Wednesday, July 10, 2013

PRK KUALA BESUT: BN PERTARUH MUKA BARU

Tengku Zaihan Che Ku Abd RahmanBESUT - BN hari ini mengumumkan, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sebagai calon itu bagi mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 24 Julai ini.

Tengku Zaihan merupakan bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, yang kini jurutera JPS di Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Tengku Zaihan, 37, merupakan calon terbaik kerana selain anak jati Kuala Besut, pemilihan beliau mendapat sokongan anggota parti di semua peringkat.

"Bagi kita calon muda ini diterima ahli parti dan tidak ada masalah sebagai "orang pantai" kerana beliau dekat dihati rakyat," katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN dan pengumuman calon di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh mengundi untuk PRK Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi dan 12 Julai sebagai tarik penamaan calon.

Kekosongan Dun Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. - Sinar Harian
PRK KUALA BESUT: AZLAN CALON PAS

Azlan@Endut YusofKUALA BESUT - Kontraktor Kelas A, Azlan@ Endut Yusof, 48, diumumkan sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut pada Majlis Pengumuman Calon Pas di Kampung Nail, di sini, malam tadi.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pengumuman itu turut mengakhiri spekulasi calon Pas yang akan bertanding melawan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon BN, sebelah petang hari yang sama.

Azlan yang juga Bendahari Pas Kawasan Besut ialah Kontraktor Kerja Bangunan dan Kejuruteraan Awam berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mempunyai Sijil Kontraktor Institut Latihan Perindustrian.

Lebih dikenali dengan panggilan Che Long, bapa kepada enam cahaya mata ini, adalah anak jati Kampung Baru, Kuala Besut.

Beliau turut dianggap mesra dengan penduduk di kawasan berkenaan. - Sinar Harian

PRK KUALA BESUT: SIAPA CALON BN DAN PAS?

PRK Dun Kuala BesutSiapa calon yang bakal diumumkan untuk mengisi kekosongan kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A Rahman Mokhtar sehingga petang semalam, masih menjadi teka-teki.

Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zuhaiza Ismail, antara calon BN yang menjadi sebutan bakal dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai ini.

Sementara itu, Pas juga tidak kurang hebatnya apabila Bendahari Pas Kawasan Besut,  Azlan Endut@Yusof  dikatakan berada dalam carta tertinggi parti itu untuk dipilih menentang calon BN.

Ahli korporat dari Kampung Baharu, Kuala Besut yang lebih dikenali sebagai Che Long ini dikatakan antara calon yang disenarai pendek oleh parti.

Semuanya masih ternanti-nanti dan menunggu dengan penuh debaran pengumuman calon hari ini.

BN bakal mengumumkan calonnya di Dataran Kuala Besut petang ini, manakala Pas juga akan berbuat demikian pada sebelah malam di Kampung Nail, kira-kira satu kilometer dari lokasi BN.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan pengundi yang ditemui menyatakan sukar untuk meramalkan siapa yang bakal terpilih sebagai calon pada PRK ini kerana setiap nama yang disebut-sebut sebelum ini mempunyai kelebihan masing-masing.

Penduduk di kawasan Kuala Besut, rata-rata melahirkan rasa gembira sekiranya Nik Zuhaiza dipilih sebagai calon kerana beliau mempunyai latar belakang agama yang tinggi dan senang didekati, selain beliau sendiri ialah anak tempatan.

Peniaga kedai makan di pekan Kuala Besut, Habsah Mohamad, 51, turut mengakui nama yang sering meniti di bibir penduduk di situ ialah Nik Zuhaiza.

“Namun sekiranya beliau tidak terpilih, saya tetap akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan,” katanya.

Selain Nik Zuhaiza, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun, Zahanapi Sagaf juga antara nama yang berada dalam carta teratas sebagai calon.

Beliau dari Kampung Pangkalan Sentul dan menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut, kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun.

Populariti beliau jelas dapat dirasai di kawasan Mukim Bukit Puteri.

Nik Zuhaiza dan Zahanapi, berada dalam kedudukan teratas carta walaupun segalanya boleh berubah, namun beberapa nama lain juga tidak boleh dijangka, antaranya bekas Jurutera Jabatan Pengairan Saliran Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Mizan, Muhamad Ab Kadir.

Desas desus terbaru juga turut menyebut nama Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim dalam perhatian kerana beliau juga anak jati Kampung Dengir, Kuala Besut

Sementara calon Pas pula, selain Azlan, nama lain yang diramalkan menjadi calon ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh dari Kampung Tok Has, Kuala Besut.

Seorang lagi yang disebut-sebut ialah Ya Yusof dari Kampung Nail dekat pekan Kuala Besut, yang juga ahli perniagaan dan pengusaha  bot nelayan di Kuala Besut.

Seorang penyokong Pas yang ditemui, Mohd Zaidi Said, 34, dari Kampung Beris Pak Abu berkata, dia menyokong sekiranya Pas meletakkan calon muka baru di Dun Kuala Besut terutama Che Long kerana beliau dikenali ramai.– Sinar Harian