Flat San Peng di Pudu untuk dijadikan projek rumah transit bagi pasangan muda.

Abdul Rahman berkata selain berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, kriteria lain yang melayakkan pasangan muda memohon rumah transit ialah berusia di bawah 30 tahun. – Bernama/Sinar Harian

PRK KUALA BESUT: KEMENANGAN BN PENTING UNTUK KESTABILAN TERENGGANU
 PRK Dun Kuala Besut
KUALA BESUT - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peranan dan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dun Kuala Besut penting untuk kestabilan pentadbiran dan pembangunan Terengganu.
   
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi memastikan keadaan stabil dikekalkan, BN mempertaruhkan calon Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, kerana yakin ketokohan dan latar belakang yang dimiliki bekas jurutera itu mampu menarik sokongan pengundi untuk kekal memilih BN sebagaimana pilihan raya umum yang lalu.
   
"Peranan calon penting kerana Dun Terengganu kini tidak menentu tetapi saya harap selepas 24 Julai politik di negeri ini kembali dan kekal stabil di bawah BN.
   
"Saya punyai penuh keyakinan berdasarkan ketokohan, kelulusan, pengalaman dan latar belakang calon dan keluarganya BN mampu mendapat sokongan," katanya pada sidang media selepas tamat proses pencalonan di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut di sini hari ini.
   
Hadir sama calon BN Tengku Zaihan dan Timbalan Pengarah Pilihan raya BN bagi pilihan raya itu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Muhyiddin, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi Dun Kuala Besut mengulangi keyakinan yang BN mampu mengekalkan kerusi itu dengan pertambahan majoriti kerana berdasarkan laporan yang diterima, tiada isu besar yang perlu ditangani kerana kebanyakannya telah diselesaikan pada PRU13 lepas.
  
Pada PRU13, BN menerusi calonnya, Dr A.Rahman Mokhtar menewaskan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Beliau meninggal dunia pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
  
Timbalan perdana menteri berkata pemilihan Tengku Zaihan bukan sahaja mampu meneruskan kecemerlangan pembangunan yang dibawa Allahyarham, malah calon muda itu dilihat mampu membawa suara dan inspirasi generasi muda di Kuala Besut ke peringkat sepatutnya.
  
"Isu berhubung kait dengan soal pertanian dan perikanan juga telah diambil kira, namun apa-apa isu berbangkit berhubung perkara itu akan ditangani semasa tempoh berkempen.
  
"Dengan terpilihnya Tengku Zaihan nanti, masalah tersebut akan dapat dilihat dengan lebih dekat," katanya.

Berhubung kempen, Muhyiddin berkata gerak kerja BN akan disesuaikan dengan bulan Ramadan, namun cara berhemah yang bakal,dipraktikkan itu, tetap berkesan kepada pengundi.
 PRK
Beliau berkata Kuala Besut dan Besut secara amnya bukanlah kawasan yang asing bagi BN kerana pemimpin dan wakil rakyatnya telah lama bertapak di situ dan sudah tentu masyarakat setempat tahu apa yang boleh wakil BN tawarkan.

Pembangunan infrastruktur, fizikal dan syiar Islam yang dibawa pemimpin BN ke kawasan itu jelas menunjukkan BN mendapat sokongan lebih baik daripada masyarakat setempat.

Ditanya apakah BN bimbang dengan slogan 16-16, yang merujuk kedudukan Dun Terengganu sekiranya Pas menang pada pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata beliau tidak mahu membuat jangkaan kepada perkara yang belum tentu terjadi.

"Saya tak fikir kita perlu pergi melangkaui sempadan, dengan membuat andaian-andaian yang tidak tentu berlaku. Lebih baik tumpu pada proses pilihan raya, selesaikan dan Insya-Allah kita akan dapat mengatasi segalanya.

"Saya juga tak mahu komen pasal parti lawan, yang saya tahu saya nak jual produk saya, produk kita ialah Tengku Zaihan, calon berkaliber, ada kelulusan, anak seorang ustaz, profesional dan orang muda dan saya fikir  pengundi Kuala Besut bijak untuk menimbang apa yang perlu mereka lakukan," katanya.

Muhyiddin kemudian meluangkan masa melawat bekas senator dan bekas Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Ahmad, 67, yang menghidap masalah darah tinggi di Kampung Paya Rawa, kira-kira 200 meter dari tempat penamaan calon.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Tengku Zaihan dengan calon Pas Endot@Azlan Yusof. – Bernama/Sinar Harian

PRK KUALA BESUT ULANG SEJARAH 34 TAHUN LALU

KUALA BESUT - Penamaan calon untuk pilihan raya kecil Kuala Besut hari ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas, mengulangi sejarah 34 tahun lalu, apabila dua calon parti yang sama bertanding pada PRK yang juga diadakan dalam bulan Ramadan.

PRK Dun Kuala BesutPada 1979, pilihan raya kecil diadakan untuk Dun Kuala Besut juga dalam bulan Ramadan berikutan kematian wakil rakyatnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima borang pencalonan wakil kedua-dua parti di pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut pagi ini.

Calon Pas Endot@Azlan Yusof, 48, menyerahkan borang pencalonannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya A.Rahim Jusoh pada jam 9.03 pagi manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.10 pagi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK Kuala Besut mengetuai kira-kira 3,000 penyokong mengiringi calon BN ke pusat penamaan calon manakala calon Pas pula diiringi bilangan penyokong yang seimbang diketuai Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Calon BN yang mengenakan baju kebangsaan Melayu serba biru memasuki pusat penamaan calon dengan diiringi Datuk Wan Zakaria Abd Rahman selaku pencadang, dan Roslan Ayob sebagai penyokong manakala calon Pas yang berbaju hijau hadir bersama Ayat Hadi Mamat sebagai pencadang dan Zulkarnain Abdullah sebagai penyokong.

Hujan gerimis sejak awal pagi dan kehadiran Ramadan tidak menghalang kedua-dua penyokong parti berarak ke pusat penamaan calon yang mula dibuka pukul 9 pagi dalam suasana harmoni yang dikawal pasukan keselamatan.

Calon BN Tengku Zaihan merupakan seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya sebelum ini dan pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu dengan memegang jawatan jurutera daerah.

Tengku Zaihan berkata beliau bertekad untuk mengekalkan kerusi itu di tangan BN berdasarkan peluang yang dilihatnya melalui pertandingan satu lawan satu.

"Tiada masalah untuk mendekati rakyat seperti yang biasa saya lakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai proses pencalonan.

Sementara itu, Azlan seorang kontraktor dan ahli perniagaan merupakan Bendahari Pas di Besut dan juga anak tempatan Kuala Besut yang menetap di Kampung Baru.

Azlan berkata Pas tetap dengan misi "16-16 Terengganu Baru" untuk menang pada PRK Kuala Besut yang juga kubu kuat BN.

SPR menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi.

Pada PRK Ramadan Kuala Besut 1979, calon BN Datuk Wan Zakaria Wan Abdul Rahman menang dengan majoriti 797 undi mengalahkan calon Pas Husin Jusoh.

PRK kali ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru, satu lagi persamaan dalam sejarah PRK Kuala Besut kerana Allahyarham Zakaria Muda (BN) meninggal dunia pada tarikh serupa 26 Jun tahun itu.

Pada PRU13, 5 Mei lalu, Dr Rahman (BN) menang dengan majoriti 2,434 mengalahkan calon Pas Napisah Ismail.

Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463 ialah pengundi Melayu, Cina 125, manakala selebihnya pengundi bangsa lain.

Pada PRK ini BN menggunakan slogan 'Kuala Besut bertambah Biru' untuk kempen manakala Pas dengan moto '16-16', merujuk kepada kedudukan kerusi Dun Terengganu andai Pas berjaya merampas Dun Kuala Besut pada pilihan raya kecil berkenaan.

Pada PRU13, Terengganu yang mempunyai 32 kerusi Dun kekal ditadbir BN yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada Pas dan satu wakil PKR.

Berikutan PRK di Kuala Besut, jentera parti sama ada dari BN mahupun Pas mula berkampung di Kuala Besut sejak beberapa hari lalu selain petugas media. – Bernama/Sinar Harian
DAKWAT KEKAL: PEMBANGKANG TIDAK HARGAI SPR

dakwat kekal SHAH ALAM – Pepatah Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, demikian nasib yang terpaksa ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan penggunaan dakwat kekal pada PRU13 lalu yang didakwa tidak berkesan sehingga kebaikan lain dilakukan badan bebas itu tidak dihargai.

Pensyarah Kanan Politik Islam dan Minoriti Muslim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, SPR cuba memenuhi kehendak rakyat dalam menambah baik sistem pilihan raya di negara ini namun usaha yang dilakukan badan itu sering kali dipandang negatif.

"Dakwat kekal itu rakyat yang minta, tapi kebaikan SPR memberi respon kepada kehendak rakyat itu tidak dihargai.

"Kalau timbul lagi tidak puas hati dakwat tidak kekal itu, nampaknya terpaksalah SPR kena guna dakwat mati pula,”katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam yang memutuskan untuk menggunakan kaedah mencelup jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal pada PRK Kuala Besut, 24 Julai ini, berbanding kaedah mencalit jari pada PRU13 lalu.

Abdul Aziz berkata, peraturan tambahan itu bertujuan mengelakkan sebarang percubaan mengundi dua kali oleh pengundi yang tidak bertanggungjawab dan ia akan digunakan untuk pengundian awal pada 20 Julai serta pengundian biasa pada 24 Julai ini.

Dalam pada itu, Samsu Adabi berkata, masalah yang timbul melibatkan dakwat kekal itu hanyalah di kawasan yang dimenangi oleh BN, sedangkan bagi kerusi dimenangi pembangkang pula, dakwat kekal itu nyata tidak membawa sebarang masalah.

"Perkara sebegini rakyat kena berpada-pada, sebenarnya ejen calon sudah ada dalam bilik mengundi, itu pun sudah cukup untuk memuashatikan orang bahawa pilihan raya itu tiada penipuan.

"Bila kalah, mereka (pembangkang) salahkan sistem, tapi di negeri yang mereka menang, calit jari OK saja.

"Inilah masalah dalam demokrasi, kita kena faham betul-betul, kalau dalam perjalanan itu berlaku dakwat cair dan sebagainya, inikan pula melibatkan 13 juta pengundi itu,” tegasnya.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, langkah yang diambil SPR dengan memperkenalkan kaedah mencelup jari telunjuk itu perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan insiden lalu berulang kembali.

"SPR kene buktikan penggunaan dakwat kekal kali ini benar-benar berkesan, jika ada aduan lagi mengatakan boleh tanggal beberapa jam seperti PRU13 lalu, ia akan memalukan dan menjejaskan nama baik SPR sekali lagi.

"Jangan pula kali ini SPR mengulangi kesilapan yang sama dengan menggunakan pewarna makanan, sudah pasti kandungannya tidak kekal seperti yang dikehendaki,” katanya.

Ditanya jika masalah dakwat tidak kekal berulang kembali selepas PRK Kuala Besut, 24 Julai ini, beliau menegaskan dakwat kekal bukan perkara pokok, sebaliknya SPR perlu fokus untuk mengelakkan daripada orang mengundi dua kali yang perlu diberi keutamaan.

"Nyatakan apa jua kaedah untuk elak penipuan, saya rasa pengundi tidak membantah, asalkan sistem pilihan raya negara kita bersih dan adil,” katanya.– Sinar Harian
ISU DAKWAT KEKAL: JANGAN PERLEKEH SISTEM SPR

calitKUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan telah berusaha untuk memperbaiki masalah berhubung dakwat kekal dengan mengambil pendekatan mencelup jari ke dalam botol pada Pilihan Raya Kecill (PRK) Kuala Besut.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR akan mencuba pelbagai kaedah untuk memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, rakyat juga perlu berubah sikap yang suka memperlekehkan sistem SPR, walaupun telah berusaha memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa terutamanya dalam isu dakwat kekal.

"Cara celup jari telah dilakukan di kebanyakan negara, jadi SPR turut mencuba pelbagai kaedah untuk menambah baik usaha ini.

"Keberkesanan dakwat itu di kulit bukan di kuku jika dakwat telah dicelup ia akan lebih berkesan dan seragam, bukan calit ada yang sekali ada yang dua kali.

"Negara kita ini kebanyakannya nak perlekeh dakwat ini, negara lain tak ada usaha nak hilangkan dan cuci jari mereka, tapi di negara ini, ada pihak mencuba dengan pelbagai cara untuk hilangkannya kerana tak percaya pada SPR," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, SPR mengumumkan akan menggunakan kaedah mencelup jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat bagi menggantikan kaedah mencalit pada Hari Pengundian Awal (20 Julai) dan Hari Pengundian Biasa (24 Julai) di PRK Kuala Besut.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga berkata, dakwat kekal yang akan digunakan pada PRK tersebut diperolehi daripada pembekal yang baru.

"Kita telah ambil daripada pembekal baru bagi mengelak perkara yang sama berlaku," katanya lagi.
                                                                                                                                                         
Bagaimanapun apabila diminta mengulas berapa lama dakwat tersebut akan kekal, Wan Ahmad berkata, SPR berharap dakwat kekal yang dicelup itu nanti akan bertahan lama melainkan jika tidak ada usaha untuk membersihkannya.

"Saya tak boleh nak kata berapa hari ia akan kekal, kalau tidak ada usaha hendak bersihkannya ia akan tahan," katanya. – Sinar Harian