Wednesday, May 22, 2013

PASCA PRU13: GAGASAN 1MALAYSIA MASIH BERKESAN

KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) membuktikan gagasan 1Malaysia masih relevan sebagai wadah penyatuan nasional apabila majoriti rakyat memilih mengundi Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, penganalisis politik berkata, pada PRU-13 BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen.

Mereka berpendapat ramai pihak mempersoalkan sama ada gagasan itu masih relevan atau tidak selepas beranggapan keputusan PRU-13 menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina memilih menyokong DAP sekali gus tidak mahu bersama-sama dengan kaum lain dalam arus nasional.

DAP memenangi 38 kerusi Parlimen selepas dikatakan mendapat sokongan padu pengundi Cina di kawasan bandar, yang sekali gus membuktikan pengundi Cina menolak BN, walaupun gabungan itu turut meletakkan wakil dalam kalangan kaum Cina.

Alat penyatuan nasional
 
Penganalisis politik Dr Ibrahim Ghafar, berkata berdasarkan keputusan PRU-13, gagasan 1Malaysia tetap utuh dan relevan sebagai wadah penyatuan nasional.

“Perlu kita ingat gagasan 1Malaysia tidak membabitkan fahaman politik yang berbeza-beza antara rakyat Malaysia. Namun, kesan penerapan gagasan itu sejak sekian lama dapat dirasakan apabila majoriti rakyat memilih untuk mengundi kesederhanaan, mengundi BN,” katanya kepada Bernama.

Merungkai persoalan sama, pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad, berkata penyatuan nasional tidak mungkin dapat dicapai sekiranya rakyat tidak keluar daripada kerangka keras anutan politik mereka.

Turut menyokong pendapat itu Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia, A Prakash yang berpendapat konsep 1Malaysia yang diilhamkan Najib bertepatan dengan masyarakat majmuk di Malaysia, yang mungkin sukar disatukan melalui fahaman politik tetapi boleh melalui gagasan 1Malaysia. – BERNAMA/BHarian

No comments:

Post a Comment