Wednesday, May 22, 2013


KEBEBASAN BERSUARA PEMBANGKANG ACUAN ALA BARAT

Di kebanyakan negara Eropah, seseorang boleh menyatakan apa saja. Semuanya kerana menjunjung prinsip dan falsafah kebebasan bersuara. Lantas mereka mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam, tetapi dibenarkan dan pertahankan atas alasan prinsip itu.

Atas nama kebebasan bersuara juga sebuah media di Eropah menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW. Serta-merta berpuluh akhbar lain mengikut jejak menyiarkan karikatur itu dan tindakan mereka dipertahankan atas nama kebebasan bersuara.

Begitu juga atas nama kebebasan bersuara, seseorang itu berhak menafikan apa saja. Negara Barat mempertahankan tindakan itu atas nama kebebasan bersuara. Mereka boleh menafikan kandungan Bible mereka. Mereka juga berhak menafikan kandungan al-Quran. Malah, mereka berhak menghina dan memperlekehkan al-Quran. Semua itu atas nama kebebasan bersuara ala Barat.

Kebebasan bersuara bagi pembangkang adalah bersuara menyatakan sokongan kepada mereka. Jika seseorang menyatakan sokongan kepada pemerintah (atau bersifat kritikal terhadap pembangkang), itu bukan kebebasan bersuara, tetapi menjadi ‘pengkhianat’ atau sudah dibeli oleh parti memerintah”

Menafikan holocaust perbuatan jenayah

Bagaimanapun sesiapa yang menafikan peristiwa holocaust ciptaan pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler ketika Perang Dunia II, dia berdepan hukuman penjara kerana perbuatan menafikan holocaust adalah perbuatan jenayah di banyak negara Eropah.

Rupa-rupanya kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di negara Barat juga terhad. Bukan setakat terhad, mereka yang melanggarnya boleh dipenjarakan.

Malangnya, ada pengikut Islam yang menari mengikut gendang hipokrit kebebasan bersuara di Barat. Ini berlaku apabila umat Islam di negara Islam mengadakan tunjuk perasaan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka menjahanamkan harta benda kerajaan mereka sendiri, kerajaan yang daif dan miskin. Bukan setakat itu, mereka berbunuhan sesama sendiri – sesama umat Islam ketika bantahan ganas membantah penyiaran karikatur itu.

Begitu juga, di banyak negara Barat mereka yang mempertikaikan apa-apa perkara mengenai Yahudi akan dilabel sebagai anti-Semitik. Namun, mereka yang menghina, menyerang hatta membunuh umat Islam tidak dilabelkan apa-apa.

Paling tidak mereka dikatakan sebagai melakukan jenayah kebencian. Itu adalah senario ringkas mengenai kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar ala Barat. Adakah kita juga begitu di Malaysia?

Ada satu perkembangan sedang berlaku di negara kita, terutama sejak kebelakangan ini. Perkembangan menarik untuk diperhatikan ialah dalam satu majlis pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh, Michelle Yeoh berada di atas pentas dan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau bergerak lebih jauh ke depan dengan meminta pengundi memilih dan mengekalkan pemerintahan sedia ada demi kesinambungan pembangunan dan keamanan. Beliau menyatakan demikian atas prinsip kebebasan bersuara dan beliau menerima kutukan hebat. Justeru, sejauh mana dan seluas mana perimeter kebebasan bersuara kita. Nampaknya, tiang gol sentiasa berubah-ubah.

Sokong kerajaan dilontar tohmahan, maki hamun

Sesetengah mereka yang memperjuangkan kebebasan bersuara di Malaysia nampaknya membawa acuan kebebasan bersuara ala Barat ke Malaysia. Dalam keadaan sekarang, mereka yang menyatakan sokongan kepada Najib atau kerajaan akan dilontarkan dengan tohmahan, sindiran, malah maki hamun.

Seperti kebebasan bersuara di Barat, kebebasan bersuara di negara kita juga adalah kebebasan dalam acuan sendiri. Akhirnya, Michelle menjadi sangat defensif mempertahankan kenyataannya mengenai kepemimpinan negara sedia ada.

Dalam media maya, Michelle menjadi sasaran kutukan tentera siber pembangkang seolah-olah beliau melakukan dosa yang tak terampunkan. Timbul tohmahan beliau sudah dibeli oleh kerajaan untuk menyatakan sokongan terbuka kepada Najib. Keadaan akan menjadi sebaliknya jika beliau menyatakan sokongan terbuka kepada pembangkang.

Ingat Raja Petra Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai RPK?

Beliau pernah menjadi buah hati atau ‘darling’ pembangkang dengan kritikan dan ulasan pedasnya mengenai kerajaan dan parti memerintah. Beliau dipertahankan dan diletakkan pada kedudukan tinggi dari kaca mata pembangkang kerana pendiriannya. Mereka yang menyanjung dan mempertahankan setiap ulasan pedas RPK atas nama kebebasan bersuara.

Apabila RPK menjadi lebih objektif dalam ulasan dan kritikannya, daripada darling pembangkang, beliau bertukar menjadi musuh nombor satu pembangkang. Dakwaan paling lumrah ialah RPK sudah dibeli oleh parti memerintah.

Tindakan Michelle dan RPK menyokong kepemimpinan sedia ada (atau dalam kes RPK, beliau menjadi begitu kritikal terhadap pembangkang dan tidak semestinya menyokong parti memerintah), dilihat dari kaca mata pembangkang sebagai mereka dibeli oleh parti memerintah.

Kelihatannya acuan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar itu sudah berbeza-beza. Bagi satu pihak, acuannya berbentuk bulat, tetapi bagi pihak yang lain, acuan bersegi-segi. Jika ini bentuknya kebebasan bersuara, titik pertemuan tidak akan pernah bertemu dan ada nada pihak yang sentiasa dipersalahkan. Begitulah, jika pintu gol sering berpindah-randah, permainan secara adil tidak akan pernah terjadi.

Apabila menyentuh jawapan sudah ada dan memang sudah ada pihak yang mahu dipersalahkan, teringat cerita seorang sahabat mengenai majlis kenduri kahwin zaman dulu-dulu di kampung. Menurutnya kenduri kahwin di kampung tidak semeriah dulu lagi kerana kerja membina bangsal, memasak makanan, menghidang dan mencuci pinggan mangkuk semuanya ‘diswastakan’, tuan rumah menggunakan khidmat katering.

Dia berkata, dulu, tuan rumah hanya perlu menghubungi dan berbincang dengan persatuan pemuda atau belia kampung. Pemimpin pemuda dan belia kampung akan menghimpunkan rakan memeriahkan majlis perkahwinan. Katanya lagi, semua itu dulunya boleh diharapkan kepada Pemuda UMNO. Lantas dia menyalahkan Pemuda UMNO. Entah apa kena mengena antara Pemuda UMNO dengan majlis perkahwinan!

Dakwaan dibeli parti memerintah

Berbalik kepada cerita kebebasan bersuara, nyata sekali kebebasan bersuara bagi pembangkang adalah bersuara menyatakan sokongan kepada mereka. Jika seseorang menyatakan sokongan kepada pemerintah (atau bersifat kritikal terhadap pembangkang), itu bukan kebebasan bersuara, tetapi menjadi ‘pengkhianat’ atau sudah dibeli oleh parti memerintah. Bagaimanapun, jika menyatakan sokongan diluah kepada mereka, itu kebebasan bersuara namanya. Bayangkan bagaimana acuan kebebasan bersuara jika mereka berkuasa.

-Penulis ialah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM Melaka/BHarian
KETEPI PERBEZAAN FAHAMAN POLITIK, SELESAI ISU AIR SELANGOR

PUTRAJAYA: Kerajaan PKR Selangor harus mengenepikan perbezaan fahaman politik dengan Kerajaan Pusat bagi mencapai satu persefahaman untuk menyelesaikan isu air di negeri itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata usaha mengatasi krisis air yang dilakukan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat sekarang mengambil masa terlalu lama dan tidak banyak rumusan dicapai.

“Saya meminta kepada pucuk pimpinan kerajaan PKR Selangor supaya bekerjasama dengan kita bagi menyelesaikan masalah air ini sementara Kerajaan Pusat melaksanakan pelan yang diluluskan Kabinet bagi menangani krisis air.

Rakyat wajar diutamakan. Perbezaan fahaman politik harus diketepikan dan jauhkan sama sekali amalan menjadikan krisis air ini sebagai pertandingan bagi menentukan siapa lebih hebat," Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

 “Saya harap kita boleh mencapai permuafakatan dalam aspek tertentu dan wujudkan persefahaman supaya kita (kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat) dapat bekerjasama,” katanya pada satu sidang media.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat dengan pegawai daripada pelbagai agensi dan jabatan di bawah kementerian yang baru diterajuinya.

Ongkili berkata, walaupun ada kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat sekarang, perkembangan yang dicapai tidak memberangsangkan manakala rakyat terus dibelenggu masalah bekalan air.

Sehubungan itu, beliau berharap dapat mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian.

Ongkili percaya beliau boleh meyakinkan pucuk pimpinan kerajaan PKR Selangor jika dapat duduk semeja untuk berunding termasuk mengkaji semula langkah yang dipersetujui sebelum ini, baik daripada segi perundangan atau sebaliknya.– BERNAMA/BHarian
PASCA PRU13: GAGASAN 1MALAYSIA MASIH BERKESAN

KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) membuktikan gagasan 1Malaysia masih relevan sebagai wadah penyatuan nasional apabila majoriti rakyat memilih mengundi Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, penganalisis politik berkata, pada PRU-13 BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen.

Mereka berpendapat ramai pihak mempersoalkan sama ada gagasan itu masih relevan atau tidak selepas beranggapan keputusan PRU-13 menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina memilih menyokong DAP sekali gus tidak mahu bersama-sama dengan kaum lain dalam arus nasional.

DAP memenangi 38 kerusi Parlimen selepas dikatakan mendapat sokongan padu pengundi Cina di kawasan bandar, yang sekali gus membuktikan pengundi Cina menolak BN, walaupun gabungan itu turut meletakkan wakil dalam kalangan kaum Cina.

Alat penyatuan nasional
 
Penganalisis politik Dr Ibrahim Ghafar, berkata berdasarkan keputusan PRU-13, gagasan 1Malaysia tetap utuh dan relevan sebagai wadah penyatuan nasional.

“Perlu kita ingat gagasan 1Malaysia tidak membabitkan fahaman politik yang berbeza-beza antara rakyat Malaysia. Namun, kesan penerapan gagasan itu sejak sekian lama dapat dirasakan apabila majoriti rakyat memilih untuk mengundi kesederhanaan, mengundi BN,” katanya kepada Bernama.

Merungkai persoalan sama, pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad, berkata penyatuan nasional tidak mungkin dapat dicapai sekiranya rakyat tidak keluar daripada kerangka keras anutan politik mereka.

Turut menyokong pendapat itu Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia, A Prakash yang berpendapat konsep 1Malaysia yang diilhamkan Najib bertepatan dengan masyarakat majmuk di Malaysia, yang mungkin sukar disatukan melalui fahaman politik tetapi boleh melalui gagasan 1Malaysia. – BERNAMA/BHarian