Friday, June 21, 2013

BLACKOUT 505: PDRM MINTA BANTUAN TENTERA

IPOH - Polis akan meminta bantuan tentera jika keadaan memerlukan dalam menangani pelbagai perkara yang mungkin timbul andai pembangkang meneruskan  perhimpunan mereka di ibu negara Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil  langkah perlu bagi menghadapi perhimpunan yang dijangka diadakan di Padang Merbok itu.

"Setakat ini PDRM masih lagi mampu untuk kekalkan keamanan (negara). Kami sentiasa berhubung dengan tentera dan sekiranya perlu tentera akan diminta turun membantu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Tamat Latihan Asas Konstabel Orang Asli PDRM di sini hari ini.

Sebanyak 111 anggota menerima sijil tamat latihan yang berlangsung selama empat bulan itu.

Mengulas lanjut, Salleh menasihati orang ramai agar menjauhi perhimpunan itu yang jika diadakan adalah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mengenai penahanan seorang remaja berusia 15 tahun kerana membeli senapang angin dan pistol tiruan dari luar negara menerusi Internet, beliau berkata polis mempunyai kaedah untuk mengesan individu yang terlibat dalam pembelian senjata api melalui Internet.

Pada masa yang sama beliau meminta orang ramai melaporkan kepada polis jika mempunyai maklumat mengenai indvidu yang terbbait kegiatan itu.

Sabtu lepas polis menahan seorang pelajar sekolah menengah yang dikesan membeli dua laras senapang angin MP5, selaras M16 dan M4A1 serta sepucuk pistol jenis Glock menerusi Internet. Kesemua senjata tersebut dihantar menggunakan pos dan diisytihar sebagai alat mainan.- Bernama/Sinar Harian
POLIS KLASIFIKASI BLACK505 SABTU INI HARAM

KUALA LUMPUR: Polis masih mengekalkan klasifikasi perhimpunan 'Black 505' yang dijangka diadakan di sini Sabtu ini sebagai haram kerana tidak mendapat kelulusan pemilik kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, perhimpunan yang akan diadakan Sabtu ini ternyata sama sekali salah sekiranya penganjur berkeras ingin meneruskannya kerana melanggar Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 di mana persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan perlu diperoleh.

"Perhimpunan tersebut haram. Mereka tidak mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut menegaskan, polis akan menjalankan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya penganjur tetap berdegil ingin meneruskan niat mereka untuk berhimpun.

Perhimpunan yang ditunjangi pembangkang itu dijangka diadakan di Padang Merbok di sini walaupun tidak mendapat kebenaran DBKL. - mStar