Sunday, August 5, 2012

KEKALKAN PENGELUARAN CARUMAN KWSP KEPUTUSAN YANG TEPAT – KESATUAN
 
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan keputusan kerajaan mengekalkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sektor swasta pada 55 tahun adalah satu keputusan yang tepat.

Presidennya, Mohd Khalid Atan berkata keputusan itu adalah tepat kerana majoriti pekerja swasta mahukan peraturan sekarang dikekalkan walaupun kerajaan telah melanjutkan had umur persaraan minimum pekerja swasta kepada 60 tahun.

"Pencarum ketika ini boleh membuat pengeluaran separa KWSP pada usia 50 tahun sementara pengeluaran penuh hanya dibenarkan selepas pencarum bersara iaitu 55 tahun.

"Keputusan ini amat kami alu-alukan kerana MTUC sejak awal lagi memberi pilihan kepada pencarum sama ada mahu mengeluarkan wang caruman pada usia 55 atau 60 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama. Mohd Khalid berkata, MTUC juga telah menjalankan kaji selidik dalam kalangan pekerja swasta tentang pemilihan untuk mengeluarkan wang caruman KWSP pada usia 55 atau 60 tahun.

Katanya, hasil kaji selidik mendapati 80 peratus pekerja swasta memilih untuk mengeluarkan wang caruman KWSP pada usia 55 tahun manakala selebihnya pada usia 60 tahun. – Mstar

KD: Wajarlah kerajaan mendengar suara pekerja swasta. Mereka juga memainkan peranan dalam penjana ekonomi negara. Jadi, kebajikan mereka perlu dijaga. Isu kewangan bukanlah perkara enteng yang boleh dipandang mudah. Perkembangan turun naik ekonomi dan taraf hidup rakyat negara ini perlu difahami.
MCPF CADANG SYARIKAT AMBIL BEKAS PENAGIH/BANDUAN DIBERI INSENTIF



KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini mencadangkan agar insentif diberi kepada syarikat-syarikat swasta yang mengambil bekerja bekas banduan dan bekas penagih dadah.

Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau akan meminta supaya cadangan itu dimasukkan dalam belanjawan 2013 yang akan dibentangkan nanti.

Lee berkata, "(Pada masa ini) kebanyakan syarikat swasta tidak berminat membuka peluang pekerjaan kepada mereka tetapi lebih suka mengambil pekerja asing," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar baru-baruini bahawa pihaknya akan cuba membantu bekas banduan dan bekas penagih dadah dalam mendapatkan pekerjaan selepas mereka dibebaskan.

"Kita juga akan cuba membantu mereka... kalau tidak ada pekerjaan kita akanberbincang dengan jabatan buruh," katanya.

Lee berkata, ini memandangkan golongan tersebut telah diberi latihan dan kemahiran yang cukup semasa menjalani tempoh tahanan. – BERNAMA/Mstar

KD: Cadangan ini mungkin baik namun KD pasti ia agak sukar direalisasikan. Ini kerana masyarakat di luar sana masih ragu-ragu dengan keselamatan dan kebolehpercayaan terhadap golongan ini. Bukan niat menghina tetapi apabila wujud beberapa kes termasuk penipuan,  salah guna dan penyelewengan golongan itu, masyarakat mula berasa takut dan kurang yakin. Justeru, jika benar ia ingin dilaksanakan, perlu ada perancangan dan pelaksaannya biarlah secara berperingkat.
14 NGO SERAH SURAT RAYUAN MINTA PM SELESAIKAN ISU AIR KELANTAN

KOTA BAHARU: Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), yang mewakili 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan, pada Ahad menyerahkan surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menyelesaikan isu air yang berlarutan menimbulkan masalah kepada rakyat negeri ini.

Surat itu disampaikan oleh Yang Dipertua Perkasa Kelantan Mohd Fauzi Mohamad sejurus selepas Perdana Menteri selesai mengadakan pertemuan dengan pemimpinBarisan Nasional (BN) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepadi sini, sempena lawatan kerjanya ke Kelantan.

Antara NGO berkenaan ialah Persatuan Guru Melayu Kelantan, Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan (Tukar); Persatuan Kereta Sewa Kelantan, Cuepacs Kelantan, Persatuan Pengakap Kelantan, dan St John Ambulans, Persatuan Bekas Polis dan Tentera Kelantan.

Mohd Fauzi berkata pihaknya menyerahkan surat itu hasil keputusan yang dicapai semua NGO itu pada Jumaat lepas.

Beliau berkata semua NGO itu memutuskan supaya merayu kepada Perdana Menteri agar meluluskan peruntukan persediaan sebanyak RM2.8 juta untuk digunakan bagi membeli air minuman apabila bekalan air terputus sehingga lima hari di sesetengah kawasan seperti yang dialami sekarang.

"Ini kerana pengalaman bekalan air terputus beberapa hari pada Ramadan amat kritikal dan menyusahkan rakyat selain menimbulkan pelbagai ancaman bukan sahaja penyakit, malah keselamatan mereka, " katanya selepas menyerahkan surat rayuan dua halaman itu.

Mohd Fauzi berkata peruntukan itu dianggarkan untuk diagihkan kepada 14 kawasan Parlimen dengan masing-masing diperuntukkan RM200,000.

Menurutnya rayuan itu dibuat atas dasar kemanusiaan apabila kerajaan Kelantan di bawah pimpinan PAS gagal menyelesaikan isu air yang sering terganggu, air kotor dan bil air yang agak luar biasa.

Beliau berharap peruntukan itu jika diluluskan akan disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang bertanggungjawab melaksanakan operasi itu. -- BERNAMA