Wednesday, February 6, 2013

POLIS TURUNKAN STATISTIK JENAYAH - MYWATCH

PETALING JAYA— Pihak polis didakwa telah menurunkan lebih daripada separuh kadar statistik jenayah kebangsaan ragut dan rompakan tanpa senjata api daripada Januari hingga Oktober 2011, kata pemerhati jenayah MyWatch hari ini.

MyWatch turut mengedarkan kepada media satu dokumen dalaman daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin yang melaporkan 43,792 kes rompakan dan pecah rumah daripada Januari hingga Oktober 2011, berbanding angka 30,200 yang diumumkan pihak polis.

“Ragut dan samun tanpa senjata api merekodkan 17,882 kes, yang mana menunjukkan penurunan 10,558 kes,” kata Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan dalam satu sidang media di sini.

Sanjeevan turut menggesa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar untuk mendedahkan prosedur operasi standard bagi penahanan.

Tambahnya, pihak polis tersalah mengira kadar kes yang diselesaikan antara tahun 2011 dan 2012.

“Contohnya, dalam kes kecurian kenderaan, ia dikira selesai sebaik sahaja kenderaan itu dijumpai tanpa menahan suspek. Saya percaya ia bukan standard Interpol,” kata Sanjeevan.

Sanjeevan berkata bulan lepas kadar jenayah telah meningkat tahun lalu, dan kenderaan yang dicuri pada Julai-September pada 2012 meningkat pada kadar 3.5 peratus, atau 624 kes, berbanding tempoh sama pada 2011.

Beliau turut menegaskan kadar jenayah seperti ugutan, penculikan, penderaan diklasifikasikan sebagai jenayah bukan indeks, yang mana tidak termasuk dalam statistik jenayah.

Pihak polis memecahkan jenayah kepada dua bahagian, indeks dan bukan indeks — dengan yang sebelumnya dilaporkan sebagai jenayah perundangan yang mencukupi dan memberikan kesan kepada indikator situasi jenayah, yang mana diterima sebagai perkara kecil.

Bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan, penaung MyWatch dalam sidang media hari ini berkata, pihak polis “perlu membuatkan rakyat merasakan jenayah telah menurun.”

“Jika kamu tidak dedahkan (statistik jenayah), rakyat akan merasakan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Musa sebelum ini menuduh kerajaan menyembunyikan fakta berkenaan kadar jenayah daripada orang awam. Namun polis pada Ogos lalu mendedahkan maklum balas kepada dakwaan-dakwaan daripada kadar statistik jenayah yang didakwa telah dimanipulasinya.. -Malaysian Insider
JANGAN CEPAT BUAT KESIMPULAN MENGENAI RCI — PENGERUSI SPR

KUCHING — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini meminta semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kesimpulan tentang perkara berkaitan dengannya yang disebut dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, oleh kerana siasatan RCI masih berterusan, maka adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak memberi komen yang menyalahkan mana-mana pihak berhubung perkara yang ditimbulkan dalam prosiding itu.

“Janganlah buat sebarang kesimpulan sebelum prosiding ini selesai. Janganlah tuduh SPR itu dan ini. Tak tepat. Belum habis. Tunggulah sampai habis. Kita hormatilah RCI,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar, beliau berkata memberi komen ketika ini samalah seperti membuat kesimpulan tentang kesudahan cerita dalam sebuah filem yang belum habis ditayang.

“Pada awal cerita dalam filem tu, hero kena tembak. Tapi, janganlah buat kesimpulan hero tu dah mati. Pada penghujung cerita, rupa-rupanya dia pengsan saja,” kata beliau.

Mengenai persiapan SPR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Abdul Aziz berkata suruhanjaya itu dianggar memerlukan RM78 juta untuk melaksanakan tugasnya di Sarawak, dengan lebih separuh daripada jumlah itu diperlukan untuk menyewa kenderaan untuk kegunaan petugasnya.

Katanya jumlah yang diperlukan itu adalah yang paling tinggi berbanding untuk negeri lain berikutan keluasan Sarawak.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat pelantikan kepada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai pemerhati tempatan bagi PRU ke-13 di Sarawak.

Dalam ucapan pada majlis itu, Abdul Aziz berkata empat persatuan iaitu Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu, Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Sarawak dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak akan memantau proses pilihan raya di kawasan Kuching. Persatuan Melanau Sibu dan Dewan Perniagaan Cina Sibu akan bertindak sebagai pemerhati bagi kawasan Sibu, manakala Persekutuan Orang Ulu Malaysia dan Persatuan Cina Miri menjadi pemerhati bagi kawasan Miri, katanya. -Bernama/Malaysian Insider
POLISI PENDIDIKAN PERLU ELAK FOKUS GOLONGAN PERTENGAHAN, KATA IDEAS

KUALA LUMPUR — Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) hari ini menggesa Putrajaya supaya tidak terlalu menfokuskan kepada golongan pertengahan dalam menentukan polisi pendidikan memandangkan ia menyebabkan golongan yang tidak mampu akan tercicir kerana sistem tidak adil tersebut.

Dalam kenyataan media hari ini, IDEAS mendedahkan penemuan dalam projek kajian “Suara Golongan Miskin” mendapati kanak-kanak yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah berhadapan kualiti pendidikan yang buruk.

“Mereka tidak mempunyai kelebihan untuk mampu memilih sistem pendidikan swasta atau sekolah yang lebih baik di luar kawasan mereka tinggal dan tidak mempunyai saluran yang mencukupi kepada sumber alternatif pendidikan seperti tuisyen luar dan internet,” kata Wan Saiful Wan Jan (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan tersebut lagi, sekiranya kitaran tersebut berterusan dan tidak berlaku rombakan ia akan memberikan kesan kepada keadaan sosio-ekonomi terutamanya kepada golongan bawah tersebut yang terdiri daripada 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar diseluruh negara.

IDEAS juga mendedahkan cabaran utama yang dihadapi oleh golongan bawah tersebut untuk mendapatkan pendidikan yang baik adalah antaranya tambahan yuran yang dikenakan oleh pihak sekolah, tekanan rakan sebaya, ibu bapa tidak berkemampuan untuk menyediakan pendidikan tambahan, persekitaran sekolah yang diskriminasi, guru tidak berkualiti dan kesukaran pertuturan bahasa dalam sekolah vernakular.

Sejajar dengan itu, IDEAS telah mengambil langkah kerjasama dengan Asia Sdn Bhd dalam program mereka tersebut untuk menjadi suara kepada golongan 40 peratus tersebut.

“Kami mempunyai dua misi iaitu memberikan suara kepada golongan miskin dan terpinggir dalam proses menentukan polisi pendidikan negara dan membantu orang awam membuat polisi, syarikat korporat dan perbadanan memahami keperluan dan aspirasi golongan bawah 40 peratus ini dalam pendidikan,” ujar Wan Saiful lagi.

Selain itu, IDEAS juga menekankan kepentingan kerajaan dan agensi lain yang bertanggungjawab memperbaiki kualiti sekolah dan memastikan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah ini menerima pendidikan berkualiti.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata IDEAS akan melancarkan peringkat kedua program  “Suara Golongan Miskin” sambil berharap syarikat swasta dan dermawan untuk membantu mereka bagi menjayakan hasrat murni mereka tersebut.

Badan tersebut sebelum ini mengkritik Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada tahun lepas kerana kekurangan ketelusan dan tidak mengeluarkan empat laporan penting yang mampu mencalarkan kredibiliti pelan tersebut. – Malaysian Insider
DAP GUNA ISU ALLAH UNTUK UNDI BUKAN ISLAM - ZAHID

KUALA LUMPUR — DAP menggunakan isu kalimah Allah bagi mendapatkan undi bukan Islam untuk Pakatan Rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib presiden Umno itu berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mahu Putrajaya membenarkan penggunaan “Allah” untuk kitab Injil bahasa Melayu hanyalah bersifat politik dan tidak memahami mengenai kesucian kalimah tersebut.

“Semasa saya jadi Menteri Di JPM, kita mengatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan penggunaan perkataan Allah hanya untuk kitab-kitab agama Islam.

“Bagi saya, Lim Guan Eng sedang melakukan political diversion, untuk menarik orang bukan Islam mengundi Pakatan Rakyat,” kata Ahmad Zahid selepas merasmikan portal kerjaya veteran tentera selepas bersara, KerjayaVeteran.my di sini hari ini.

Beliau juga membidas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang kecewa dengan keputusan Majlis Syura PAS mangatakan kalimah Arab itu hanya boleh digunakan oleh penganut beragama Islam.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mengikut garis politik mengenai isu ini apabila menyokong keputusan Majlis Syura PAS.

“Saya tidak mengikut garis politik, apa yang dikatakan Majlis Syura itu benar. Dan Karpal Singh tidak seharusnya memberi komen ke atas Majlis Syura. Ini bukan kepakarannya,” kata Ahmad Zahid lagi.

Sabtu lalu, Karpal berkata adalah salah untuk menyatakan keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung isu kalimah Allah diterima baik oleh orang bukan Islam termasuk pemimpin DAP.

Dalam hal ini, beliau kecewa dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Abdul Hadi sebagai berkata larangan ke atas orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu telah selesai dan bahawa pimpinan atasan DAP juga menerima penjelasan berhubung perkara itu yang dibuat Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu pertemuan ringkas dengannya di Pulau Pinang minggu lalu.

Beliau menegaskan tiada sebarang perkara dibincangkan berhubung isu berkenaan apabila beliau bertemu Nik Abdul Aziz pada pertemuan tidak rasmi itu.

Katanya Majlis Syura Ulama PAS tidak sepatutnya berpegang teguh dengan pendiriannya kerana ia bercanggah dengan pendirian pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). -Malaysian Insider
ISU KALIMAH ALLAH: PENGUATKUASA ISLAM KENAKAN SEKATAN KE ATAS BUKAN ISLAM - MCCBCHST
KUALA LUMPUR— Kumpulan antara agama bukan Islam, Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyelar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan bekas ketua hakim kerana cuba untuk mengawal hak kumpulan minoriti agama di Malaysia dalam perbalahan isu “Allah”, di mana mereka mengatakan ia bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara.

MCCBCHST memberi maklumbalas berkenaan kenyataan MAIS dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheik Abdul Halim yang melarang kumpulan minoriti agama di Malaysia daripada memanggil tuhan mereka “Allah”.

“Ini adalah sama seperti pengenaan sekatan oleh Majlis lslam terhadap orang bukan Islam. Ia juga boleh dilihat sebagai usaha untuk mengawal amalan agama-agama selain Islam oleh sebuah badan atau organisasi lslam,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis tersebut memberi amaran terhadap “amalan tidak sihat” memaksa orang bukan Islam terikat dengan fatwa atau keputusan daripada badan-badan Islam seperti MAIS, sambil berkata ia boleh mencetuskan ketegangan agama.

“Sebarang cubaan untuk mengawal orang bukan Islam atau mengganggu amalan agama bukan Islam oleh mana-mana badan Islam mesti dihentikan serta merta. Ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini amalan yang tidak sihat dan boleh membawa kepada kesan sosial yang tidak diingini dan meningkatkan ketegangan antara masyarakat,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Hoe Chieow yang juga presiden MCCBCHST dan ketua Taoisme; timbalan presiden Majlis Gurdwara Malaysia Jagir Singh; dan Sing Kan dan Prematilaka KD Serisena untuk agama Buddha dan Rev Thomas Philips untuk agama Kristian; Datuk RS Mohan Shan bagi Hindu.

Kumpulan antara agama bukan Islam itu juga berkata, tiada undang-undang, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, untuk mengenakan hukum atau fatwa ke atas bukan Islam.

Ia menegaskan undang-undang itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam telah diletakkan di dalam Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, yang menghadkan mereka daripada menyebarkandoktrin atau kepercayaan agama mereka kepada orang Islam.

MCCBCHST berkata, tiada bukan Islam mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Ia menggesa umat Islam yang tidak bersetuju dengan orang bukan Islam yang mempunyai hak untuk memanggil tuhan mereka “Allah” untuk membaca perlembagaan dengan berhati-hati dan holistik, menunjukkan kepada Artikel 3(4) dan 11(4).

Merujuk kepada Ahmad Fairuz, kumpulan itu berkata ia gagal untuk memahami “bagaimana bekas Ketua Hakim Negara boleh terlepas pandang hakikat bahawa semua enakmen 10 negeri-negeri yang dibuat di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, dan bahawa Perkara 11 (4) hanya menyediakan kawalan ‘atau penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama kepada orang yang menganut agama lslam “

“Artikel ini tidak melarang agama lain dari menyebarkan kepada penganut masing - masing.

“Dalam erti kata lain, jika anda tidak menganut atau mengamalkan lslam maka tiada sekatan boleh diletakkan kepada anda tentang bagaimana anda mengamalkan agama anda,” kata MCCBCHST, dengan menambah setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk mengurus hal ehwal agama sendiri.

Kumpulan antara agama itu juga berkata, Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 telah memutuskan peruntukan dalam enakmen negeri melarang penggunaan perkataan tertentu oleh orang bukan Islam adalah tidak berperlembagaan.

Ia menambah bahawa ia menyokong keputusan bukan Islam untuk terus menggunakan “Allah” merujuk kepada tuhan-tuhan mereka seperti yang terdapat dalam kitab suci mereka. – Malaysian Insider